Powered By Blogger

Tuesday, February 15, 2011

Sentuhan puisi sinis

Sekadar berkongsi...beri perhatian kepada para yang telah dibesarkan fontnya dan di'bold'.

Sentuhan puisi sinis, nasihat
Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my
2010/12/08

Kehadiran 80 pelajar dari Singapura hidupkan semangat Malam Puisi Akhir Tahun 2010

GELANGGANG Malam Puisi Akhir Tahun 2010 menutup tirai 2010 dengan coretan puisi sinis dan nasihat yang terbuku dalam hati dan kotak fikir penyair veteran mahupun muda negara ini sehingga memberi kepuasan kepada khalayak yang hadir pada malam itu.
Acara Baca Puisi PENA di Rumah PENA, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur, baru-baru ini, anjuran Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) mendapat kerjasama Radio 24 (Bernama Radio), tampil bersemangat dengan kehadiran 80 pelajar Maktab Rendah Innova dan Maktab Rendah Tempinis, Singapura.

Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Shamsuddin Othman, selaku pengacara majlis membuka tirai acara dengan puisinya, Sepucuk Surat dari Gaza kepada Raja Semut, sebagai tanda protes kekejaman Israel terhadap Palestin di sebalik peringatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

Sepucuk surat carik dari Gaza kepada Raja Semut
dari runtuhan peradaban
kutulis sepucuk surat
penanya telunjukku
tintanya darah teman sepermainan yang nyawanya dirompak sebentar tadi
lihatlah masih ada anak patung
kurus di sisi kepalanya itu
surat ini tidak kualamatkan kepada
Bush di rumah putih
atau Obama yang sedang bermain golf di halamannya
surat ini tidak ditujukan kepada Kim Moon di menara Pibibi
kerana Pibibi adalah wilayah bongsu di empayar Amerika
surat ini tidak ku tulis kepada Mahmud Abas presiden boneka
kerana boneka itu telah lama ditindik hidung oleh si celaka Olmert
surat ini ku tulis khas untukmu raja semut di sarang bahagia.


Ketua Satu, Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amiruddin Md Ali Hanafiah, melepaskan runtun berpuisi ketika beraksi dengan puisinya, Nasib Bahasa, bagi meluahkan perasaan mual dan sebu kepada mereka yang menggadaikan maruah bahasa demi mempertahankan sesuatu yang sia-sia.

Di sini bermula acara puisi, dua belas tahun lalu
yang datang semua orang Melayu.

orang India, Cina turut bersama walau tak tahu berbahasa Melayu
datang demi bersama orang Melayu.

tidak kira Cina, India, Melayu mestilah berbahasa Melayu
kerana ini negara Malaysia yang bahasanya Melayu.

apalah nasib bahasa, ada pemimpin yang tak berbahasa Melayu
ada pula pura-pura, tapi tak tahu bahasa.

demikian Singapura bahasa rasminya, bahasa Melayu
begitu juga negara Malaysia, bahasa Melayu.

Singapura dan Malaysia sering bersatu
tapi dalam hati siapa yang tahu.


Pensyarah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Bahasa Melayu, Raja Rajeswari Seetha Raman, pula tampil dengan puisi, Rahsia Bahasa Pertiwi, membawa khalayak merenung fungsi dan keindahan bahasa Melayu sebagai wahana penting ke arah pembentukan bangsa kini dan masa depan.

Aku membeli kebijaksanaan ilmu
menikmati lazat pemikiran
dalam bahasa falsafah ini.

aku menjual kesantunan budi
memperaga anggun warisan
dalam bahasa sopan ini.

aku membaca luka sukma
merawat sengsara perasaan
dalam bahasa kemanusiaan ini.

aku menghirup damai abadi
menikmati tenang emosi
dalam bahasa toleransi ini.

dakaplah bahasa pertiwi dengan berahi
berbantalkan keyakinan
atas ranjang pemodenan.


Pengarang Urusan Bernama Radio 24, Mohamad Letfee Ahmad, dengan semangat berkobar-kobar mempertahankan nasib Melayu yang kian hilang haknya di tanah air sendiri melalui karyanya, Siapa Mereka.

Siapa mereka
yang tidur pura-pura
bila kita berjaga
yang bangun tiba-tiba
bila kita terlena.

Siapa mereka
yang datang dalam setiap mimpi kita
mengambil dan merampas
setiap hak milik kita.

Siapa mereka
yang membaling dusta
ke rumah kita
yang memaling muka
bila kita bertanya.

Siapa mereka
yang menikam belakang kita
dengan pedang kata-kata
yang menanam mayat kita
dalam sejarah purbakala.


Pelajar Maktab Rendah Innova, Singapura, Muhammad Arif Muhammad Khairul Tan dan Syed Loqman Mohamed Hanifa pula, memilih Guruku karya Muhammad Salleh yang mengajak khalayak meneruskan kehidupan dengan lebih berani dan bijaksana.

Buku-buku yang tak habis dibaca
di almari senget berhabuk
nama-nama pengarang dari dunia aneh
tertampal pada kulit dan tulang
tebal nipis kertas pemikirannya
semuanya adalah guru setiaku.

Guruku ialah
peminta sedekah yang sabar
atau licik
yang menyeret aku ke dunianya
dengan air muka atau anaknya
dan menggugat kesedaranku.

Guruku ialah
anak kecil yang terus menanya
walaupun jawapannya
tak pernah memuaskan
bayi yang sesak dengan kehidupan di otot dan paru-paru baru.

Guruku ialah
musuh yang menunggu kesempatan
yang mengaturkan supaya aku kalah
kara keras dari pemidato
yang menyusun nada seperti naik tangga.

Guruku ialah
pelajar yang ponteng kelas
dan mahasiswa yang kejam
sebab-sebab yang dicipta oleh mereka
dengan imaginasi dan harapan.


Turut tampil beraksi pada malam itu ialah Arbak Othman, Nazmi Yaakub, Ahmad Sarju, SM Zakir, Khalid Salleh, Dr Victor Pogadaiv, Dr Ahmad Razali, ASP Foo Cheng Seng, Ahmad Lutfi, Khairil Basar dan Syuhada Amran.

No comments: