Powered By Blogger

Friday, November 2, 2012

ROHINGYA OH ROHINGYA


Masyarakat Islam Rohingya di Myanmar semakin hari semakin terhimpit akibat keganasan yang tidak lagi dapat dibendung.

Pelbagai gesaan dibuat oleh masyarakat antarabangsa agar penindasan terhadap Rohingya Islam di Arakan, yang sebelum ini dikenali sebagai negeri Rakhine, dihentikan serta-merta.

Namun gesaan itu seperti tidak mendapat perhatian pihak-pihak berkenaan di Myanmar termasuk kerajaan dan pembangkang utama, yang diketuai oleh pemenang anugerah nobel keamanan, Aung San Suu Kyi.

Sikap Suu Kyi yang dilihat tidak lantang memperjuangkan nasib etnik  Rohingya turut ditegur oleh Pengarah Kempen Burma, United Kingdom, Anna Roberts.

Roberts berkata Suu Kyi sengaja melepaskan peluang untuk menggunakan pengaruhnya bagi meredakan ketegangan di Arakan dan sekaligus memberi kelegaan kepada masyarakat Rohingya.

Kenyataan Roberts turut mendapat perhatian penyokong Suu Kyii sendiri yang keliru dengan sikap pemimpin mereka yang enggan mengkritik sikap tidak acuh Presiden Thein Sein terhadap penderitaan masyarakat Islam Rohingya.

Diskriminasi terhadap masyarakat Islam Rohingya telah berlarutan sejak sekian lama kerana tidak ada tindakan pro-aktif daripada masyarakat dunia termasuk negara-negara Islam sendiri bagi membantu mereka.

Organisasi antarabangsa, pertubuhan bukan kerajaan serta  pertubuhan hak asasi manusia  seharusnya bersatu bagi menghentikan kezaliman dan penindasan terhadap kumpulan etnik Rohingya yang memang tiada saluran khusus untuk mengadu nasib.

Paling mengejutkan ialah laporan mengenai tindakan kerajaan Myanmar yang menyekat penyaluran bantuan kemanusiaan kepada masyarakat Rohingya.

Ini  menyebabkan beratus-ratus ribu orang yang tiada tempat tinggal tidak mendapat bantuan makanan dan ubat-ubatan yang amat mereka perlukan.

Kesengsaraan itu bukan sahaja dirasai oleh masyarakat Islam Rohingya tetapi turut melibatkan penganut Buddha yang juga terjejas dengan keganasan yang berlaku di Arakan.

Keganasan di Arakan turut menarik perhatian Pertubuhan Kerjasama  Islam (atau OIC).

Dalam satu mesyuarat Jawatankuasa  Eksekutif membincangkan isu Rohingya di ibu pejabat OIC di Jeddah baru-baru ini, Setiausaha Agungnya,  Ekmelledin Ihsanoglu berkata pertubuhan itu akan meminta kerajaan Myanmar memberikan kebenaran menghantar  misi untuk mencari fakta.

Misi itu jika berjaya dilaksanakan sudah pasti akan memberi jawapan kepada beberapa persoalan mengenai isu di Arakan itu.

Ihsanoglu tidak hanya mengeluarkan kenyataan tetapi disusuli dengan arahan kepada pejabatnya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York agar berkerjasama dengan negara-negara yang bukan anggota tetap Majlis Keselamatan badan dunia itu bagi mendesak PBB bertindak terhadap isu Rohingya.

Memang selama ini masyarakat antarabangsa tidak pernah didedahkan kepada permasalahan sebenar di wilayah bergolak itu.

Apa yang dilaporkan hanyalah berupa pertelingkahan yang lebih menjurus kepada faktor bangsa dan agama.

Jika dilihat dari sudut yang lebih luas, ia seharusnya ditangani secara menyeluruh kerana penderitaan tidak harus ada sempadan bangsa dan agama.

Amat jelas dalam soal keganasan antara penganut Buddha dan masyarakat Islam Rohingya, kerajaan Myanmar menyebelahi penganut Buddha dan ini sekaligus merumitkan lagi isu berkenaan.

Dalam perkara ini, semua pihak di Myanmar haruslah melihat isu itu dari sudut kemanusiaan dan bukan sudut kebangsaan yang sempit.

Kemarahan masyarakat antarabangsa terhadap kerajaan Myanmar tidak dapat dibendung lagi.

Kecaman OIC, PBB dan kumpulan hak asasi manusia bertambah hebat apabila terdapat dakwaan bahawa tentera Myanmar membenar  etnik Buddha menyerang Islam Rohingya.

Jika dakwaan itu benar, ia adalah sesuatu yang amat malang bagi mereka yang memperjuangkan konsep   dunia tanpa peperangan.

Kesengsaraan masyarakat Rohingya tidak berhenti dengan kekejaman yang mereka alami di tanah air sendiri.

Kerajaan Bangladesh yang menerima masyarakat Rohingya sebagai pelarian di negara itu dilaporkan telah mengarahkan tiga pertubuhan amal antarabangsa menghentikan penghantaran bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya di negara itu.

Menurut  kerajaan Bangladesh, ia adalah langkah menyekat kemasukan pelarian baharu ke  negara itu.

Langkah Bangladesh itu sudah pasti satu sikap yang tidak harus ditunjukkan oleh sebuah negara Islam yang sepatutnya  mempertahankan masyarakat Islam daripada ditindas.

Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Syukurlah keadaan itu tidak berlaku di Malaysia.

Dalam hal ini, negara ini  tidak ketinggalan menyumbang kepada kebajikan Islam Rohingya. 

Ini dilakukan atas dasar bahawa semua manusia mempunyai hak untuk hidup dan menerima segala keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Tanpa mengira  asal usul mereka, Malaysia tetap bersikap terbuka dalam isu Rohingya ini dan sentiasa memberi perhatian kepada kebajikan mereka yang berada di negara ini.

Dianggarkan seramai 15,000 orang  etnik Rohingya berada di Malaysia dan mereka diiktiraf sebagai pelarian oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian atau UNHCR.

Bagi mereka yang  berada di Myanmar pula, pelbagai bantuan dihulurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan bagi meringankan beban kehidupan yang mereka alami.

Kita berharap dengan usaha bersepadu semua pihak terutamanya pertubuhan antarabangsa, kesengsaraan masyarakat Islam Rohingya akan dapat ditamatkan dan proses pembersihan etnik seperti yang pernah berlaku di Serbia dapat dielakkan.





No comments: