Powered By Blogger

Friday, November 16, 2012

DERITA GAZA


(Petikan NOTA PENGARANG terbitan Bernama Radio24 pada 16 November 2012)

  
Sehari menjelang kedatangan tahun baharu  1434 Hijri, dunia dikejutkan dengan serangan Israel terhadap Semenanjung Gaza yang mengakibatkan kematian 11 orang awam termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita hamil.

Kira-kira  100 orang turut cedera dalam serangan itu.  Lebih 50 serangan udara dilaporkan berlaku ke atas lebih 200 sasaran  yang disifatkan sebagai paling ganas dalam tempoh empat tahun.  Serangan itu juga turut membunuh Komander sayap bersenjata  Hamas, Briged al-Qassam, Ahmed al-Jaabari.

Serangan tersebut  dilihat sebagai tindakan pengecut dan tidak berperi kemanusiaan.  Israel mendakwa serangan itu dilakukan sebagai tindak balas serangan  kumpulan Hamas terhadap Israel namun  tindakan ketenteraan  Israel terhadap orang awam termasuk kanak-kanak adalah sesuatu yang tidak harus berlaku.

Serangan tersebut  terjadi   ketika Palestin sedang bersiap-sedia untuk mengemukakan petisyen menjadi negara  anggota bertaraf pemerhati dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada perhimpunan agung badan  dunia itu 29 November depan.

Seorang diplomat kanan PBB berkata jika pengundian dibuat terhadap petisyen itu, Palestin berkemungkinan besar akan memperoleh 120 hingga 130 undi daripada 193 anggota Perhimpunan Agung PBB.  Israel bimbang jika petisyen itu diterima,  pengaruhnya dalam PBB mungkin berkurangan.

Ini terbukti apabila Kementerian Luar Israel  mengemukakan cadangan untuk menggulingkan presiden Mahmoud Abas jika PBB meluluskan petisyen Palestin itu.  Menurut dokumen cadangan itu, ia adalah satu-satunya pilihan jika usaha lain gagal.

Sekarang ini, taraf pemerhati tetap hanya diberikan kepada  Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pimpinan Mahmoud Abas yang mewakili kumpulan terbesar di Palestin.  Abas sebaliknya mahu Palestin sendiri menjadi negara pemerhati bukan anggota berdasarkan sempadan sebelum Israel menduduki Tebing Barat, Baitulmuqadis dan Semenanjung Gaza  pada 1967.  Inilah yang ditakuti oleh Israel dan juga  Amerika Syarikat.

Ia juga satu ujian bagi Presiden Barack Obama yang baru sahaja dipilih untuk memegang jawatan presiden Amerika Syarikat bagi  penggal kedua pada pilihanraya negara itu minggu lalu.  Obama nampaknya tiada pilihan dan terpaksa akur dengan pendirian rasmi Amerika Syarikat yang bersama-sama Israel  menentang petisyen yang akan dikemukakan oleh Presiden Palestin, Mahmoud Abas.

Amerika Syarikat dan Israel turut menjadikan kegagalan perbincangan damai sebagai alasan untuk tidak menyokong penubuhan negara Palestin yang merdeka.  Mereka bertegas dengan pendirian bahawa negara Palestin tidak boleh ditubuhkan tanpa adanya perbincangan damai yang telah tertangguh selama lebih dua tahun.  Sementara itu, Israel masih terus melaksanakan program penempatan di wilayah-wilayah Palestin yang didudukinya.

Serangan itu juga telah menjejaskan hubungan Israel dengan Mesir yang memang dilihat semakin runcing sejak Mohamad Morsi mengambil alih jawatan Presiden.  Malah Morsi kelihatan lebih proaktif apabila segera memanggil pulang dutanya di Israel sebagai tindak balas terhadap serangan Israel itu.

Apa pula tindakan Majlis Keselamatan PBB dalam isu ini?

Majlis itu dilaporakan mengadakan mesyuarat tergempar selepas serangan berkenaan tetapi tidak mengambil sebarang tindakan.  Duta India ke PBB yang juga Presiden Majlis Keselamatan PBB, Hardeep Singh Puri memberitahu wartawan selepas mesyuarat tertutup selama 90 minit itu, bahawa 15 negara anggota majlis tersebut hanya bersetuju mengeluarkan pengumuman menyatakan  satu mesyuarat tergempar telah diadakan.
Selain itu, tiada butir lain diberikan.

Apakah ini layaknya tindakan satu badan dunia yang mewakili kepentingan semua negara anggota?

Hardeep yang selanjutnya bercakap bagi pihak India, dan bukan Majlis keselamatan PBB, berkata mesyuarat tergempar itu membuktikan kesungguhan badan dunia itu mengurangkan ketegangan di Timur Tengah dan mengelakkan konflik Israel-Palestin bertambah buruk.  Namun tindakan dan kenyataan itu dilihat sebagai tidak serius.

Majlis Keselamatan PBB sepatutnya mengeluarkan kenyataan menggesa Israel menghentikan segala tindakan ketenteraan terhadap penduduk Gaza namun tiada sebarang pengumuman  mengenai isu itu dibuat.
Bagi masyarakat dunia yang cintakan keamanan, ini satu petanda bahawa bahawa badan dunia itu memang takut dan sentiasa mengikut telunjuk kuasa barat dan Israel sendiri.

Mungkin Setiausaha Agung PBB, Ban Ki Moon harus ke hadapan bagi menyelesaikan konflik berkenaan.
Beliau dilaporkan sudah menelefon Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan Presiden Mesir Mohamad Mursi bagi menyatakan pendiriannya. 

Namun segalanya terletak kepada kesungguhan pihak terbabit terutamanya Israel bagi menghentikan peperangan yang tidak berfaedah itu.

Malaysia yang menyokong petisyen negara  Palestin untuk menjadi pemerhati tetap  PBB telah menyatakan pendiriannya terhadap serangan Israel itu.  Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam kenyataannya semalam mendesak PBB khususnya Majlis Keselamatannya untuk mengambil tindakan tegas terhadap Israel kerana tindakan biadapnya.

Selain itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NG0) turut mengutuk serangan itu.  Antaranya ialah Aman Palestin yang mengeluarkan kenyataan bahawa keadaan akan menjadi bertambah teruk jika tidak diambil tindakan segera.

Malah ramai yang meramalkan pertempuran seperti yang berlaku pada 2008 dan 2009 mungkin akan berulang.

Hari  ini, beberapa NGO  mengadakan perhimpunan bagi membantah serangan Israel itu.

Pada sebelah pagi,   Islamic Relief Malaysia  mengadakan sidang media mengenai serangan itu. 
Mereka   juga berlintas langsung dengan pejabat Islamic Relief  di Gaza untuk mendapatkan gambaran terkini di sana.

Pada sebelah tengah hari, Pertubuhan Ikram Malaysia, Aqsa Sharif dan Haluan  berhimpun di Masjid Tabung Haji untuk solat Jumaat dan kemudiannya berarak ke kedutaan Amerika Syarikat.

Bagi saya,   tindakan segelintir kecil kita  tidak mencukupi jika tidak  disertai dengan usaha bersungguh-sungguh pihak-pihak berkenaan terutama kuasa-kuasa besar dunia serta pertubuhan-pertubuhan antarabangsa. 

No comments: