Powered By Blogger

Sunday, June 19, 2011

LAGI-LAGI BAHASA

Saya runsing melihat tetamu dalam siaran TV kita sering melakukan kesalahan bahasa. Kalau seorang penjual keropok lekor (tiada niat prejudis) membuat kesalahan tersebut, saya boleh maafkan. Tapi bila pegawai di Jabatan Komunikasi Korporat melakukannya, saya tidak boleh menerimanya. Jika anda mengambil berat soal imej luaran, kenapa tidak anda juga mengambil berat soal bahasa? Ketahuilah semua istilah Inggeris yg berakhir dgn 'mum' tidak lagi diakhiri dgn 'ma' tetapi dikekalkan 'mum'. Contoh: maksima-maksimum, minima-minimum, optima-optimum. Tapi kalau Shima tidak jadi Shimum ye...

Friday, June 17, 2011

BENGKEL PEMANTAPAN PERSATUAN VETERAN RTM 2011

Bengkel Pemantapan Persatuan Veteran RTM (PVRTM) di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) pada 16 Jun lalu boleh dianggap berjaya mencapai matlamatnya walaupun jumlah penyertaan agak mengecewakan. Jika tidak kerana bakal pesara dari RTM yang juga merupakan sasaran bengkel, sudah pasti Dewan Cendekiawan tempat berlangsungnya bengkel itu akan kelihatan kosong.

Banyak isu ditimbulkan dalam bengkel itu. Ketua Pengarah Penyiaran, Dato' Norhyati Ismail ketika merasmikan bengkel itu berharap PVRTM akan memainkan peranan lebih aktif dalam pembangunan penyiaran di RTM. Beliau juga melontarkan persoalan sama PVRTM perlu wujud sebagai pertubuhan untuk pesara RTM sahaja atau membuka pintunya kepada penyiar dari stesen swasta.

Terdahulu Presiden PVRTM, Haji Helan Abu telah menyentuh kritikan ahli dan pesara bukan ahli di laman sosial yang menurutnya telah menjejaskan imej PVRTM. Saya sendiri yang sering menyertai otai-otai RTM berbincang di Facebook, turut merasa tempiasnya.

Apapun, bengkel itu telah membuka minda semua peserta yang rata-rata bersetuju bahawa PVRTM harus menjadi wadah penting memartabatkan industri penyiaran negara.