Powered By Blogger

Tuesday, February 15, 2011

Temubual China Radio International

Saya telah dilantik menjadi salah seorang anggota juri 'Pertandingan Pemilihan 10 Berita Asia Tenggara Paling Penting' anjuran Bahagian Bahasa Melayu China Radio International (CRI) sebanyak dua kali iaitu pada tahun lalu dan tahun ini. Berikut adalah petikan temubual yang dibuat oleh CRI tahun lalu mengenai pandangan saya terhadap peristiwa penting Asia Tenggara pada tahun 2009.


Temubual China Radio International Bersama Mohamad Letfee Ahmad mengenai10 Berita Asia Tenggara Paling Penting pada Tahun 2009 (http://malay.cri.cn)

Pemilihan 10 berita Asia Tenggara paling penting pada tahun 2009 telah diumumkan. Panel 1 penilai terdiri daripada media-media ASEAN, termasuk Radio 24 Bernama, Tempo Indonesia, Agensi Berita Vietnam, Agensi Berita KTL Laos dan Radio Kebangsaan Laos.

Ketika ditemubual oleh wartawan CRI baru-baru ini, Mohamad Letfee Ahmad, pengarang urusan Bernama Radio 24 telah memberikan pandangan dan ulasan beliau mengenai program Pemilihan 10 berita Asia Tenggara paling penting tahun 2009 serta berita-berita yang menjadi perhatian masyarakat serantau.

Wartawan: Apakah maksud yang boleh dimanfaatkan di sebalik program pemilihan 10 berita Asia Tenggara paling penting 2009? Dengan kata yang lain, apakah kebaikan boleh kita peroleh ketika mengimbas kembali berita-berita penting sepanjang tahun ini?

Mohamad Letfee Ahmad: Program ini sudah pasti merupakan satu usaha penting CRI kerana ini akan meningkatkan minat masyarakat Asia Tenggara terhadap isu besar yang berlaku di rantau ini terutamanya perkara-perkara yang melibatkan hubungan dengan kuasa-kuasa besar seperti China dan Amerika. Umum mengakui bahawa apa sahaja yang berlaku di kedua-dua negara itu atau dasar luar yang diperkenalkan akan memberikan kesan langsung atau tidak langsung kepada rantau Asia Tenggara. Terutamanya hal-hal yang berkaitan dengan politik, ekonomi dan sosial. Dengan mengimbas kembali berita-berita penting sepanjang tahun ini, masyarakat Asia Tenggara akan dapat mempelajari kesilapan masa lalu dan mencari jalan agar ia tidak berulang. Ia juga dapat dijadikan landasan untuk melaksanakan perancangan masa depan.

Wartawan: Sekarang, apa jenis berita yang mendapat perhatian yang paling besar daripada masyarakat awam Malaysia? Berita politik, ekonomi, atau dalam bidang yang lain?

Mohamad Letfee Ahmad: Secara umumnya, masyarakat Malaysia amat gemar berbicara mengenai politik kerana politk merupakan asas kepada kehidupan seharian. Politik mencorakkan hala tuju negara. Kerana itu berita politik mempunyai tempat yang amat istimewa kepada masyarakat Malaysia. Bagi sebilangan besar rakyat Malaysia, kebanyakan dasar yang melibatkan rakyat ditentukan oleh dasar pentadbiran kerajaan. Sistem pentadbiran kerajaan yang diamalkan oleh Malaysia pada masa ini amat sesuai dengan masyarakatnya yang berbilang bangsa dan agama. Selain itu, berita ekonomi turut mempunyai tempatnya yang tersendiri. Apa juga berita yang menyentuh pendapatan rakyat, ia akan mendapat sambutan meluas.

Wartawan: Sudah diketahui umum, sekarang hubungan antara China denga negara-negara ASEAN sudah banyak meningkat pada tahun-tahun kebelakangan ini. Maka, negara China juga mendapat perhatian yang semakin besar daripada masyarakat ASEAN. Daripada perkara-perkara yang berlaku di China, apa yang menarik minat masyarakat awam di Malaysia.

Mohamad Letfee Ahmad: China memang merupakan negara yang sentiasa dilihat kerana pembangunannya yang amat pesat. Kedudukannya sebagai salah sebuah negara kuasa besar dunia juga meningkatkan imejnya di mata masyarakat Malaysia. Selain itu, rakyat Malaysia tidak lupa akan hubungan baik yang mula terjalin apabila Perdana Menteri kedua Malaysia, Tun Abdul Razak Hussein melawat China dan kini hubungan itu bertambah erat apabila Datuk Seri Najib membawa hubungan itu ke tahap yang lebih tinggi.

Wartawan: Apakah pandangan penduduk Malaysia terhadap Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN(CAFTA)?

Mohamad Letfee Ahmad: Sudah tentu ini amat dinantikan oleh masyarakat perdagangan Malaysia. Dengan kedudukan China sebagai kuasa ekonomi yang besar di Asia, usahawan Malaysia akan dapat belajar dan meningkatkan usaha memajukan perniagaan masing-masing. Penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-Asean dilihat sebagai peluang untuk meningkatkan daya saing. Memang ada kerisauan di sesetengah pihak untuk bersaing dengan China yang merupakan kuasa besar ekonomi tapi di segi yang lain, persaingan itu sudah pasti merupakan satu cara untuk menjadi lebih maju. Dari segi saiz ekonomi, Cafta akan bernilai USD 6 trilion dan jumlah dagangan pula dijangka USD 4.5 trilion. Tidakkah ini merupakan kek ekonomi yang amat besar yang boleh dikongsi oleh semua orang? Lebih-lebih dengan jumlah penduduk di kawasan Cafta nanti ialah 1.9 bilion orang, sudah pasti pasaran besar ini akan menjadi rebutan setiap ahli perniagaanl

Wartawan: Menurut encik, Kejadian Keganasan yang Menjadi-jadi Menyebabkan Kerajaan Indonesia Mempertingkatkan Usaha Membanteras Keganasan merupakan salah satu daripada 10 berita Asia Tenggara yang penting pada tahun ini. Bolehkah beri sedikit ulasan tentang pilihan Encik ini?

Mohamad Letfee Ahmad: Beberapa kejadian keganasan di Indonesia memang menjadi berita panas lebih-lebih lagi ia membabitkan pengganas yang amat dikehendaki di Asia Tenggara iaitu Nordin Mat Top. Dalam kejadian terbaharu yang melibatkan hotel mewah di Jakarta, yang berakhir dengan pembunuhan Nordin, maka berakhirlah kebimbangan masyarakat mengenai kejadian keganasan seumpama itu. Malah sejak Nordin mati dibunuh, tiada lagi kedengaran kejadian sedemikian berlaku. Untuk Malaysia, kematian Nordin melenyapkan anggapan bahawa negara ini menjadi pelindung Nordin kerana kebetulan Nordin lahir di negara ini.

Wartawan: Selain daripada itu, Encik juga boleh beri ulasan yang lain mengenai program pemilihan 10 berita Asia Tenggara paling penting 2009. Terima kasih!

Mohamad Letfee Ahmad: Saya berharap program ini dapat dilanjutkan lagi untuk tahun-tahun mendatang sebagai salah satu usaha merapatkan kerjasama masyarakat Asean dan China serta CRI khasnya melalui penyebaran maklumat. Ini penting agar maklumat yang disiarkan tanpa mengira media akan merupakan maklumat yang tepat dan tidak dipesongkan oleh pihak-pihak tertentu.

No comments: