Powered By Blogger

Friday, August 12, 2011

GAFIM DAN PFM BERDAMAI

12 OGOS 2011 – Kontroversi yang timbul antara Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dan Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) ekoran berbalas kenyataan menerusi media kini telah tamat.

Demikian menurut kenyataan GAFIM yang dikeluarkan di ibu negara hari ini.

GAFIM berkata, bagi menyelesaikan kemelut yang melanda, kedua-dua belah pihak telah mengambil sikap buang yang keruh, ambil yang jernih apabila telah mengadakan pertemuan damai pada 08/08/2011 yang lalu. Kedua-dua pihak juga bersepakat untuk memberikan tumpuan kepada menjalin kerjasama demi kemajuan industri perfileman tanahair.

Pihak GAFIM yang kini terdiri daripada 11 persatuan berkaitan industri kreatif mengambil ketetapan menghormati keputusan PFM yang mahu bergerak secara bersendirian oleh kerana ianya sebuah gabungan syarikat-syarikat perfileman dan pelabur. GAFIM dan PFM akan berkerjasama berdasarkan keperluan yang boleh menggalakkan pembangunan industri hiburan tanahair.

Manakala pihak PFM pula menghormati keputusan ahli-ahli gabungan memilih barisan kepimpinan baru GAFIM dalam mesyuarat agung pada 17 Julai 2011 yang lalu.

Berhubung penganjuran Festival Filem Malaysia ke 24 (FFM24), GAFIM menerima pendirian PFM untuk tidak terlibat dalam pengurusan FFM 24 tetapi PFM tetap akan memberikan sokongan bagi menjayakan acara tahunan tersebut. Ahli-ahli PFM yang telah dilantik menduduki jawatankuasa festival akan terus menyumbang mengikut bidang tanggujawab masing-masing.

GAFIM dan PFM juga berharap mereka dapat mengadakan pertemuan dari semasa ke semasa demi kebaikan kedua-dua pihak.

Sunday, June 19, 2011

LAGI-LAGI BAHASA

Saya runsing melihat tetamu dalam siaran TV kita sering melakukan kesalahan bahasa. Kalau seorang penjual keropok lekor (tiada niat prejudis) membuat kesalahan tersebut, saya boleh maafkan. Tapi bila pegawai di Jabatan Komunikasi Korporat melakukannya, saya tidak boleh menerimanya. Jika anda mengambil berat soal imej luaran, kenapa tidak anda juga mengambil berat soal bahasa? Ketahuilah semua istilah Inggeris yg berakhir dgn 'mum' tidak lagi diakhiri dgn 'ma' tetapi dikekalkan 'mum'. Contoh: maksima-maksimum, minima-minimum, optima-optimum. Tapi kalau Shima tidak jadi Shimum ye...

Friday, June 17, 2011

BENGKEL PEMANTAPAN PERSATUAN VETERAN RTM 2011

Bengkel Pemantapan Persatuan Veteran RTM (PVRTM) di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) pada 16 Jun lalu boleh dianggap berjaya mencapai matlamatnya walaupun jumlah penyertaan agak mengecewakan. Jika tidak kerana bakal pesara dari RTM yang juga merupakan sasaran bengkel, sudah pasti Dewan Cendekiawan tempat berlangsungnya bengkel itu akan kelihatan kosong.

Banyak isu ditimbulkan dalam bengkel itu. Ketua Pengarah Penyiaran, Dato' Norhyati Ismail ketika merasmikan bengkel itu berharap PVRTM akan memainkan peranan lebih aktif dalam pembangunan penyiaran di RTM. Beliau juga melontarkan persoalan sama PVRTM perlu wujud sebagai pertubuhan untuk pesara RTM sahaja atau membuka pintunya kepada penyiar dari stesen swasta.

Terdahulu Presiden PVRTM, Haji Helan Abu telah menyentuh kritikan ahli dan pesara bukan ahli di laman sosial yang menurutnya telah menjejaskan imej PVRTM. Saya sendiri yang sering menyertai otai-otai RTM berbincang di Facebook, turut merasa tempiasnya.

Apapun, bengkel itu telah membuka minda semua peserta yang rata-rata bersetuju bahawa PVRTM harus menjadi wadah penting memartabatkan industri penyiaran negara.

Monday, May 23, 2011

Tan Sri Ismail Adam Dilantik Menganggotai LPPR

Putrajaya – YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri telah
menyampaikan surat pelantikan kepada Y.Bhg. Tan Sri Ismail Adam bagi
menganggotai ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR)
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Pejabat Timbalan
Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra hari ini.

Pelantikan tersebut telah mendapat perkenan daripada Duli Yang Maha Mulia
Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan disampaikan melalui watikah
pelantikan yang ditandatangani oleh YAB Dato’ Sri Najib bin Tun Abdul
Razak, Perdana Menteri Malaysia melalui surat beliau yang bertarikh 1 April
2011 selaras dengan peruntukan Seksyen 13 Akta Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia 2009. Pelantikan tersebut adalah bagi tempoh satu tahun
berkuatkuasa 25 Mac 2011 sehingga 24 Mac 2012.

Y.Bhg. Tan Sri Ismail Adam merupakan Mantan Ketua Pengarah
Perkhidmatan Awam yang telah menamatkan perkhidmatan beliau pada 30 Jun
2010 serta merupakan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Bank Islam Holdings
Berhad. Beliau dipilih menganggotai LPPR berdasarkan pencapaian beliau
sebagai individu yang berintegriti yang telah memberikan perkhidmatan awam
yang cemerlang serta telah mencapai keunggulan dalam profesionnya.

Dengan pelantikan tersebut, LPPR kini dianggotai oleh 12 ahli yang
dipengerusikan oleh Y.Bhg. Puan Sri Zaiton Zawiyah Puteh. Turut hadir
menyaksikan penyampaian watikah pelantikan tersebut adalah Y.Bhg. Dato’
Sri Abu Kassim bin Mohamed, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Timbalan Ketua
Pesuruhjaya (Operasi), Y.Bhg. Datuk Hj. Mohd Shukri bin Abdull.

CALL FOR SUBMISSIONS - The European Independent Film Festival

Are you talented enough?

Are you creative enough?

Are you BRAVE enough?

A lot of people talk about making a film. Very few are brave enough to do it. If you’re a storyteller, a visionary, an innovator or a technical genius with the determination to realise your dream, then get out there and make your film.

Since 2006 ÉCU has been Europe’s premier arena for independent filmmakers to screen their films to international audiences, to network with industry professionals and exchange ideas with other indie filmmakers. All taking place in an environment that fosters creativity and immense amounts of fun.

What better city to showcase your talent than Paris, the home of cinema? There’s a reason filmmakers fall in love with this city, inspiration lies around every corner. ÉCU invites you to submit your film to the 2012 edition of the festival, which will be held in Paris, France from March the 30th to April the 1st, 2012.

European Submissions

- Dramatic Feature

- Dramatic Short

- Documentary

- Animation

- Experimental

- Music Video

Non-European Submissions

- Dramatic Feature

- Dramatic Short

- Documentary

Worldwide (European and Non-European) Submissions

- Student Film

- Feature Script Competition

- Short Script Competition

Early deadline: November 20, 2011

Late deadline: January 8, 2012

Withoutabox extended deadline: January 15th 2012

Independent filmmakers are invited to submit their films at www.ecufilmfestival.com.

ÉCU 2012 will also host its sixth Much More Than A Script Competition!

The script competition’s focus is on independent screenplays not aimed at mainstream Hollywood film markets. Writers are invited to submit their short or feature-length scripts at www.ecufilmfestival.com

Late deadline: March 11th 2012.

For information and rules and regulation on submitting a film please visit Rules-and-Regulations.

Tell your story better than anybody else. Submit - Compete - Meet - Enrich Yourself.

Stay connected with ÉCU 2012:

www.ecufilmfestival.com

www.facebook.com/TheEuropeanIndependentFilmFestival

www.twitter.com/ECUfilmfestival

Sunday, May 22, 2011

PM Pendekkan Lawatan Luar Negara Untuk Lawat Mangsa Tanah Runtuh - kata Datin Seri Rosmah dari Washington di Radio24

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang berada di Amerika Syarikat akan memendekkan lawatannya dan segera pulang ke tanah air bagi menziarahi keluarga mangsa tanah runtuh di Hulu Langat, demikian menurut Datin Seri Rosmah Mansor.

