Powered By Blogger

Thursday, October 18, 2012

BAHASA OH BAHASA


Isu bahasa tidak habis-habis diperkatakan.  Terbaharu ialah kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhiyiddin Yassin pada pelancaran Program Bulan Bahasa Kebangsaan  2012 peringkat Kebangsaan  Rabu lalu mengenai penggunaan bahasa rojak yang berleluasa dalam kalangan masyarakat kita.

Dalam ucapannya Tan Sri Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata gejala itu jika tidak dibendung,  akan menghakis kekuatan bahasa  itu sendiri.

Dalam era globalisasi, umum mengetahui bahawa Bahasa Melayu semakin terhakis.  Ini kerana sikap masyarakat kita yang seakan-akan malu menggunakan bahasa kebangsaan kerana takut dianggap kolot.

Memang dalam kehidupan sehari-hari, jarang orang menggunakan bahasa Melayu berterusan dalam perbualan sehari-hari.


Baik di rumah, pejabat atau dalam majlis rasmi, ramai yang selesa menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan.  Malah ada mesyuarat rasmi jabatan awam  menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya walaupun yang hadir semuanya mahir dan memahami bahasa Melayu.

Jika sebuah organisasi awam pun tidak mengambil berat soal bahasa Melayu, apa yang mahu kita harapkan daripada  organsisasi swasta?

Rakyat  Malaysia yang cintakan bahasa seharusnya merasa bimbang akan fenomena ini. 

Setelah mencapai kemerdekaan selama 55 tahun, isu bahasa masih belum dapat kita selesaikan.

Sepatutnya dalam usia 55 tahun, Malaysia sudah boleh berdiri seiring dengan negara-negara maju seperti Jepun dan Perancis dalam memartabatkan bahasa tempatan. 

Bercakap mengenai usaha memartabatkan bahasa Melayu, pencapaiannya telah dapat dilihat melalui penubuhan kursi dan pengajian bahasa melayu di beberapa universiti luar negara.

Setakat ini kerajaan telah menubuhkan empat kursi Pengajian Melayu  di Beijing, Wellington, Seoul dan Leiden.

Selain itu bahasa Melayu turut diajar di lebih 100 buah universiti di Asia Tenggara, Australia, New Zealand, dan Amerika Utara.

Usaha memartabatkan bahasa Melayu bukan sahaja terletak pada bahu kerajaan, malah semua pihak harus menggembleng tenaga menjayakan usaha murni ini.

Selain Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai agensi pelaksana, pihak lain seperti institusi pengajian tinggi awam dan swasta, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, badan bukan kerajaan dan orang perseorangan harus berganding bahu bagi memastikan usaha itu berjaya.

Di samping itu, tidak kurang penting ialah organisasi media baik media cetak mahupun media elektronik.

Media harus  menjadi tenaga penggerak penting dalam usaha memartabatkan bahasa melayu.

Media cetak, sama ada akhbar mahupun majalah harus menitikberat soal bahasa.

Sebagai  bahan bacaan umum, akhbar dan majalah  menjadi bahan rujukan kepada pembaca terutama pelajar.

Bagi media elektronik pula, tugas yang digalas lebih mencabar lagi kerana sebagai media popular, apa yang dipapar dan disebut sudah pasti menjadi ikutan.

Oleh demikian, baik dalam rancangan santai, mahupun rancangan lebih formal seperti bual bicara atau berita, penyampai harus berhati-hati dalam setiap pengucapannya agar tidak merosakkan atau lebih teruk lagi ‘merojakkan’ bahasa Melayu.

Usaha menyeragamkan penggunaan bahasa Melayu di media cetak dan elektronik sedang giat dijalankan.

Pengarang difahamkan satu jawatankuasa yang dipengerusikan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri sedang merangka dasar dan polis bahasa di media cetak dan elektronik.

Usaha itu yang kini pada peringkat akhir merupakan usaha berterusan yang turut didokong oleh semua organisasi media dan pengamal bahasa.

Kemuncak kepada usaha memartabatkan bahasa ialah meningkatkan jumlah khazanah ilmu melalui penerbitan buku ilmiah, buku umum dan karya sastera dalam bahasa Melayu.

Timbalan Perdana Menteri turut  melahirkan kebimbangan kerana sasaran untuk menerbitkan 28,000 judul buku setahun masih belum dicapai.

Namun beliau melahirkan rasa bangga kerana penerbit awam dan swasta kini sedang rancak menerbitkan bahan bacaan bermutu bagi mencapai sasaran itu.

Mengenai usaha meningkatkan penggunaan bahasa Melayu di organisasi awam, Dewan Bahasa dan Pustaka atau DBP turut memainkan peranan bagi memastikan usaha ini berjalan lancar. 

Mulai tahun hadapan DBP akan melaksanakan program Audit Bahasa di semua jabatan dan agensi awam dengan memperkenalkan kaedah penarafan bintang.

DBP sendiri telah memulakan program audit bahasanya sendiri bagi melihat keberkesanannya. 

Selain itu, usaha meningkatkan penggunaan bahasa yang betul pada papan tanda, iklan cetak dan elektronik masih berterusan. 

Usaha ini nampaknya sudah menampakkan hasil.  Kesedaran sudah mula timbul dalam kalangan pengguna bahasa dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan usaha ini membawa kejayaan.

Sempena program Bulan Bahasa Kebangsaan 2012, marilah kita sama-sama beriltizam meningkatkan kesedaran kita agar satu hari nanti bahasa Melayu  kembali menjadi lingua franca di rantau ini.



No comments: