Powered By Blogger

Wednesday, May 11, 2011

HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA: DARIPADA SASTERA KLASIK KEPADA FILEM

Dewan Seminar DBP panas petang tadi apabila karyawan filem dan sasterawan meluahkan pandangan masing-masing mengenai filem 'epik' Merong Mahawangsa terbitan KRU Studios dan diarahkan oleh Yusry Abdul Halim dalam forum sastera "Hikayat Merong Mahawangsa: Daripada Sastera Klasik kepada Filem". Namun kepanasan itu dapat disejukkan oleh A. Wahab Hamzah yang bertindak cemerlang sebagai moderator forum.


Sesi bermula dengan pembentangan oleh tiga tokoh terkemuka yang mewakili tiga bidang penting iaitu sastera, multimedia kreatif dan perfileman. Mereka ialah Prof Datuk Dr Siti Hawa Salleh, seorang pengkaji sastera klasik; Ahmad Kamil Othman, Naib Presiden, Multimedia Kreatif, Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDec); dan Dr Mahadi J. Murat, Timbalan Dekan, Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, Universiti Teknologi MARA.

Datuk Dr Siti Hawa bercakap mengenai pengalaman beliau menjalankan kajian teks Hikayat Merong Mahawangsa untuk tesis Sarjananya.

Dr Mahadi pula melihat filem itu sebagai pernyataan visual sebuah teks klasik yang kaya dengan unsur sejarah dan mitos.

Ahmad Kamil pula memperjelaskan aspek teknologi filem itu dari segi penggunaan CGI yang mewarnai sebahagian besar filem tersebut.

Dalam kalangan peserta, antara yang memberikan pandangan adalah Presiden Seniman, Harun Salim Bachik; tokoh teater Ismail Kasan; pelakon Sofea Jane; penerbit Raja Azmi dan Pengarang Urusan Bernama Radio24, Letfee Ahmad.

Harun mempersoalkan penggunaan istilah 'Hikayat' pada filem itu yang menurutnya menuntut satu tasfsiran yang lebih besar daripada apa yang diberikan oleh filem tersebut.

Ismail Kasan menyentuh mengenai ketidaktelitian pengarah membuat kajian sehingga banyak peralatan dalam filem itu misalnya senjata tidak menggambarkan senjata yang sepatutnya digunakan pada zaman berkenaan.

Sofea Jane menyuarakan kekecewaannya kerana filem itu gagal menonjolkan perwatakan Merong Mahawangsa sebagai raja yang hebat.

Raja Azmi meminta MDec berlaku adil kepada industri dengan mengkaji skrip sebelum sesuatu dana diluluskan.

Letfee pula meminta Datuk Dr Siti Hawa menjelaskan kaitan Merong Mahawangsa, yang beragama Hindu, dengan Raja Rom yang Kristian dan Iskandar Zulkarnain yang Islam kerana Merong dikatakan mempunyai ikatan dengan kedua-dua mereka.

Walaupun pelbagai pandangan pro dan kontra dilontarkan terhadap filem berkenaan, rata-rata para pembentang dan peserta memuji usaha KRU menerbitkan filem yang sedikit sebanyak membuka mata karyawan filem untuk melihat potensi pada karya sastera klasik sebagai bahan untuk dipindahkan kepada medium filem.

Diharapkan DBP akan menganjurkan lebih banyak lagi forum seumpama itu demi kelangsungan sastera klasik dan filem sebagai medium pernyataan budaya bangsa.

No comments: