Powered By Blogger

Tuesday, February 15, 2011

Isu Pelantikan Ketua Pengarah FINAS

Isu pelantikan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malayasia (FINAS) masih belum selesai. Izinkan saya berkongsi pandangan mengenai perkara ini. Ikuti rencana yang disiar di akhbar Berita Harian pada 21 Ogos 2010

'Orang dalam' masih mampu terajui FINAS, bawa perubahan industri filem
Oleh Mohamad Letfee Ahmad

2010/08/21

KEMELUT jawatan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) reda seketika apabila kontrak Mohamad Mahyiddin Mustakim sebagai Ketua Pengarahnya disambung tiga bulan lagi hingga pertengahan November.

Ini memberi ruang kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang menaungi FINAS untuk menilai kembali nama-nama calon yang mungkin sudah ada dalam senarainya, termasuk Ahmad Idham yang menjadi tumpuan industri baru-baru ini.
Bukan rahsia, bahawa ramai kalangan penggiat industri dan tokoh akademik dalam bidang perfileman mengidamkan jawatan itu.
Walaupun ia hanya bertaraf kontrak, seseorang yang berada di kerusi berkenaan berpeluang melakukan perubahan kepada industri yang selama ini hanya menjadi perbincangan dalam kalangan rakan dan di dewan seminar.

Tidak kurang menarik perhatian ialah spekulasi media mengenai calon yang dikira layak berdasarkan pengalaman serta pembabitan berterusan dalam industri perfileman.

Antara penggiat industri yang disebut-sebut ialah Anwardi Jamil, Datin Paduka Shuhaimi Baba dan Hafsham.

Mereka adalah tokoh perfileman yang pernah atau sedang aktif dalam persatuan perfileman.
Anwardi pernah menerajui Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Shuhaimi kini adalah Timbalan Presiden Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PFM) dan Hafsham pernah menjadi Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM), manakala tokoh akademik yang dikatakan layak menduduki kerusi panas itu ialah Dr Abu Hassan Hasbullah dari Universiti Malaya serta Dr Hatta Azad Khan dan Dr Mahadi J Murat dari Universiti Teknologi MARA.

Ramai yang beranggapan Mahadi mendahului senarai akademik kerana kejayaan peribadinya memenangi beberapa hadiah utama termasuk Filem Terbaik, Sutradara Terbaik dan Lakon Layar Terbaik dalam Festival Filem Malaysia Ke-12 melalui Sayang Salmah, di samping turut mengasaskan dan menjadi Presiden pertama FDAM.

Sambil perhatian industri tertumpu kepada nama berkenaan, ada juga kalangan penggiatnya yang melihat ke dalam FINAS sendiri untuk melihat potensi yang ada pada pegawai kanannya yang diyakini lebih memahami industri dari kaca mata FINAS.

Sebelum ini, jawatan itu pernah dipegang sekali oleh ‘orang dalam’ apabila Datuk Mohd Shariff Ahmad dilantik menggantikan Datuk Zain Hamzah.
Shariff yang dianggap calon bukan pilihan ketika itu kerana berlatar belakang bidang kejuruteraan akhirnya diterima oleh penggiat industri kerana hubungan akrabnya dengan persatuan industri.

Malah selepas bersara daripada jawatan akhirnya di Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan di Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KeKKWA), beliau terus menyertai industri secara sepenuh masa dengan menganggotai Persatuan Penulis Skrin Malaysia (SWAM).

Kini Shariff adalah Timbalan Presiden SWAM, persatuan yang penulis sendiri turut terbabit sebagai Timbalan Presiden pada awal penubuhannya bersama A Wahid Nasir (Presiden), Allahyarham Radzi Sayed (Setiausaha Agung) dan Ismail Ahmad (Presiden sekarang).

Barangkali sudah sampai ketikanya ‘orang dalam’ dipertimbangkan sekali lagi bagi menyelesaikan kemelut yang menyelubungi jawatan penting ini.

Penulis percaya tidak akan ada sesiapa yang akan menentang pemilihan ‘orang dalam’ kerana asas yang kukuh sudah pun ditanam selepas persaraan Shariff. Apabila Pengarah Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (MARTRADE), Fauzi Ayob menggantikan Shariff, jawatan Timbalan Ketua Pengarah diwujudkan. Zulkifli Abdul Wahab, pegawai paling kanan ketika itu dilantik memegang jawatan itu.

Malah ketika Fauzi meletak jawatan Ketua Pengarah lima bulan selepas dilantik, ramai berharap Zulkifli akan dilantik sebagai pengganti. Namun begitu, kementerian berasakan khidmat orang industri masih diperlukan.

Mohamad Mahyudin, ketika itu adalah Setiausaha Agung PFM dipilih daripada seramai 14 calon yang disenarai pendek oleh kementerian dan Zulkifli kekal sebagai Timbalan Ketua Pengarah.

Pada 16 November nanti, jawatan Ketua Pengarah FINAS akan kembali kosong.
Tanpa mengetepikan calon luar, mungkin inilah masanya untuk turut melihat kemampuan ‘orang dalam’ kerana hanya ‘orang dalam’ benar-benar mampu menghayati hasrat dan visi FINAS dari dalam bagi memacu FINAS menjadi payung kepada industri perfileman negara.

Penulis pernah menjadi Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) sesi 1998-2000

No comments: