Friday, November 16, 2012

DERITA GAZA


(Petikan NOTA PENGARANG terbitan Bernama Radio24 pada 16 November 2012)

  
Sehari menjelang kedatangan tahun baharu  1434 Hijri, dunia dikejutkan dengan serangan Israel terhadap Semenanjung Gaza yang mengakibatkan kematian 11 orang awam termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita hamil.

Kira-kira  100 orang turut cedera dalam serangan itu.  Lebih 50 serangan udara dilaporkan berlaku ke atas lebih 200 sasaran  yang disifatkan sebagai paling ganas dalam tempoh empat tahun.  Serangan itu juga turut membunuh Komander sayap bersenjata  Hamas, Briged al-Qassam, Ahmed al-Jaabari.

Serangan tersebut  dilihat sebagai tindakan pengecut dan tidak berperi kemanusiaan.  Israel mendakwa serangan itu dilakukan sebagai tindak balas serangan  kumpulan Hamas terhadap Israel namun  tindakan ketenteraan  Israel terhadap orang awam termasuk kanak-kanak adalah sesuatu yang tidak harus berlaku.

Serangan tersebut  terjadi   ketika Palestin sedang bersiap-sedia untuk mengemukakan petisyen menjadi negara  anggota bertaraf pemerhati dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada perhimpunan agung badan  dunia itu 29 November depan.

Seorang diplomat kanan PBB berkata jika pengundian dibuat terhadap petisyen itu, Palestin berkemungkinan besar akan memperoleh 120 hingga 130 undi daripada 193 anggota Perhimpunan Agung PBB.  Israel bimbang jika petisyen itu diterima,  pengaruhnya dalam PBB mungkin berkurangan.

Ini terbukti apabila Kementerian Luar Israel  mengemukakan cadangan untuk menggulingkan presiden Mahmoud Abas jika PBB meluluskan petisyen Palestin itu.  Menurut dokumen cadangan itu, ia adalah satu-satunya pilihan jika usaha lain gagal.

Sekarang ini, taraf pemerhati tetap hanya diberikan kepada  Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pimpinan Mahmoud Abas yang mewakili kumpulan terbesar di Palestin.  Abas sebaliknya mahu Palestin sendiri menjadi negara pemerhati bukan anggota berdasarkan sempadan sebelum Israel menduduki Tebing Barat, Baitulmuqadis dan Semenanjung Gaza  pada 1967.  Inilah yang ditakuti oleh Israel dan juga  Amerika Syarikat.

Ia juga satu ujian bagi Presiden Barack Obama yang baru sahaja dipilih untuk memegang jawatan presiden Amerika Syarikat bagi  penggal kedua pada pilihanraya negara itu minggu lalu.  Obama nampaknya tiada pilihan dan terpaksa akur dengan pendirian rasmi Amerika Syarikat yang bersama-sama Israel  menentang petisyen yang akan dikemukakan oleh Presiden Palestin, Mahmoud Abas.

Amerika Syarikat dan Israel turut menjadikan kegagalan perbincangan damai sebagai alasan untuk tidak menyokong penubuhan negara Palestin yang merdeka.  Mereka bertegas dengan pendirian bahawa negara Palestin tidak boleh ditubuhkan tanpa adanya perbincangan damai yang telah tertangguh selama lebih dua tahun.  Sementara itu, Israel masih terus melaksanakan program penempatan di wilayah-wilayah Palestin yang didudukinya.

Serangan itu juga telah menjejaskan hubungan Israel dengan Mesir yang memang dilihat semakin runcing sejak Mohamad Morsi mengambil alih jawatan Presiden.  Malah Morsi kelihatan lebih proaktif apabila segera memanggil pulang dutanya di Israel sebagai tindak balas terhadap serangan Israel itu.

Apa pula tindakan Majlis Keselamatan PBB dalam isu ini?

Majlis itu dilaporakan mengadakan mesyuarat tergempar selepas serangan berkenaan tetapi tidak mengambil sebarang tindakan.  Duta India ke PBB yang juga Presiden Majlis Keselamatan PBB, Hardeep Singh Puri memberitahu wartawan selepas mesyuarat tertutup selama 90 minit itu, bahawa 15 negara anggota majlis tersebut hanya bersetuju mengeluarkan pengumuman menyatakan  satu mesyuarat tergempar telah diadakan.
Selain itu, tiada butir lain diberikan.

Apakah ini layaknya tindakan satu badan dunia yang mewakili kepentingan semua negara anggota?

Hardeep yang selanjutnya bercakap bagi pihak India, dan bukan Majlis keselamatan PBB, berkata mesyuarat tergempar itu membuktikan kesungguhan badan dunia itu mengurangkan ketegangan di Timur Tengah dan mengelakkan konflik Israel-Palestin bertambah buruk.  Namun tindakan dan kenyataan itu dilihat sebagai tidak serius.

Majlis Keselamatan PBB sepatutnya mengeluarkan kenyataan menggesa Israel menghentikan segala tindakan ketenteraan terhadap penduduk Gaza namun tiada sebarang pengumuman  mengenai isu itu dibuat.
Bagi masyarakat dunia yang cintakan keamanan, ini satu petanda bahawa bahawa badan dunia itu memang takut dan sentiasa mengikut telunjuk kuasa barat dan Israel sendiri.

Mungkin Setiausaha Agung PBB, Ban Ki Moon harus ke hadapan bagi menyelesaikan konflik berkenaan.
Beliau dilaporkan sudah menelefon Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan Presiden Mesir Mohamad Mursi bagi menyatakan pendiriannya. 

Namun segalanya terletak kepada kesungguhan pihak terbabit terutamanya Israel bagi menghentikan peperangan yang tidak berfaedah itu.

Malaysia yang menyokong petisyen negara  Palestin untuk menjadi pemerhati tetap  PBB telah menyatakan pendiriannya terhadap serangan Israel itu.  Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam kenyataannya semalam mendesak PBB khususnya Majlis Keselamatannya untuk mengambil tindakan tegas terhadap Israel kerana tindakan biadapnya.

Selain itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NG0) turut mengutuk serangan itu.  Antaranya ialah Aman Palestin yang mengeluarkan kenyataan bahawa keadaan akan menjadi bertambah teruk jika tidak diambil tindakan segera.

Malah ramai yang meramalkan pertempuran seperti yang berlaku pada 2008 dan 2009 mungkin akan berulang.

Hari  ini, beberapa NGO  mengadakan perhimpunan bagi membantah serangan Israel itu.

Pada sebelah pagi,   Islamic Relief Malaysia  mengadakan sidang media mengenai serangan itu. 
Mereka   juga berlintas langsung dengan pejabat Islamic Relief  di Gaza untuk mendapatkan gambaran terkini di sana.

Pada sebelah tengah hari, Pertubuhan Ikram Malaysia, Aqsa Sharif dan Haluan  berhimpun di Masjid Tabung Haji untuk solat Jumaat dan kemudiannya berarak ke kedutaan Amerika Syarikat.

Bagi saya,   tindakan segelintir kecil kita  tidak mencukupi jika tidak  disertai dengan usaha bersungguh-sungguh pihak-pihak berkenaan terutama kuasa-kuasa besar dunia serta pertubuhan-pertubuhan antarabangsa. 

Thursday, November 15, 2012

Congrats Obama!


Apakah kesan keputusan Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat minggu lalu terhadap Malaysia dan rantau Asia? 

Secara perbandingan, Malaysia dan Amerika Syarikat seperti langit dengan bumi.  Dalam keadaan biasa, Malaysia tidak berada dalam kamus rakyat Amerika kecuali pada musim-musim tertentu bagi sebilangan rakyat negara itu yang ingin mencari tempat untuk bercuti.

Itupun, mereka akan selalu merujuk Malaysia sebagai negara di selatan Thailand atau utara Singapura.

Presiden  Barack Obama dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak boleh dikira muncul sebagai pemimpin tertinggi di negara masing-masing  pada masa yang hampir sama.  Mereka mula mengetuai masing-masing  pada tahun yang sama, hanya selang 10 minggu sahaja antara satu sama lain.

Pada pertemuan pertama mereka di Washington pada Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear pada 2010,  Datuk Seri Najib dan Presiden Obama sempat mengadakan mesyuarat dua hala bagi membincangkan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan bersama, termasuk isu-isu serantau.

Mesyuarat tersebut amat bermakna bagi Malaysia kerana Datuk Seri Najib adalah antara 46 orang pemimpin yang berpeluang bertemu secara peribadi dengan Obama di luar  sidang kemuncak tersebut.  Perdana Menteri  juga merupakan satu-satunya pemimpin dari enam negara Asia Tenggara yang berkesempatan mengadakan perbincangan dengan Obama.

Kemenangan Presiden  Obama sudah pasti amat bermakna kepada Malaysia yang mahu hubungan yang dimulakan dua tahun lalu dapat diterjemahkan dalam bentuk persahabatan yang lebih akrab.

Dalam skop yang lebih luas, Malaysia turut memerhati dengan penuh minat agenda Presiden Obama untuk tempoh empat tahun mendatang yang dikira lebih mencabar.

Apa yang menarik perhatian masyarakat luar Amerika termasuk kita di Malaysia ialah dasar luar yang akan diamalkan oleh pentadbiran Presiden Obama.

Beberapa isu yang dibangkitkan semasa kempen jelas menjurus kepada perkembangan di negara-negara Islam yang juga menjadi perkara yang diperhatikan oleh Malaysia.

Isu Palestin yang masih belum jelas penghujungnya akan menjadi agenda penting Obama.

Presiden Palestin Mahmoud Abas dilaporkan akan mengemukakan petisyen bulan hadapan untuk menjadi anggota tetap Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) yang turut disokong oleh Malaysia.

Jika PBB menerima petisyen itu, Kongres Amerika Syarikat sudah pasti akan membatalkan bantuan kepada Palestin dan juga PBB.

Obama harus berhati-hati dalam menyatakan pendiriannya dalam isu ini demi menjaga hubungan baiknya dengan negara-negara Islam serta memastikan beliau terus menerima sokongan daripada pengundi pro-Israel.

Selain itu beliau juga masih mempunyai tugas penting yang perlu diselesaikan iaitu menyambung kembali perbincangan damai antara Palestin dan Israel.  Tugas yang berat tetapi perlu dilakukan.

Pemerhati berpendapat tugas itu seakan-akan mustahil dilakukan memandangkan hubungan antara Obama dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dikatakan tidak begitu  baik.

Masih di timur tengah, isu Syria dan kerajaan baharu di Mesir turut berada dalam diari Presiden Obama.  Beliau dilihat terlalu berhati-hati kerana apa sahaja tindakan beliau sudah pasti menjejaskan kedudukannya sebagai Presiden serta peluang Demokrat untuk  menguasai Kongres yang kini didominasi oleh Republikan.

Di Afghanistan, pemimpin dan rakyat negara itu menunggu dengan penuh sabar akan tarikh Disember 2014 yang akan menyaksikan pengunduran tentera NATO yang diketuai oleh Amerika Syarikat dari negara itu.

Sama ada ia pengunduran keseluruhan pasukan NATO atau pengunduran berperingkat-peringkat, rakyat Afghanistan perlu juga memikirkan mengenai kemampuan mereka mengendalikan keselamatan di negara itu.

Walaupun tentera Afghanistan sudah mula diberi tanggungjawab menjaga keselamatan di kawasan-kawasan yang sering berlaku keganasan, kemampuan ketenteraan dan kewangan harus juga difikirkan.

Ada juga kebimbangan dalam kalangan sebilangan pihak di Afghanistan mengenai kemunculan semula kumpulan  Taliban yang memang menunggu peluang untuk merampas kembali kuasa di negara itu.

