Powered By Blogger

Tuesday, December 22, 2015

ROKOK ELEKTRONIK DAN VAPE HARAM


Majlis Fatwa Kebangsaan malam tadi memutuskan hukum penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin pada sidang media selepas Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia di Sepang.

Beliau berkata semua ahli muzakarah bersetuju dengan memberi pandangan hukum penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram.

Katanya keputusan itu dibuat setelah membuat pertimbangan daripada semua sudut termasuk syariah, perubatan dan saintifik serta unsur pembaziran dan budaya tidak sihat.

Muzakarah itu turut dihadiri mufti, timbalan mufti negeri-negeri dan ahli-ahli yang dilantik Majlis Raja-raja.

Abdul Shukor berkata kajian dari sudut kesihatan turut diambil kira hasil maklumat yang diperoleh daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang melakukan pengumpulan maklumat mengenai kesan penggunaan bahan itu di seluruh dunia.

Katanya  pakar kesihatan juga mendapati vape dan rokok elektronik tidak dapat membantu perokok dan perokok tegar untuk berhenti merokok.

Abdul Shukor berkata penggunaan vape dan rokok elektronik diharamkan berdasarkan Qaedah Saad al-Zarala iaitu menutup keburukan lebih besar dan lebih bahaya yang mungkin berlaku pada masa hadapan.

Beliau berkata penggunaan rokok elektronik dan vape boleh diibaratkan seperti menghisap rokok konvesional, yang mengandungi pelbagai bahan beracun.  

Keputusan itu  juga adalah selari dengan pendapat di beberapa negara Islam lain termasuk Bahrain, Kuwait, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu.

Beliau menambah penggunaan rokok elektronik dan vape turut diharamkan di beberapa negara bukan Islam.

Sejajar dengan keputusan yang dibuat, Abdul Shukor turut mengesyorkan negeri-negeri lain mengikuti keputusan yang dibuat Majlis Fatwa Kebangsaan itu.

Setakat ini  pihak berkuasa di Johor, Kedah, Kelantan, Wilayah Persekutuan dan Perak telah lebih awal membuat keputusan pengharaman penggunaan bahan itu.

SUMBER:  BERNAMA

Thursday, July 30, 2015

BELA KELUARGA MANGSA MH17 - MASIH ADA HARAPAN

Masih ada harapan untuk membawa mereka yang bertanggungjawab dalam tragedi pesawat MAS penerbangan MH17 ke muka pengadilan.

Demikian menurut  Felo Kanan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas) Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Sufian Jusoh ketika mengulas tindakan Rusia menggunakan kuasa vetonya bagi menggagalkan cadangan resolusi penubuhan tribunal antarabangsa MH17.

Beliau berkata jika tribunal itu ditubuhkan di bawah  Fasal 7 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semua anggota Majlis Keselamatan PBB termasuk Rusia wajib bekerjasama dengan mahkamah atau tribunal yang akan ditubuhkan.

Dr Sufian berkata salah satu  pilihan ialah  menubuhkan mahkamah khas dalam sistem perundangan Ukraine yang membolehkan mereka yang bertanggungjawab didakwa di bawah undang-undang jenayah negara itu.

"Bagaimanapun,  ini bergantung kepada keberanian  Ukraine untuk melaksanakan pendakwaan di bawah undang-undang mereka.

"Pilihan itu juga juga terletak kepada sama ada penjenayah berkenaan dikenal pasti dan boleh hadir untuk dibicarakan," katanya ketika bercakap kepada Bernama Radio24 hari ini.

Bagaimanapun,  katanya ini hanya boleh terlaksana dengan kerjasama Rusia.

Menurut Dr Sufian lagi, pilihan lain adalah mengadakan perbicaraan di Rusia melalui tribunal khas di negara itu.

Namun demikian, katanya, langkah itu mungkin tidak disokong kuasa-kuasa besar lain.

Dr Sufian yang juga Pengerusi Kumpulan Pakar Tidak Formal Asia-Afrika Bagi  Undang-Undang Antarabangsa berkata, dalam hal ini, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) bukan satu pilihan kerana ia  hanya membicarakan jenayah kemanusiaan,  penghapusan etnik dan jenayah perang.