Sunday, March 20, 2011

LAT KAMPUNG BOY SEBUAH MUZIKAL MEMANG HEBAT!

Saya mula bertemu Datuk Lat ketika beliau mempromosi buku 'The Kampung Boy' di Pulau Pinang pada 1980. Ketika itu saya bertugas di RTM Pulau Pinang. Selepas selesai majlis rasmi, saya menghampiri beliau bagi mendapatkan temuramah eksklusif. Memang dari mula saya kerja di bidang ini, saya memang tidak suka berkongsi soalan dengan wartawan lain kecuali kalau responden tidak ada masa.

Datuk Lat setuju. Kami pun berbual selama hampir satu jam. Dalam perbualan itu, beliau menceritakan pengalaman beliau dari kecil hinggalah beliau melahirkan buku tersebut walaupun saya tak cakap pun "Ce cite, ce cite, ce cite".

Malam tadi, apa yang beliau ceritakan 30 tahun lalu menjelma secara 'live' di atas pentas yang saya sendiri pernah singgah selama 14 hari ketika terlibat dalam pementasan 'Ronggeng Rokiah' arahan Allahyarham Dr Anuar Nor Arai pada 2003.

Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal memang sebuah persembahan yang hebat. Lagu dan tariannya, selain menghiburkan, berjaya menggerakkan cerita ke hadapan.

Walau bagaimanapun ada tiga perkara kecil yang ingin saya sentuh di sini. Jangan bimbang, ia tidak mencacatkan kerana mungkin tiada siapa yang menyedarinya.

Pertama, pada awal persembahan ketika adegan dalam kelas lukisan, ada satu tulisan pada latar set iaitu 'Gunakanlah Bahasa Kebangsaan'. Mungkin lebih realistik jika digunakan ejaan pada zaman itu iaitu menggunakan tanda sempang seperti ini 'Gunakan-lah Bahasa Kebangsaan'.

Kedua, ketika Lat (Awie) bercerita mengenai permainan tradisi, dia tersalah membuat gesture bila menerangkan permainan 'Galah Panjang'. Dia patutnya depangkan tangan bukan buat seperti ingin melontar joran.

Akhirnya, selepas tamat persembahan, Awie tersilap menyebut gelaran Yang Berhormat ketika memanggil Datuk Lat naik ke pentas. Yang betul ialah Yang Berbahagia. Yang Berhormat hanya untuk wakil rakyat.

Tapi mana tahu, suatu hari nanti Datuk Lat mungkin menjadi kartunis pertama dipilih sebagai wakil rakyat!

Tahniah kepada Institut Terjemahan Negara Malaysia, Tall Order Productions dan Istana Budaya serta pengarah bersama Harith Iskandar dan Hans Isaac serta anggota krew penerbitan dan para pelakon atas kejayaan penerbitan ini.


Saturday, March 5, 2011

Baca Puisi Pena

Malam tadi saya membawa 22 orang pelajar semester 1 Diploma Penulisan Artistik, Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, UiTM Puncak Perdana ke acara Baca Puisi Pena edisi 4 Mac tahun ke-13 di Rumah Pena. Acara yang turut disertai leoh KLFM itu merupakan satu pendedahan terbaik bagi para pelajar saya yang baru lapan minggu berkuliah. Saya melihat kegembiraan pada wajah mereka apabila membacakan sajak-sajak pilihan masing-masing. Maka bergemalah Rumah Pena malam tadi dengan sajak-sajak Usman Awang, A. Samad Said, Chairil Anwar, Zaihasra, Zaen Kasturi dan ramai lagi. Memang di luar dugaan apabila semua pelajar saya yang membaca malam tadi menampilkan persembahan yang sungguh hebat walaupun baru pertama kali berpuisi di hadapan khalayak ramai termasuk para penyair terkemuka tanah air seperti Dr Ahmad Razali, Prof Madya Arbak Othman, Sani Sudin, Dr Ibrahim Ghafar dan ramai lagi.

Saya sendiri sebagai guru mereka sudah pastilah membaca sajak saya sebagai pembuka kata. Berikut adalah sajak yang saya baca malam tadi.


Surat Tenggang Kepada Ibunya

angin meniup kencang petang ini
di kampung barangkali lebih hebat lagi
mungkin juga hujan setiap pagi
ayam itik tentu menjadi-jadi
padi kita pasti makin berisi

ibu
hari kerja saya bangun
paling lewat jam tujuh
cuci muka cuci gigi
pakai baju pakai sepatu tumit tinggi
ikat tali leher
terus pergi tanpa minum pagi
di sini arus masa lebih deras
dari arus sungai di hujung kampung
lebih mahal dari beras baru seribu karung

hari cuti saya bangun
paling awal jam sepuluh
cuci muka cuci gigi
cuci kereta kemas rumah
dan atur meja kerusi
kalau rajin saya bancuh secawan kopi
di sini tidak ada ubi kayu
pulut kukus dan kuih muih masakan ibu
yang ada hanya wajah tetangga
yang separuh layu

ibu
hujung bulan ini
saya tidak mengirim wang
harga barang tinggi menjulang
sewa rumah bayar itu bayar ini
tidak cukup sebulan gaji
bulan depan
saya menyambut hari jadi
ada pesta ada majlis tari menari
jemput orang besar
serta wakil perdana menteri

hujung bulan ini
saya tidak jadi pulang
kesibukan sering merampas masa lapang
saya selalu kerja lebih masa
dan pulang lewat senja
tahun depan
saya meningkat jadi ketua
hadir seminar
serta persidangan antarabangsa
mesyuarat tergempar tak tentu masa

ibu
maafkan saya
kalau surat dan wang
jarang ibu terima

maafkan saya
kalau saya tidak pulang
sampai bila-bila