Powered By Blogger

Saturday, August 16, 2014

Robin Williams adalah Adrian Cronauer



Pelakon Robin Williams yang ditemui mati dipercayai  akibat bunuh diri pada usia 63 tahun pada 11 Ogos lalu, mempunyai kerjaya cemerlang sepanjang pembabitannya dalam bidang filem. 

Dilahirkan sebagai Robin McLaurin Williams, beliau memulakan kerjaya seninya sebagai stand-up comedian  di  San Francisco dan Los Angeles.

Namanya mula dikenali apabila berlakon   dalam sitkom  televisyen  Mork & Mindy terbitan  ABC pada 1978 hingga 1982. 

Menerusi siri itu, Williams menerima Anugerah Golden Globe bagi kategori Aktor  TV Terbaik untuk Muzikal/Komedi pada 1979.

Salah satu kemunculannya yang dianggap terbaik oleh pengkritik filem adalah lakonannya dalam filem Good Morning, Vietnam yang hasilkan pada 1987.

Filem itu mengenai seorang DJ ortodoks yang mengubah keadaan apabila  dihantar bertugas di Perkhidmatan Radio Tentera Amerika di Vietnam.

Good Morning, Vietnam memaparkan kehidupan sebenar Adrian Cronauer (lakonan Williams), seorang bekas sarjan dan deejay Tentera Udara Amerika Syarikat yang berkhidmat di Saigon ketika Peperangan Vietnam di antara 1965 dengan 1966.

Peranan Williams sebagai personaliti radio era perang dengan sikapnya yang tidak menghormati orang lain membawanya ke fasa lain dalam kerjayanya.

Pada 1988, lakonan cemerlang Williams dalam filem itu memberinya Anugerah Golden Globe untuk kategori Persembahan Terbaik oleh Aktor  dalam Filem Komedi/Muzikal.

Lakonan Williams dalam Good Morning, Vietnam telah juga diiktiraf  oleh  American Comedy Awards apabila beliau menerima  anugerah  kategori Aktor Paling Lucu dalam Filem Cereka (Peranan Utama).

Good Morning, Vietnam  salah sebuah daripada beberapa filem yang memaparkan kisah hidup personaliti radio.

Dalam filem Play Misty for Me (1971), Clint Eastwood memegang peranan sebagai deejay yang mempunyai hubungan sulit dengan pendengarnya dan kemudian diganggu oleh pendengar itu.

Filem FM terbitan 1978 mengisahkan seorang deejay rock dalam era kegemilangan muzik rock.
Filem Talk Radio (1988) pula mengenai dunia program bicarawara radio yang penuh kontroversi menerusi watak pengacara lakonan Eric Bogosian.

Filem Airheads (1994) mengisahkan tiga anggota kumpulan muzik mengugut kakitangan sebuah stesen radio dengan pistol plastik apabila ketua deejay enggan memainkan lagu mereka.

Pirate Radio (2009) pula memaparkan cerita mengenai stesen haram yang berleluasa di United Kingdom pada tahun 1960-an.

Filem Good morning, Vietnam menyentuh banyak pihak baik dalam tentera mahupun radio semuanya kerana watak  Adrian Cronauer yang hidup kerana gaya komedi gila-gila Robin Williams.

Tekanan dan kekecewaan akibat peperangan dan kemahiran menangani tekanan dengan mempersendakan situasi hanya mampu dilakukan oleh seorang individu yang luar biasa.

Williams  berjaya membawakan watak  Cronauer  mengikut acuannya apabila kesombongan Cronauer  berjaya ditonjolkan menerusi gaya gila-gilanya. 

Untuk berjaya dalam kerjaya radio, kadangkala seseorang itu perlu mempunyai sikap ‘kurang ajar’.  Ini yang dipaparkan menerusi watak Cronauer  oleh Robin Williams.

Sebagai pelakon,  Williams  memahami apa yang perlu diberi untuk menghidupkan Cronauer  di layar filem.


Penerbit Good Morning, Vietnam, Mark Johnson pernah berkata “Adrian Cronauer adalah watak yang dicipta untuk Robin Williams”.