Thursday, October 18, 2012

NAJIB DAN MORO


Bukan mudah untuk menjadi perantara bagi mendamaikan dua pihak yang bersengketa.

Namun seorang pemimpin dari sebuah negara Islam yang kecil berjaya melakukannya.

Isnin lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Presiden Filipina, Benigno Aquino III telah menjadi saksi penting kepada majlis menandatangani Perjanjian Rangka Tindakan damai antara kerajaan Filipina dengan  Barisan Pembebasan Islam Moro atau MILF di Istana Malacanang, Manila.

Perjanjian  itu adalah kemuncak kejayaan Malaysia yang bertindak sebagai pemudah cara dan tuan rumah rundingan antara Manila dan MILF.

Malaysia mengambil alih peranan sebagai pemudah cara  dan tuan rumah pada Disember 2009 setelah 16 bulan perbincangan antara Manila dengan MILF mengalami kebuntuan.

Pada 7 Oktober lalu, Manila dan Kuala Lumpur membuat pengumuman serentak mengenai perjanjian itu selepas berakhirnya  rundingan pusingan ke-32 di Kuala Lumpur.

Perjanjian itu akhirnya ditandatangani pada Isnin lalu.

Dengan termetrainya perjanjian bersejarah itu,  Mindanao yang terletak di selatan Filipina, akan menikmati keamanan dan kestabilan berkekalan setelah dilanda konflik selama hampir 40 tahun.

Perjanjian ini adalah bukti penting betapa besarnya peranan Kuala Lumpur  sendiri dalam mewujudkan keamanan serantau.

Ini juga merupakan usaha berterusan Perdana Menteri dalam memperjuangkan konsep kesederhanaan melalui Pergerakan Kesederhanaan Global yang mula diutarakan oleh beliau pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-65 pada 27 September 2010.

Perjanjian yang ditandatangani di Manila itu tidak mungkin tercapai jika tidak ada penggerak yang benar-benar serius dalam memastikan ianya terlaksana.

Dalam hal ini,  Datuk Seri Najib sendiri telah memainkan peranan yang amat penting dalam mempercepatkan proses damai antara kerajaan Filipina dengan MILF yang merupakan serpihan daripada Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro atau MNLF.

Usaha Malaysia dan Perdana Menteri dalam perkara ini disambut baik dan disanjung tinggi oleh semua pihak di Manila dan Mindanao yang sememangnya menanti satu penyelesaian kepada konflik yang telah meragut lebih 150,000 nyawa sejak awal 1970-an dahulu.

Kini semua pihak yang berkepentingan di Manila dan Mindanao haruslah duduk semeja bagi merangka pelan tindakan agar terma-terma dalam perjanjian damai itu dapat dilaksanakan.

Sudah pasti rakyat di selatan Filipina menanti-nantikan pelaksanaannya.

Perjanjian itu menjadi satu permulaan kepada sejarah baharu Bangsamoro yang telah lama menginginkan satu kehidupan yang aman damai tanpa ada pertumpahan  darah.

Mimpi akhirnya menjadi kenyataan apabila perjanjian itu mewujudkan satu wilayah autonomi di Selatan Filipina sebelum tamatnya penggal pemerintahan presiden sekarang pada 2016.

Kegembiraan pasti terpancar di wajah setiap Bangsamoro  yang mahukan kuasa politik yang lebih besar serta kawalan terhadap kekayaan sumber alam di wilayah yang majoritinya  beragama Islam itu.

Selepas empat dekad berada dalam kancah peperangan, perjanjian yang akhirnya memberi pengiktirafan kepada Bangsamoro bagi menggantikan Wilayah Autonomi Islam Moro akan membuka lembaran baharu kepada rakyat Mindanao yang sentiasa dahagakan pembangunan.

Inilah masanya bagi Bangsamoro merangka program pembangunan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat yang telah bertahun-tahun menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgit berjuang menentang kerajaan Filipina dengan kegiatan keganasan yang meragut begitu banyak nyawa.

Selain menyebut mengenai pengwujudan Bangsamoro, perjanjian itu juga memperuntukkan program pentauliahan tentera MILF secara beransur-ansur sebelum dibubarkan sepenuhnya.

Kedua-dua pihak di Manila dan Mindanao juga menyatakan komitmen masing-masing untuk bekerjasama mengurangkan penggunaan serta melaksanakan pengawalan senjata api di kawasan sengketa dan membubarkan pasukan tentera persendirian dan kumpulan bersenjata lain.

Jika dilihat dalam skop yang lebih besar, perjanjian damai itu bukan sahaja membawa makna kepada rakyat di selatan Filipina malah ia mencakupi keseluruhan wilayah Asia Tenggara  kerana Mindanao sering dikaitkan dengan  aktiviti keganasan di rantau ini.

Kini rakyat di rantau ini boleh merasa selesa apabila memikirkan suasana aman  akhirnya  wujud juga di Asia Tenggara.

Bukan mudah untuk menjadi perantara bagi mendamaikan dua pihak yang bersengketa.

Namun Datuk Seri Najib telah menunjukkan kesungguhannya sekaligus membuktikan Islam yang menjadi tonggak kepada pentadbiran kerajaan Malaysia adalah agama perdamaian.

Selepas ini Malaysia harus memikirkan kemungkinan meluaskan peranan dalam mewujudkan rantau Asia yang lebih aman dan jauh daripada sengketa.

Tidak mustahil jika satu hari nanti Malaysia akan diminta menjadi perantara kepada konflik lain seperti di selatan Thailand, isu Rohingya di Myanmar dan sengketa sempadan laut antara China dan Jepun.

BAHASA OH BAHASA


Isu bahasa tidak habis-habis diperkatakan.  Terbaharu ialah kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhiyiddin Yassin pada pelancaran Program Bulan Bahasa Kebangsaan  2012 peringkat Kebangsaan  Rabu lalu mengenai penggunaan bahasa rojak yang berleluasa dalam kalangan masyarakat kita.

Dalam ucapannya Tan Sri Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata gejala itu jika tidak dibendung,  akan menghakis kekuatan bahasa  itu sendiri.

Dalam era globalisasi, umum mengetahui bahawa Bahasa Melayu semakin terhakis.  Ini kerana sikap masyarakat kita yang seakan-akan malu menggunakan bahasa kebangsaan kerana takut dianggap kolot.

Memang dalam kehidupan sehari-hari, jarang orang menggunakan bahasa Melayu berterusan dalam perbualan sehari-hari.


Baik di rumah, pejabat atau dalam majlis rasmi, ramai yang selesa menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan.  Malah ada mesyuarat rasmi jabatan awam  menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya walaupun yang hadir semuanya mahir dan memahami bahasa Melayu.

Jika sebuah organisasi awam pun tidak mengambil berat soal bahasa Melayu, apa yang mahu kita harapkan daripada  organsisasi swasta?

Rakyat  Malaysia yang cintakan bahasa seharusnya merasa bimbang akan fenomena ini. 

Setelah mencapai kemerdekaan selama 55 tahun, isu bahasa masih belum dapat kita selesaikan.

Sepatutnya dalam usia 55 tahun, Malaysia sudah boleh berdiri seiring dengan negara-negara maju seperti Jepun dan Perancis dalam memartabatkan bahasa tempatan. 

Bercakap mengenai usaha memartabatkan bahasa Melayu, pencapaiannya telah dapat dilihat melalui penubuhan kursi dan pengajian bahasa melayu di beberapa universiti luar negara.

Setakat ini kerajaan telah menubuhkan empat kursi Pengajian Melayu  di Beijing, Wellington, Seoul dan Leiden.

Selain itu bahasa Melayu turut diajar di lebih 100 buah universiti di Asia Tenggara, Australia, New Zealand, dan Amerika Utara.

Usaha memartabatkan bahasa Melayu bukan sahaja terletak pada bahu kerajaan, malah semua pihak harus menggembleng tenaga menjayakan usaha murni ini.

Selain Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai agensi pelaksana, pihak lain seperti institusi pengajian tinggi awam dan swasta, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, badan bukan kerajaan dan orang perseorangan harus berganding bahu bagi memastikan usaha itu berjaya.

Di samping itu, tidak kurang penting ialah organisasi media baik media cetak mahupun media elektronik.

Media harus  menjadi tenaga penggerak penting dalam usaha memartabatkan bahasa melayu.

Media cetak, sama ada akhbar mahupun majalah harus menitikberat soal bahasa.

Sebagai  bahan bacaan umum, akhbar dan majalah  menjadi bahan rujukan kepada pembaca terutama pelajar.

Bagi media elektronik pula, tugas yang digalas lebih mencabar lagi kerana sebagai media popular, apa yang dipapar dan disebut sudah pasti menjadi ikutan.

Oleh demikian, baik dalam rancangan santai, mahupun rancangan lebih formal seperti bual bicara atau berita, penyampai harus berhati-hati dalam setiap pengucapannya agar tidak merosakkan atau lebih teruk lagi ‘merojakkan’ bahasa Melayu.

Usaha menyeragamkan penggunaan bahasa Melayu di media cetak dan elektronik sedang giat dijalankan.

Pengarang difahamkan satu jawatankuasa yang dipengerusikan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri sedang merangka dasar dan polis bahasa di media cetak dan elektronik.

Usaha itu yang kini pada peringkat akhir merupakan usaha berterusan yang turut didokong oleh semua organisasi media dan pengamal bahasa.

Kemuncak kepada usaha memartabatkan bahasa ialah meningkatkan jumlah khazanah ilmu melalui penerbitan buku ilmiah, buku umum dan karya sastera dalam bahasa Melayu.

Timbalan Perdana Menteri turut  melahirkan kebimbangan kerana sasaran untuk menerbitkan 28,000 judul buku setahun masih belum dicapai.

Namun beliau melahirkan rasa bangga kerana penerbit awam dan swasta kini sedang rancak menerbitkan bahan bacaan bermutu bagi mencapai sasaran itu.

Mengenai usaha meningkatkan penggunaan bahasa Melayu di organisasi awam, Dewan Bahasa dan Pustaka atau DBP turut memainkan peranan bagi memastikan usaha ini berjalan lancar. 

Mulai tahun hadapan DBP akan melaksanakan program Audit Bahasa di semua jabatan dan agensi awam dengan memperkenalkan kaedah penarafan bintang.

DBP sendiri telah memulakan program audit bahasanya sendiri bagi melihat keberkesanannya. 

Selain itu, usaha meningkatkan penggunaan bahasa yang betul pada papan tanda, iklan cetak dan elektronik masih berterusan. 

Usaha ini nampaknya sudah menampakkan hasil.  Kesedaran sudah mula timbul dalam kalangan pengguna bahasa dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan usaha ini membawa kejayaan.

Sempena program Bulan Bahasa Kebangsaan 2012, marilah kita sama-sama beriltizam meningkatkan kesedaran kita agar satu hari nanti bahasa Melayu  kembali menjadi lingua franca di rantau ini.