Isteri Perdana Menteri berkata bahawa Najib dan beliau yang sepatutnya berlepas ke Jepun dari Amerika Syarikat, kini akan pulang terus ke Malaysia.

"Saya gembira beliau mengambil keputusan ini kerana ia akan membolehkan saya melawat tempat itu secepat mungkin," katanya dalam temu bual secara langsung dengan Bernama Radio24 dari Washington Sabtu malam.

Temubual itu terhenti seketika disebabkan Rosmah sebak kerana nyata sedih dengan tragedi itu.

Sehingga tengah malam, 10 kanak-kanak penghuni rumah anak yatim di Batu 14 Jalan Hulu Langat dan dua dewasa penjaga mereka, terbunuh dalam kejadian yang berlaku pada 2.30 petang manakala empat lagi dipercayai masih tertimbus.

Kerja mencari dan menyelamat diteruskan kerana empat lagi penghuni rumah itu dipercayai masih tertimbus. Rosmah mengucapkan takziah beliau dan Najib kepada semua keluarga mangsa dan berharap mereka bersabar.

"Saya terkejut dan sedih dengan kejadian yang meragut banyak nyawa ini," katanya.

Rosmah, yang juga Presiden Badan Amal Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) berkata beliau telah meminta anggotanya supaya melawat dan membantu mereka yang terlibat.

Katanya beliau telah meminta Datin Seri Lee Sun Loo, isteri Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, supaya sentiasa memberikan maklumat terkini kepada beliau mengenai kejadian itu.

Tuesday, May 17, 2011

MUZAKARAH ULAMA DAN CENDEKIAWAN ISLAM 2011

Saya menjadi pengumpul titah ucapan DYTM Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah sejak sekian lama kerana baginda sering melontar pemikiran yang melangkau sempadan kaum, bangsa, agama, ideologi politik dan negara. Saya sertakan yang terbaru untuk tatapan dan renungan kita bersama.

TITAH

DULI YANG TERAMAT MULIA

RAJA MUDA PERAK DARUL RIDZUAN

RAJA NAZRIN SHAH

DI MAJLIS PENUTUP

MUZAKARAH ULAMA DAN CENDEKIAWAN ISLAM 2011

TARIKH: 17 MEI 2011 (SELASA); JAM: 11.45 PAGI

TEMPAT: HOTEL HERITAGE IPOH.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahi Rahmani Rahim

Segala puji milik ALLAH Subhanahu Wataala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, demikian juga ke atas ahli keluarga dan para sahabat Baginda, seterusnya ke atas para tabiin dan para ulama; semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Pada 2 Mei 2011, Osama bin Ladin, dilaporkan telah dibunuh oleh komando SEAL tentera laut Amerika Syarikat dalam operasi ketenteraan di bandar Abbottabat, Pakistan. Osama telah menjadi sasaran utama pemburuan Amerika Syarikat sejak berlakunya serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia di New York pada 11 September 2001. Ketika mengumumkan kejayaan operasi ketenteraan itu, Presiden Obama menyatakan bahawa “Keadilan Telah Ditegakkan”.

3. Presiden Rusia, Dmitry Medvedev menyambut berita kematian Obama dengan menyatakan, “Kremlin mengalu-alukan kejayaan besar Amerika Syarikat dalam peperangan menentang keganasan”.

4. Perdana Menteri Israel, Benyamin Netanyahu menganggap berita kematian Osama sebagai satu kejayaan menegakkan keadilan, kebebasan dan nilai-nilai yang dikongsi semua negara demokratik yang berjuang memerangi keganasan.

5. Perdana Menteri Britain, David Cameron menyifatkan kematian Osama melegakan penduduk dunia, bahawa operasi Amerika Syarikat itu merupakan satu kejayaan besar dalam kempen memerangi keganasan.

6. Sementara itu, Ismail Haniyeh, pemimpin kanan HAMAS mengutuk pembunuhan Osama dengan menyifatkan pemimpin al-Qaeda itu sebagai pahlawan suci Arab. Jurucakap Pihak Berkuasa Palestin, Ghassan Khatib pula, mengingatkan bahawa pembunuhan Osama adalah baik bagi keamanan dunia, tetapi apa yang penting sekarang adalah untuk menyekat pendekatan keganasan yang diwujudkan atau yang digalakkan oleh Osama di seluruh dunia. Demikian antara pelbagai reaksi berikutan berita pembunuhan Osama.

7. Seorang Osama telah ditamatkan hayatnya. Apakah jaminan bahawa tidak akan muncul Osama yang baru, meskipun berlainan nama dan berlainan paras rupa, tetapi berpegang kepada kaedah perjuangan yang sama dengan kaedah yang dipelopori oleh Osama? Dunia Barat dan bumi Arab turut menjadi penyebab dalam menyemai dan menyemarakkan perasaan kebencian yang ekstrem terhadap Barat, perasaan menentang status quo yang ekstrem dan perasaan memberontak yang ekstrem dalam jiwa seorang manusia bernama Osama, malah dalam jiwa ramai lagi sekutu dan rakan Osama di serata dunia.

8. Adakah kematian Osama memberi jaminan bahawa keganasan akan berakhir dan keamanan akan terjamin? Sebenarnya, adalah lebih penting bagi dunia untuk menyelami faktor-faktor yang telah mendorong kepada pembentukan watak ekstrem seorang Osama dan adalah lebih penting untuk dunia dapat memahami faktor-faktor yang membolehkan ideologi ekstrem yang dijaguhkan oleh Osama mendapat sokongan meluas. Sebuah akhbar di Pakistan pada September 2001 melaporkan kata-kata Osama, bahawa:

“Jihad tetap akan diteruskan walaupun semasa ketiadaan saya”.

9. Osama telah dibunuh. Jasad Osama telah terbenam di dasar lautan, namun keganasan dan hasrat meneruskan keganasan masih subur menjalar di muka bumi. Pada 13 Mei 2011, sebelas hari selepas Osama dibunuh, dua pengebom meletupkan diri di sebuah akademi polis separa tentera di kawasan Shabqadar, di utara Peshawar, Pakistan sebagai tindak balas pertama untuk membalas dendam. Akibat tragedi tersebut, sekurang-kurangnya lapan puluh sembilan orang dilaporkan terbunuh sementara seratus empat puluh orang lagi mengalami kecederaan.

10. Osama yang dibunuh pada 2 Mei, beragama Islam; dua pengebom dalam tragedi 13 Mei, beragama Islam; mangsa pengeboman tragedi di Shahqadar, beragama Islam. Apakah keuntungan kepada umat dan dunia Islam dari satu lagi tragedi ganas ini? Apakah yang mahu dicapai dan apakah kejayaan yang telah dicapai dalam perjuangan yang didakwa dilakukan atas nama Islam dan atas nama keadilan? Apakah pandangan dunia terhadap Islam berikutan satu lagi tragedi ganas ini?

11. Ancaman militan dari kegiatan ganas ketara belum berakhir dan tidak semudah untuk berakhir dengan kematian seorang Osama. Dunia wajib merenungi kepada pemikiran yang lebih lateral lagi konstruktif untuk menghindarkan kelahiran lebih ramai Osama Baru di muka bumi ini. Langkah preventif untuk menghindar dari terbentuknya lebih ramai Osama wajib diberikan perhatian.

12. Kemiskinan, ketidakseimbangan agihan kekayaan negara, amalan rasuah serta penyalahgunaan kuasa di kalangan pemimpin, tadbir urus negara yang lemah, kemudahan pendidikan yang tidak setanding dengan keperluan semasa, kemudahan sosial dan infrastruktur yang daif, di samping masalah politik di Asia Barat terutamanya isu Palestin yang berpanjangan, adalah isu-isu kritikal yang wajib diberikan perhatian. Selagi isu-isu kritikal ini tidak segera diselesaikan, selagi itu dunia tidak akan aman dan api keganasan akan terus membara.

13. Selepas berakhirnya penjajahan Jepun dan ketika negara baru mencapai kemerdekaan, negara kita turut mengalami ancaman keganasan dari Parti Komunis Malaya, meskipun pada skala yang berbeza, berasaskan teknologi persenjataan dan teknologi komunikasi ketika itu yang masih belum secanggih sekarang. Namun ia tidak menghalang Parti Komunis Malaya dari mendapat sokongan moral dan sokongan material dari Pertubuhan Komunis Antarabangsa termasuk mendapat naungan dari negara tertentu.

