Powered By Blogger

Sunday, May 20, 2012

ARIEF KARMAHANI


Jumaat 18 Mei lalu saya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk menziarahi pengarah filem/drama Arief Karmahani atau nama sebenarnya Mohd Kharib Ahmad setelah membaca mesej di laman Facebook M. Yusof Mohamad bahawa Arief dirawat kerana penyakit angin ahmar.

Arief? Kharib? Siapa tu?...mungkin itulah reaksi pembaca terutama golongan muda apabila nama itu disebut.

Saya mula mengenali Arief  ketika menjalani latihan amali di Bahagian Drama TV, Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1985.  Umur kami tidak berbeza jauh, hanya tiga tahun saja.  Cuma bezanya, ketika kami berkenalan, dia telah terkenal sebagai penerbit drama sedangkan saya baru berada di tahun akhir kursus Sebaran Am di Institut Teknologi MARA atau ITM  (sekarang Universiti Teknologi MARA atau UiTM).  Ini kerana saya kembali menjejak kampus setelah berkeluarga sendiri.

Saya tidak sempat berada dalam pasukan penerbitan Arief  kerana tempoh latihan hanya satu semester.  Namun setelah sama-sama berada di luar sebagai karyawan bebas, saya sempat membantu beliau menyelenggarakan pra-penerbitan filem Pesona Cinta terbitan Anita Rafar dari Medanmas Sdn Bhd. 

Kenapa hanya pra-penerbitan?  Kerana selepas itu saya perlu memulakan projek terbaharu saya bersama syarikat sendiri yang saya asaskan bersama adik saya Roslan Ahmad dan (Dato’) Eddy Aziz, anak sulung Dato’ Abdul Aziz Shamsuddin, Setiausaha Politik Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri (kini Tun) Dr Mahathir Mohamad.

Arief tidak begitu dikenali sebagai pengarah filem kerana beliau hanya sempat mengarah tiga filem sahaja.  Selain Pesona Cinta (1995), Arief terlebih dahulu telah mengarah dua filem terbitan Nik Fadzil Hassan dari Fuego Film Production iaitu  Riang Tirana (1990) dan Azizah The Legend (1993), kedua-duanya tulisan sasterawan Osman Abadi. 

Walaupun kami tidak begitu rapat kerana tidak berpeluang bekerja bersama-sama dalam satu penerbitan,  namun pada waktu senggang kami kerap berkongsi cerita dan pengalaman.  Kami berdua mempunyai latarbelakang yang hampir sama.

Seperti saya, Arief memulakan kerjayanya sebagai guru, antaranya di Maktab Adabi, Kolej Bakti dan Akademi Utama di Alor Setar.   Ini ketika beliau sedang menunggu keputusan peperiksaan akhir di Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1976.

Pada tahun 1977 Arief  bertugas sebagai guru sepenuh masa di Sekolah Menengah Keat Hwa, Alor Setar sebelum menyertai RTM  sebagai Penolong Penerbit pada bulan September 1979 iaitu lima bulan setelah saya menyertai RTM Pulau Pinang sebagai Pembantu Siaran Radio.

Bakat Arief sebagai penerbit/pengarah drama mula menyerlah ketika bertugas di Bahagian Drama TV (RTM) pada tahun 1981.  Beliau telah menerbitkan tidak kurang 50 buah drama sebelum melepaskan jawatannya untuk bersama-sama Allahyarham Zain Mahmood mengendalikan syarikat penerbitan, Teletrade Sdn Bhd.  

Antara drama terbitannya yang paling diingati ialah Guru Yahya yang mengisahkan sekumpulan pengikut ajaran sesat pimpinan Guru Yahya. Drama tulisan M. Yusof Mohamad itu menerima sambutan hebat ketika disiarkan sehingga diulang-siar beberapa kali.

Di bawah syarikat Teletrade, Arief telah mengarahkan drama Telefon yang memperkenalkan Aida Rahim ke dunia drama serta Corak Dunia yang membawa kembali primadona Saadiah ke dunia lakonan setelah berhijrah ke ibu negara akibat penutupan Studio Jalan Ampas di Singapura.

Arief memang dikenali sebagai pengarah yang prolifik dengan sejumlah 200 tajuk drama diarahkannya bersama-sama penerbit terkemuka tanah air.

Khabar terbaharu yang saya dengan, Arief kembali dilamar oleh RTM untuk menjadi pengarah undangan untuk drama bersiri Mahligai Gading dan sebuah cereka TV terbitan RTM/DBP Mufarakah tulisan Dr A. Rahman Shaari.

Seperkara lagi yang ingin saya kongsi…tidak ramai yang mengetahui bahawa Arief adalah antara tenaga penting kepada penubuhan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM).  Beliau adalah pemegang nombor keahlian 002 selepas pengasas dan Presiden pertama FDAM iaitu Dr Mahadi J. Murat (001) manakala pemegang nombor 003 ialah M. Yusof Mohamad.

                                              Timbalan Presiden FDAM, Abdul Rahim Awang
                                          menyampaikan sumbangan kepada Arief Karmahani

No comments: