Powered By Blogger

Sunday, May 22, 2011

PM Pendekkan Lawatan Luar Negara Untuk Lawat Mangsa Tanah Runtuh - kata Datin Seri Rosmah dari Washington di Radio24

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang berada di Amerika Syarikat akan memendekkan lawatannya dan segera pulang ke tanah air bagi menziarahi keluarga mangsa tanah runtuh di Hulu Langat, demikian menurut Datin Seri Rosmah Mansor.

Isteri Perdana Menteri berkata bahawa Najib dan beliau yang sepatutnya berlepas ke Jepun dari Amerika Syarikat, kini akan pulang terus ke Malaysia.

"Saya gembira beliau mengambil keputusan ini kerana ia akan membolehkan saya melawat tempat itu secepat mungkin," katanya dalam temu bual secara langsung dengan Bernama Radio24 dari Washington Sabtu malam.

Temubual itu terhenti seketika disebabkan Rosmah sebak kerana nyata sedih dengan tragedi itu.

Sehingga tengah malam, 10 kanak-kanak penghuni rumah anak yatim di Batu 14 Jalan Hulu Langat dan dua dewasa penjaga mereka, terbunuh dalam kejadian yang berlaku pada 2.30 petang manakala empat lagi dipercayai masih tertimbus.

Kerja mencari dan menyelamat diteruskan kerana empat lagi penghuni rumah itu dipercayai masih tertimbus. Rosmah mengucapkan takziah beliau dan Najib kepada semua keluarga mangsa dan berharap mereka bersabar.

"Saya terkejut dan sedih dengan kejadian yang meragut banyak nyawa ini," katanya.

Rosmah, yang juga Presiden Badan Amal Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) berkata beliau telah meminta anggotanya supaya melawat dan membantu mereka yang terlibat.

Katanya beliau telah meminta Datin Seri Lee Sun Loo, isteri Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, supaya sentiasa memberikan maklumat terkini kepada beliau mengenai kejadian itu.

No comments: