Sunday, February 28, 2016

PERSATUAN PENULIS DAN PRIBUMI JOHOR BANTU SPRM PERANGI RASUAH



Pertubuhan Masyarakat Prihatin Bumi Malaysia (PRIBUMI) Negeri Johor dan Persatuan Penulis-penulis Negeri Johor melahirkan komitmen untuk memberi sokongan dan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meningkatkan keberkesanan usaha membanteras rasuah. 

Komitmen itu diikrar oleh kedua-dua Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) tersebut dalam Program Dialog dan Santai SPRM Bersama NGO di Kompleks SPRM Johor hari ini. 

Ketua Persatuan Penulis-penulis Negeri Johor, Amad Bahri Mardi berkata persatuannya bercadang untuk menyebarluaskan pemahaman masyarakat menerusi penulisan.

"Keahlian dari Persatuan Penulis Johor yang pelbagai bidang antaranya guru, pensyarah, wartawan dan golongan profesional memberi ruang dan peluang untuk penulisan berkaitan pencegahan rasuah.

“Pada tahun ini, kita juga akan meraikan ulang tahun ke-50 dan mungkin kita akan membuat buku dan artikel berkaitan pencegahan rasuah pada masa terdekat," katanya. 

Dalam pada itu, Yang Dipertua PRIBUMI Negeri Johor, Wan Hussin Wan Mohd Noor turut melahirkan komitmen sama bagi membantu SPRM mencegah rasuah. 

“Kami membenarkan SPRM menggunakan kami sebagai sebagai alat untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat untuk bersama-sama menentang rasuah. 

"Sejak bulan Oktober tahun lalu, banyak kerjasama yang dilaksanakan oleh SPRM Negeri Johor bersama-sama PRIBUMI," katanya. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato' Sri Hj Mustafar Ali turut berbesar hati dengan komitmen yang diperlihatkan oleh kedua-dua NGO tersebut. 

Dato' Sri Mustafar berharap jalinan kerjasama terutama berkaitan pencegahan rasuah akan berterusan bukan sahaja melibatkan program yang diadakan itu  sebaliknya dalam bentuk tindakan dan usaha susulan selepas ini.

Kira-kira 60 ahli kedua-dua pertubuhan  hadir dalam program hari ini.