Powered By Blogger

Monday, May 23, 2011

Tan Sri Ismail Adam Dilantik Menganggotai LPPR

Putrajaya – YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri telah
menyampaikan surat pelantikan kepada Y.Bhg. Tan Sri Ismail Adam bagi
menganggotai ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR)
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Pejabat Timbalan
Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra hari ini.

Pelantikan tersebut telah mendapat perkenan daripada Duli Yang Maha Mulia
Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan disampaikan melalui watikah
pelantikan yang ditandatangani oleh YAB Dato’ Sri Najib bin Tun Abdul
Razak, Perdana Menteri Malaysia melalui surat beliau yang bertarikh 1 April
2011 selaras dengan peruntukan Seksyen 13 Akta Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia 2009. Pelantikan tersebut adalah bagi tempoh satu tahun
berkuatkuasa 25 Mac 2011 sehingga 24 Mac 2012.

Y.Bhg. Tan Sri Ismail Adam merupakan Mantan Ketua Pengarah
Perkhidmatan Awam yang telah menamatkan perkhidmatan beliau pada 30 Jun
2010 serta merupakan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Bank Islam Holdings
Berhad. Beliau dipilih menganggotai LPPR berdasarkan pencapaian beliau
sebagai individu yang berintegriti yang telah memberikan perkhidmatan awam
yang cemerlang serta telah mencapai keunggulan dalam profesionnya.

Dengan pelantikan tersebut, LPPR kini dianggotai oleh 12 ahli yang
dipengerusikan oleh Y.Bhg. Puan Sri Zaiton Zawiyah Puteh. Turut hadir
menyaksikan penyampaian watikah pelantikan tersebut adalah Y.Bhg. Dato’
Sri Abu Kassim bin Mohamed, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Timbalan Ketua
Pesuruhjaya (Operasi), Y.Bhg. Datuk Hj. Mohd Shukri bin Abdull.

No comments: