Powered By Blogger

Sunday, August 21, 2011

AZIZI HJ. ABDULLAH: 1942 – 2011

Jarang ada penulis yang boleh menguasai dan aktif dalam semua genre penulisan sekaligus. Azizi Hj. Abdullah yang meninggalkan kita pada 9 hari terakhir Ramadan 1432H aktif dalam hampir semua genre seperti puisi, artikel, cerpen, novel, drama radio dan drama TV. Saya percaya sekiranya Allah Subhanawata’ala melanjutkan usianya, sudah pasti akan terhasillah filem besar yang diadaptasi dari salah satu novelnya.

Azizi Hj. Abdullah yang dilahirkan di Kampung Bukit Meryam, Kota Kuala Muda Kedah, pada 4 April 1942, menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Bukit Meryam dan Sekolah Melayu Kota Kuala Muda, Kedah sehingga darjah enam.

Ketika di sekolah agama pada sekitar tahun 1963, bakat menulisnya mula diasah apabila artikel pertamanya tersiar dalam Warta Negara, Pulau Pinang berkenaan buruk baik wanita bermain bola sepak.

Ketika bertugas sebagai guru agama di Sekolah Kebangsaan Sungai Taka, Serdang, Kedah dalam tahun 1965, Azizi mula menulis cerpen dan tersiar di akhbar, terutama akhbar terbitan Utusan Melayu.

Kekuatan Azizi memang terserlah dalam genre cerpen. Bermula dari cerpen pertamanya ‘Sisa’ yang tersiar di dalam Warta Mingguan, Pulau Pinang dalam tahun 1963, kemudian cerpen ‘Hj. Salikun Cuba Berkhalwat’ di dalam Warta Mingguan 1963, Allahyarham tidak henti-henti memberikan kita cerpen-cerpen yang sarat dengan pengajaran.

Salah satu cerpen terbaiknya bertajuk ‘Sami Mekong’ mendapat perhatian peminat sastera sehingga Azizi kemudian mengangkatnya menjadi sebuah novel.

Dalam kalangan penulis, Azizi dikenali sebagai penulis sayembara apabila sering muncul sebagai pemenang dalam sayembara penulisan anjuran pelbagai pihak baik di peringkat negeri mahupun nasional.

Azizi pernah menerima Hadiah Sastera dalam genre cerpen lima tahun berturut-turut dari tahun 1971 hingga 1975.

Antaranya ialah Cerpen ‘Jerat Sudah Mengena’, ‘Latifah Rabbaniah’, ‘Bapa’, ‘Wau Kepala Burung’, ‘Bibit Cinta’ dan ‘Kipas Angin’.

Selain itu, Allahyarham sering mendapat tempat dalam sayembara cerpen anjuran Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri, Esso-Gapena, Yayasan Sabah-Gapena, Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank dan badan-badan lain.

Cerpen-cerpen Allahyarham yang pernah menarik perhatian panel juri sayembara ialah ‘Pelarian ke Dua’, ‘Tirusilvam’ dan ’Seladang’.

Cerpen ‘Tulang Pekasam Ikan Puyu’ pula telah dijadikan skrip drama TV dan memenangi sayembara penulisan skrip TV ketika itu.

Azizi juga memiliki kekuatan dalam genre novel. Novel ketiganya bertajuk ‘Senja Belum Berakhir’ yang ditulis dalam tahun 1971 adalah novel pertama yang dipilih sebagai pemenang Hadiah Sastera.

Azizi juga cemerlang dalam genre penulisan skrip drama radio. Dalam tahun 90-an, Allahyarham pernah meraih Hadiah Skrip Drama Radio Terbaik dalam Anugerah Sri Angkasa.

Kemuncak kejayaannya ialah apabila Allahyarham menerima SEA Write Award anjuran kerajaan Thailand pada tahun 1988.

Kekuatan karya-karya Azizi memang tidak boleh dipertikaikan sehingga beberapa buah cerpennya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris (termasuk antologi), bahasa Cina, Jepun dan Thai.

Memang lumrah bagi penulis untuk mengharapkan karyanya diangkat menjadi teks sastera di sekolah. Bagi Azizi, hasrat itu tercapai melalui novel ‘Seorang Tua di Kaki Gunung’ yang dijadikan bacaan wajib Tingkatan 5 Sastera.

Novel ini juga telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Jepun oleh Dr. Fujimorai dan Tahiyibah Sulaiman.

Azizi Hj. Abdullah memang seorang penulis yang prolifik. Dalam tempoh lebih 50 tahun bergiat dalam bidang penulisan, Azizi telah melahirkan hampir 200 buah cerpen, 30 buah novel dan beberapa antologi cerpen.

Sepanjang berkarya, Azizi telah menggunakan beberapa nama pena seperti Jamong, Qalam Adly, Anita, Shahrul Manjarishah, Tan Sri Sasterawan, Sri Bungsu dan Tukya.

Dalam tahun 1976, Allahyarham dianugerahkan bintang Ahli Mangku Negara bagi mengenang jasanya kepada Negara.

Allahyarham juga tidak ketinggalan mengikuti perkembangan teknologi komputer dan internet. Dalam kesibukannya berkarya, Allahyarham tidak lupa mencatat aktivitinya di dalam blog.

Antara catatan terakhir Allahyarham Azizi Hj. Abdullah yang sempat saya baca ialah pada April lalu yang menyebut bahawa Allahyarham terpaksa menelan pil tidak kurang 300 biji untuk pelbagai fungsi.

“Kencing pun lebih dari 20 liter. Sesekali ingat bagus juga hikmah sakit jika di hospital, layanan serba baik ketika usia menancap enam puluh sembilan tahun sebelas hari, sementara menunggu pembedahan yang kononnya akan dikendali Dato’ Dr Hamzah” .

Demikian antara catatan terakhir Allahyarham Azizi Hj. Abdullah di blognya.

Al-Fatihah…


Saturday, August 20, 2011

EGM SWAM: KE ARAH TRANSFORMASI PROFESION PENULIS SKRIP

Dengar khabar Persatuan Penulis Skrin Malaysia (SWAM) akan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 17 September 2011.

Ini bagi memenuhi hasrat sebilangan besar ahlinya yang menolak kepimpinan Ismail Ahmad yang juga merupakan salah seorang jawatankuasa pengasas persatuan pada 1995.

Amat menyedihkan bagi persatuan yang saya turut terlibat sebagai pengasas bersama Presiden pertama. A. Wahid Nasir, terpaksa berhadapan dengan saat getir pada ketika industri penerbitan sudah mula pulih.

Saya yang ketika penubuhannya merupakan Timbalan Presiden SWAM bersama Presiden dan Setiausaha Agung pertama, Allahyarham Radzi Sayed dengan berat hati meninggalkan persatuan yang kami sayangi kerana sudah nampak ada bibit-bibit ia dipergunakan oleh beberapa ahli untuk kepentingan sendiri.

Apa yang kami takuti dahulu akhirnya menjadi kenyataan 15 tahun kemudian.

Diharapkan EGM SWAM pada 17 September itu nanti akan menjadi titik tolak kepada transformasi SWAM ke arah memartabatkan profesion Penulis Skrip di negara ini.

Tuesday, August 16, 2011

Akhbar The Star Diminta Lakukan 'Sesuatu' Berhubung Penyiaran Artikel Ramadan


PUTRAJAYA, 16 Ogos (Bernama)-- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang belum berpuas dengan penjelasan akhbar The Star berhubung penyiaran artikel sisipan Ramadan pada minggu lepas, meminta akhbar itu berbuat 'sesuatu' untuk memastikan pihak yang berasa tersinggung mendapat penjelasan sepenuhnya daripada akhbar itu.

Bercakap pada sidang akhbar di sini Selasa, beliau berkata penjelasan kepada rakyat adalah lebih penting berbanding penjelasan kepada beliau atau kementeriannya sendiri.

"Yang saya tidak berpuas hati itu yang menyebabkan saya minta Ketua Pengarang akhbar berkenaan jumpa saya hari ini untuk mendapatkan penjelasan bagaimana kita dapat pastikan jika kesilapan berlaku ia mesti dinyatakan sejelas-jelasnya kekesalan itu terhadap rakyat beragama Islam," katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarang The Star juga telah dipanggil Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri Datuk Abdul Rahim Mohamad Radzi untuk memberikan penjelasan berhubung perkara itu.

"Tetapi apabila jawapan diberi kepada pegawai kita... saya rasa saya tengok bila sudah dikipas dan diapi-apikan oleh pihak tersinggung, saya rasa penting untuk kita buat 'sesuatu' untuk turunkan suhu kemarahan orang supaya tiada polemik berlaku," katanya.

Akhbar berkenaan dalam sisipan 'Dining Out' dengan 'Ramadan Delights' sebagai tajuk muka depan pada minggu lepas, telah menyiarkan artikel yang memuatkan gambar-gambar masakan daging khinzir serta artikel mengenai restoran tidak halal yang menyediakannya.

Friday, August 12, 2011

GAFIM DAN PFM BERDAMAI

12 OGOS 2011 – Kontroversi yang timbul antara Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dan Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) ekoran berbalas kenyataan menerusi media kini telah tamat.

Demikian menurut kenyataan GAFIM yang dikeluarkan di ibu negara hari ini.

GAFIM berkata, bagi menyelesaikan kemelut yang melanda, kedua-dua belah pihak telah mengambil sikap buang yang keruh, ambil yang jernih apabila telah mengadakan pertemuan damai pada 08/08/2011 yang lalu. Kedua-dua pihak juga bersepakat untuk memberikan tumpuan kepada menjalin kerjasama demi kemajuan industri perfileman tanahair.

Pihak GAFIM yang kini terdiri daripada 11 persatuan berkaitan industri kreatif mengambil ketetapan menghormati keputusan PFM yang mahu bergerak secara bersendirian oleh kerana ianya sebuah gabungan syarikat-syarikat perfileman dan pelabur. GAFIM dan PFM akan berkerjasama berdasarkan keperluan yang boleh menggalakkan pembangunan industri hiburan tanahair.

Manakala pihak PFM pula menghormati keputusan ahli-ahli gabungan memilih barisan kepimpinan baru GAFIM dalam mesyuarat agung pada 17 Julai 2011 yang lalu.

Berhubung penganjuran Festival Filem Malaysia ke 24 (FFM24), GAFIM menerima pendirian PFM untuk tidak terlibat dalam pengurusan FFM 24 tetapi PFM tetap akan memberikan sokongan bagi menjayakan acara tahunan tersebut. Ahli-ahli PFM yang telah dilantik menduduki jawatankuasa festival akan terus menyumbang mengikut bidang tanggujawab masing-masing.

GAFIM dan PFM juga berharap mereka dapat mengadakan pertemuan dari semasa ke semasa demi kebaikan kedua-dua pihak.