14. Negara telah memilih pendekatan bijak ketika menangani ancaman keganasan dengan memberi keutamaan untuk memenangi hati rakyat, lalu mengambil langkah melaksanakan program-program pembangunan prasarana, pembangunan sosial, pembangunan pendidikan dan mentadbir urus negara secara cekap lagi produktif, memastikan ekonomi berkembang dalam hasrat mahu membasmi kemiskinan rakyat. Kewangan Negara diutamakan untuk perbelanjaan membina rumah, sekolah, jambatan, jalan raya, klinik kesihatan serta dibelanjakan untuk membangunkan ladang dan membina tali air daripada dibelanjakan untuk membesarkan angkatan bersenjata atau membeli senjata. Kegiatan perisikan dan kegiatan ketenteraan untuk menangkap Chin Peng dan para pemimpin Parti Komunis Malaya dilakukan, namun negara tidak taksub dengan hasrat tersebut sehingga terlepas pandang kepada pendekatan kemanusiaan yang lebih berkesan untuk memenangi hati rakyat. Akhirnya Chin Peng semakin terpinggir dan gagal mengembangkan pengaruh.

15. Alhamdulillah, Negara kita berjaya mengatasi keganasan, kawasan hitam dapat diputihkan dan darurat berakhir pada tahun 1960. Jika kejayaan Negara, walaupun pada skala yang berbeza dapat dijadikan pengajaran, maka pengalaman kejayaan ini wajarlah dijadikan pedoman dalam usaha dunia mahu menangani keganasan di peringkat antarabangsa. Selagi pendekatan yang berkesan tidak segera diperkenalkan dengan segala kesungguhan, selagi itu keganasan akan tumbuh subur, merebak dari satu madrasah ke satu madrasah, dari satu perkampungan ke satu perkampungan, dari satu wilayah ke satu wilayah. Akibatnya kos perisikan, kos intipan dan kos ketenteraan akan terus meningkat, kemusnahan terus berlaku dan semakin banyak nyawa akan terkorban.

16. Belajarlah dari kesilapan, janganlah terlalu taksub dengan pendekatan punitif atas rasa dendam, kerana setiap perbuatan membalas dendam akan membiakkan dendam yang baru. Laksanakan secara serius lagi bersepadu, pendekatan preventif untuk memadamkan rasa benci dan menghilangkan rasa bermusuh di kalangan insan terutama di kalangan generasi muda. Binalah rasa kasih - rasa sayang sesama insan tanpa mengira agama – tanpa mengira bangsa, dan bantulah mereka supaya dapat keluar dari penderitaan kemiskinan, supaya dapat bebas dari penindasan hidup, dengan memenuhi keperluan asasi mereka dari segi perumahan, makanan dan perubatan serta memenuhi keperluan sosioekonomi mereka dari segi pelajaran, kemahiran dan peluang pekerjaan.

17. Dunia akan lebih aman, jika kemiskinan semakin dapat dikurangkan, jika lebih ramai warga dunia dapat dilengkapkan dengan pelajaran dan kemahiran yang dapat memberikan nilai tambah yang relevan dengan keperluan dunia semasa. Dunia akan lebih sejahtera, jika pemerintahan lebih adil dan saksama dapat diamalkan, jika kekayaan negara lebih seimbang pengagihannya, jika amalan rasuah ditegah secara tegas, jika tadbir urus negara dilaksanakan secara jujur, amanah dan telus.

18. Era beretorik telah begitu lama berlalu - suara retorik telah begitu lama bergema. Tanggung jawab fardu kifayah membantu membina dunia yang lebih aman adalah tanggung jawab bersama, bermula dengan sikap menyemaikan rasa kasih – rasa sayang sesama manusia, bermula dengan rasa belas – rasa simpati terhadap insan yang berada dalam kemiskinan dan kesusahan, bermula dari perasaan kemanusiaan dan keinsanan yang menghargai setiap nyawa dan setiap kehidupan. Bersamalah menggemakan suara perdamaian; bersamalah menggerakkan usaha perdamaian.

19. Dengan kebesaran kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta merasmikan Penutupan Muzakarah Ulama dan Cendekiawan Islam 2011.

Wabillahi taufik, walhidayah.

Wassalamualaikum, warahmatullahi, wabarakatuh.