Friday, December 9, 2011

Menteri dan Denggi

Denggi tidak memilih mangsa...menteri atau marhaen. Sekitar tahun 2001 ketika Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan diterajui oleh Datuk (kini Tan Sri) Annuar Musa, saya dan rakan-rakan saya, Ismadi Uthman, Tazidi Yusof dan penerbit allahyarham Haji Mardzi telah ditugaskan untuk menerbitkan dokumentari mengenai Anugerah Remaja Perdana yang mengambil sempena Program Duke of Edinburgh Award yang telah mula diperkenalkan di United Kingdom pada tahun 1956.

Ianya adalah satu wadah bagi memberi sokongan dan semangat kepada golongan remaja di dalam menanamkan nilai-nilai seperti semangat, bekerjasama dan sebagainya ke arah mencapai personaliti unggul.

Program ini adalah satu-satunya program yang mengiktiraf penglibatan golongan muda berusia 14-25 tahun.Program seumpama ini telah dilaksanakan dan berkembang pesat di beberapa buah negara di seluruh dunia dengan pelbagai nama seperti The President Award di Afrika Selatan, Young Canadian Challenge di Kanada, The National Youth Achievement Award di Singapura dan berbagai-bagai lagi nama yang telah diberi mengikut kesesuaian negara masing-masing.

Apabila program ini diperkenalkan di Malaysia, ia dikenali sebagai Anugerah Remaja Perdana. Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bertindak sebagai Badan Berkuasa Anugerah Peringkat Kebangsaan yang dikoordinasi dan diuruskan oleh Cawangan Gaya Hidup, Bahagian Pembangunan Rakan Muda.

Berbalik kepada kisah kami, setelah selesai semua adegan melibatkan remaja, penggambaran akhir ialah di pejabat menteri. Apabila kami sampai di pejabat beliau, kami diarahkan balik kerana menteri diserang denggi. Kami bagaikan tidak percaya kerana memikirkan hanya marhaen seperti kami yang boleh diserang penyakit itu.

Pembantu am menteri meminta kami datang semula minggu berikutnya. Apabila kami datang balik, kami terpaksa menyapu ‘mekap’ yang tebal di bawah hidung beliau kerana masih kelihatan kesan berdarah. Maklumlah baru pulih daripada denggi.