Powered By Blogger

Tuesday, May 17, 2011

TAN SRI DOL RAMLI (1922-2011)


Sebagai tanda ingatan saya kepada tempat saya membina kerjaya dalam bidang penyiaran iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM), saya akan memaparkan profil tokoh-tokoh penting yang telah membawa RTM ke puncak kegemilangan sejak ditubuhkan 65 tahun lalu. Saya berhasrat membawakan profil 66 tokoh yang akan saya abadikan dalam penerbitan Buku Biografi '66 Wajah Penyiar' yang sedang saya usahakan sempena ulang tahun RTM ke-66 pada tahun depan.

Sebagai penghormatan, saya akan mulakan siri ini dengan memaparkan profil bekas Ketua Pengarah Penyiaran, Allahyarham Tan Sri Dol Ramli yang kembali ke Rahmatullah pada 25 Januari 2011. Al-Fatihah.

_________________________________________________________

Pengasas Radio Televisyen Malaysia (RTM), Allahyarham Tan Sri Haji Dol bin Ramli atau Dol Ramli yang meninggal dunia pada 25 Januari 2011 kerana penyakit jantung pada usia 88 tahun merupakan anak tempatan pertama dilantik sebagai Ketua Radio Malaya selepas persaraan David Lyttle pada 1961 setelah memegang jawatan Ketua Perkhidmatan Melayu pada 1955.

Dilahirkan di Dunlop Street, Singapura pada 3 Oktober 1922, Dol Ramli mula bersekolah di Kampung Glam Malay School, Singapura pada 1929 - 1932 dan Rangoon Road Government English School pada 1933 - 1936. Pada 1937 - 1940 Dol menyambung pendidikan menengahnya di Raffles Institution, Singapura dan kemudian ke Raffles College pada 1941.

Dol Ramli mula memasuki alam pekerjaan dengan menjadi guru selama tiga tahun dan kemudian bertugas sebagai penterjemah Melayu untuk Press Intelligence Office pada 1946 – 1948. Beliau kemudian menjadi Jurubahasa di Mahkamah Daerah dan Penyampai Terjemahan di Perkhidmatan Melayu, Radio Malaya pada 1948 sebelum melanjutkan pelajaran peringkat tinggi ke Universiti Malaya, Singapura pada 1951 sehingga memperoleh ijazah Sarjana Muda Kepujian (Kelas Kedua Atas) dalam bidang Sejarah pada 1955.

Kerjaya Dol Ramli dalam bidang penyiaran bermula setelah tamat pengajian di Universiti Malaya; sebagai Ketua Perkhidmatan Melayu dan kemudian Ketua Radio Malaya. Pada tahun 1969 Dol diberi kepercayaan sebagai anak tempatan pertama memegang jawatan tertinggi sebagai Ketua Pengarah Penyiaran menggantikan Albert Read.

Sepanjang memegang jawatan itu hingga tahun 1975, Dol telah melaksanakan pelbagai perubahan dan mengasaskan penubuhan beberapa institusi baru seperti Institut Penyiaran Tun Abdul Razak (IPTAR) yang kini dikenali sebagai Institut Penerangan dan Penyiaran Tun Abdul Razak (IPPTAR); Asia-Pacific Institute of Broadcasting Development (AIBD) dan perkhidmatan radio luar negara yang dinamakan Suara Malaysia.

Dol juga aktif dalam bidang muzik dan merupakan salah seorang tenaga penting dalam penubuhan Orkestra RTM. Allahyarham turut menyumbang tenaga dalam proses penulisan lirik lagu kebangsaan ‘Negaraku’ yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri Almarhum Tunku Abdul Rahman. Selain itu, Dol juga merupakan penulis lirik lagu ‘Bahasa Jiwa Bangsa’.

Allahyarham Dol Ramli turut aktif dalam kewartawanan penyiaran dan pernah berkhidmat dengan British Broadcasting Corporation (BBC) dan Australian Broadcasting Corporation (ABC) pada 1969 – 1974.

Setelah bersara dari Jabatan Penyiaran Malaysia, Dol Ramli dilantik sebagai Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) pada 1975. Sepanjang lima tahun berkhidmat dengan BERNAMA, Dol telah mengusahakan pembinaan Wisma BERNAMA yang kini menjadi pusat operasi BERNAMA selain daripada penubuhan biro-biro dalam dan luar negara termasuk di Manila, Bangkok dan Singapura.

Setelah meninggalkan perkhidmatan awam, Dol Ramli menceburkan diri dalam dunia korporat, antaranya menjadi Pengarah Kumpulan Hal Ehwal Awam, United Motor Works (M) Holdings Bhd, serta Pengarah Inti Universal Bhd (Inti College).

Dol juga aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan, antaranya Malaysian Press Institute sebagai Ahli Jawatankuasa; Ahli Majlis Universiti Malaya; Naib Presiden Asia-Pacific Broadcasting Union dan Ahli Panel Majlis Perpaduan Negara.

Bagi mengenang jasanya dalam perkhidmatan awam dan kemasyarakatan, Allahyarham Tan Sri Dol Ramli telah dianugerahkan pingat Johan Mangku Negara (JMN) oleh Yang di Perttuan Agong pada 1966 dan Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ pada 2005.

No comments: