Powered By Blogger

Tuesday, January 12, 2021

FDAM – PTVM perkukuh hubungan demi industri penerbitan

 

HULU KELANG, 11 Jan – Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) mencadangkan agar satu sistem akreditasi dilaksanakan secara kolaborasi antara persatuan itu dengan Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) bagi meningkatkan tahap profesionalisme pengarah.

Presiden FDAM, Dr Ahmad Ibrahim berkata bagi tujuan itu, ahli-ahli PTVM juga disaran melaksanakan program latihan amali dalam setiap projek penerbitan mereka bagi memberi pendedahan mengenai budaya kerja sebenar kepada para lulusan berkenaan.

“Selain memahirkan diri dalam kerja penerbitan, para lulusan itu juga boleh belajar cara membuat ‘pitching’ iaitu menjual idea mereka kepada syarikat penerbitan atau stesen TV,” katanya dalam  kenyataannya di sini hari ini.

Ahmad berkata, selain itu, FDAM akan terus meningkatkan jaringan kerjasama dengan persatuan-persatuan lain, agensi kerajaan dan swasta serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bagi memperkukuhkan sumbangannya dalam industri perfileman dan penyiaran tempatan.

Justeru FDAM akan memperkemaskan strukturnya agar menjadi sebuah persatuan yang berwibawa dan dihormati dalam industri kreatif, katanya.

“FDAM akan memastikan ia menjadi sebuah persatuan yang autoritatif,  intelektual dan disegani. Tetapi dalam masa yang sama, FDAM akan terus menjamin kebajikan ahli-ahlinya serta menghulurkan segala bentuk bantuan yang sewajarnya kepada mereka,” katanya.

Ahmad berkata FDAM telah memulakan langkah ke arah itu melalui perbincangan empat mata dengan Presiden PTVM Datuk Jurey Latiff Rosli minggu lepas.

Dalam pertemuan itu, FDAM turut meminta PTVM mengutamakan ahli-ahli FDAM dalam setiap projek penerbitan mereka.

“Usaha ini sudah pasti dapat menjamin tahap kepengarahan setiap projek berkenaan kerana setiap ahli FDAM telah dilengkapi pelbagai ilmu dan kemahiran mengarah melalui program latihan komprehensif anjuran FDAM dan FINAS serta ditauliah sebagai pengarah profesional.  Selain itu FDAM turut mencadangkan polisi  insurans bersama penerbit dan pengarah untuk pertimbangan PTVM bagi menjaga kepentingan kedua-dua pihak,” katanya.