Bagaimana pula dasar luar Amerika Syarikat di Asia?

Para pakar Asia berpendapat, jika Amerika ingin memainkan peranan lebih bermakna, mereka perlu membina pangkalan tentera di negara-negara Asia dan ini hanya boleh dilakukan jika White House dan Kongres meluluskan peruntukan besar untuk tujuan itu. 

Selain itu, kehadiran kuasa ketenteraan di Asia perlu dilakukan secara berhati-hati bagi mengelakkan pergeseran dengan kuasa besar Asia iaitu China.

Sudah pasti Presiden Obama tidak mahu hubungan baik dengan Beijing yang dimulakan oleh bekas Presiden Richard Nixon dahulu menjadi keruh hanya kerana keinginan untuk meluaskan pengaruh di Asia.

Turut berada pada senarai penting diari Obama adalah isu program nuklear Iran yang akan menjadi bahan perbincangan utama antara Amerika Syarikat dan Iran dalam tempoh beberapa bulan ini.

Belum ada tarikh ditetapkan untuk perbincangan itu tetapi ia pasti berlaku selewat-lewatnya sebelum pilihanraya Presiden Iran Jun tahun hadapan.

Dari Timur Tengah, ke China, ke Iran, ke isu-isu domestik Amerika Syarikat sendiri, Presiden Obama akan menjadi lebih sibuk untuk empat tahun akan datang ini. 

Tahniah Presiden Barack Obama.  Selamat kembali ke White House.

Friday, November 2, 2012

ROHINGYA OH ROHINGYA


Masyarakat Islam Rohingya di Myanmar semakin hari semakin terhimpit akibat keganasan yang tidak lagi dapat dibendung.

Pelbagai gesaan dibuat oleh masyarakat antarabangsa agar penindasan terhadap Rohingya Islam di Arakan, yang sebelum ini dikenali sebagai negeri Rakhine, dihentikan serta-merta.

Namun gesaan itu seperti tidak mendapat perhatian pihak-pihak berkenaan di Myanmar termasuk kerajaan dan pembangkang utama, yang diketuai oleh pemenang anugerah nobel keamanan, Aung San Suu Kyi.

Sikap Suu Kyi yang dilihat tidak lantang memperjuangkan nasib etnik  Rohingya turut ditegur oleh Pengarah Kempen Burma, United Kingdom, Anna Roberts.

Roberts berkata Suu Kyi sengaja melepaskan peluang untuk menggunakan pengaruhnya bagi meredakan ketegangan di Arakan dan sekaligus memberi kelegaan kepada masyarakat Rohingya.

Kenyataan Roberts turut mendapat perhatian penyokong Suu Kyii sendiri yang keliru dengan sikap pemimpin mereka yang enggan mengkritik sikap tidak acuh Presiden Thein Sein terhadap penderitaan masyarakat Islam Rohingya.

Diskriminasi terhadap masyarakat Islam Rohingya telah berlarutan sejak sekian lama kerana tidak ada tindakan pro-aktif daripada masyarakat dunia termasuk negara-negara Islam sendiri bagi membantu mereka.

Organisasi antarabangsa, pertubuhan bukan kerajaan serta  pertubuhan hak asasi manusia  seharusnya bersatu bagi menghentikan kezaliman dan penindasan terhadap kumpulan etnik Rohingya yang memang tiada saluran khusus untuk mengadu nasib.

Paling mengejutkan ialah laporan mengenai tindakan kerajaan Myanmar yang menyekat penyaluran bantuan kemanusiaan kepada masyarakat Rohingya.

Ini  menyebabkan beratus-ratus ribu orang yang tiada tempat tinggal tidak mendapat bantuan makanan dan ubat-ubatan yang amat mereka perlukan.

Kesengsaraan itu bukan sahaja dirasai oleh masyarakat Islam Rohingya tetapi turut melibatkan penganut Buddha yang juga terjejas dengan keganasan yang berlaku di Arakan.

Keganasan di Arakan turut menarik perhatian Pertubuhan Kerjasama  Islam (atau OIC).

Dalam satu mesyuarat Jawatankuasa  Eksekutif membincangkan isu Rohingya di ibu pejabat OIC di Jeddah baru-baru ini, Setiausaha Agungnya,  Ekmelledin Ihsanoglu berkata pertubuhan itu akan meminta kerajaan Myanmar memberikan kebenaran menghantar  misi untuk mencari fakta.

Misi itu jika berjaya dilaksanakan sudah pasti akan memberi jawapan kepada beberapa persoalan mengenai isu di Arakan itu.

Ihsanoglu tidak hanya mengeluarkan kenyataan tetapi disusuli dengan arahan kepada pejabatnya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York agar berkerjasama dengan negara-negara yang bukan anggota tetap Majlis Keselamatan badan dunia itu bagi mendesak PBB bertindak terhadap isu Rohingya.

Memang selama ini masyarakat antarabangsa tidak pernah didedahkan kepada permasalahan sebenar di wilayah bergolak itu.

Apa yang dilaporkan hanyalah berupa pertelingkahan yang lebih menjurus kepada faktor bangsa dan agama.

Jika dilihat dari sudut yang lebih luas, ia seharusnya ditangani secara menyeluruh kerana penderitaan tidak harus ada sempadan bangsa dan agama.

Amat jelas dalam soal keganasan antara penganut Buddha dan masyarakat Islam Rohingya, kerajaan Myanmar menyebelahi penganut Buddha dan ini sekaligus merumitkan lagi isu berkenaan.

Dalam perkara ini, semua pihak di Myanmar haruslah melihat isu itu dari sudut kemanusiaan dan bukan sudut kebangsaan yang sempit.

Kemarahan masyarakat antarabangsa terhadap kerajaan Myanmar tidak dapat dibendung lagi.

Kecaman OIC, PBB dan kumpulan hak asasi manusia bertambah hebat apabila terdapat dakwaan bahawa tentera Myanmar membenar  etnik Buddha menyerang Islam Rohingya.

Jika dakwaan itu benar, ia adalah sesuatu yang amat malang bagi mereka yang memperjuangkan konsep   dunia tanpa peperangan.

Kesengsaraan masyarakat Rohingya tidak berhenti dengan kekejaman yang mereka alami di tanah air sendiri.

Kerajaan Bangladesh yang menerima masyarakat Rohingya sebagai pelarian di negara itu dilaporkan telah mengarahkan tiga pertubuhan amal antarabangsa menghentikan penghantaran bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya di negara itu.

Menurut  kerajaan Bangladesh, ia adalah langkah menyekat kemasukan pelarian baharu ke  negara itu.

Langkah Bangladesh itu sudah pasti satu sikap yang tidak harus ditunjukkan oleh sebuah negara Islam yang sepatutnya  mempertahankan masyarakat Islam daripada ditindas.

Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Syukurlah keadaan itu tidak berlaku di Malaysia.

Dalam hal ini, negara ini  tidak ketinggalan menyumbang kepada kebajikan Islam Rohingya. 

Ini dilakukan atas dasar bahawa semua manusia mempunyai hak untuk hidup dan menerima segala keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Tanpa mengira  asal usul mereka, Malaysia tetap bersikap terbuka dalam isu Rohingya ini dan sentiasa memberi perhatian kepada kebajikan mereka yang berada di negara ini.

Dianggarkan seramai 15,000 orang  etnik Rohingya berada di Malaysia dan mereka diiktiraf sebagai pelarian oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian atau UNHCR.

Bagi mereka yang  berada di Myanmar pula, pelbagai bantuan dihulurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan bagi meringankan beban kehidupan yang mereka alami.

Kita berharap dengan usaha bersepadu semua pihak terutamanya pertubuhan antarabangsa, kesengsaraan masyarakat Islam Rohingya akan dapat ditamatkan dan proses pembersihan etnik seperti yang pernah berlaku di Serbia dapat dielakkan.