Powered By Blogger

Friday, August 12, 2011

GAFIM DAN PFM BERDAMAI

12 OGOS 2011 – Kontroversi yang timbul antara Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dan Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) ekoran berbalas kenyataan menerusi media kini telah tamat.

Demikian menurut kenyataan GAFIM yang dikeluarkan di ibu negara hari ini.

GAFIM berkata, bagi menyelesaikan kemelut yang melanda, kedua-dua belah pihak telah mengambil sikap buang yang keruh, ambil yang jernih apabila telah mengadakan pertemuan damai pada 08/08/2011 yang lalu. Kedua-dua pihak juga bersepakat untuk memberikan tumpuan kepada menjalin kerjasama demi kemajuan industri perfileman tanahair.

Pihak GAFIM yang kini terdiri daripada 11 persatuan berkaitan industri kreatif mengambil ketetapan menghormati keputusan PFM yang mahu bergerak secara bersendirian oleh kerana ianya sebuah gabungan syarikat-syarikat perfileman dan pelabur. GAFIM dan PFM akan berkerjasama berdasarkan keperluan yang boleh menggalakkan pembangunan industri hiburan tanahair.

Manakala pihak PFM pula menghormati keputusan ahli-ahli gabungan memilih barisan kepimpinan baru GAFIM dalam mesyuarat agung pada 17 Julai 2011 yang lalu.

Berhubung penganjuran Festival Filem Malaysia ke 24 (FFM24), GAFIM menerima pendirian PFM untuk tidak terlibat dalam pengurusan FFM 24 tetapi PFM tetap akan memberikan sokongan bagi menjayakan acara tahunan tersebut. Ahli-ahli PFM yang telah dilantik menduduki jawatankuasa festival akan terus menyumbang mengikut bidang tanggujawab masing-masing.

GAFIM dan PFM juga berharap mereka dapat mengadakan pertemuan dari semasa ke semasa demi kebaikan kedua-dua pihak.

No comments: