Powered By Blogger

Tuesday, December 29, 2020

Mat London Kekal Jawatan

Hulu Kelang, 28 Dis -- Ahmad Ibrahim yang juga dikenali sebagai Mat London berjaya mengekalkan jawatan Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) setelah menang tanpa bertanding pada Mesyuarat Agung Tahunannya yang ke-23 hari ini.

Mesyuarat yang diadakan di Auditorium Mini P. Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di sini dihadiri oleh 48 Ahli Aktif yang layak mengundi.

Ketika menyampaikan ucapan dasarnya Ahmad turut menyentuh mengenai nasib pengamal industri yang terjejas dengan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

Sebagai langkah awal, FDAM, katanya, akan terus melaksanakan program yang dimulakan  Ahli Majlis Kerja (AMK) FDAM yang lalu.

"Antaranya ialah perbincangan dengan Persatuan Penerbit Filem Malaysia untuk menyelaraskan tangga gaji pengarah. FDAM juga akan mengadakan usahasama dengan agensi kerajaan serta swasta dalam mempelbagaikan lagi sumber pendapatan ahli serta persatuan," katanya.

FDAM juga, tambahnya, akan mengadakan kempen penyertaan golongan muda iaitu Pengarah Amatur dengan mengadakan program  khusus secara inkubasi bersama dengan golongan pengarah profesional dalam FDAM sendiri.

Turut dipilih menerajui badan berusia 30 tahun itu bagi penggal 2021-2022 ialah Datuk Zulkeflie M. Osman sebagai Timbalan Presiden, Mohamad Zaini Hassan (Ketua Sekretariat), Saradha Sivalingan (Timbalan Ketua Sekretariat) dan Loganathan Kanabaty (Bendahari).

Manakala Ahli Jawatankuasa (AJK) terdiri daripada Roslainur Roslan, Ahmad Hashim, Esma Dainal Md Isa dan Sofia J Rhyland.

Dua lagi kekosongan AJK akan diisi secara lantikan Presiden.