Powered By Blogger

Sunday, April 22, 2012

AHLI PERLU USAHA HIDUPKAN KEMBALI SWAM

AKHIRNYA  apa yang dibimbangkan oleh ramai penulis terutama ahli Persatuan Penulis Skrin Malaysia (dahulu dikenali sebagai Persatuan Penulis Skrip Malaysia) atau SWAM  menjadi kenyataan.

Menurut sumber  dalaman pertubuhan itu, pendaftaran SWAM telah dibatalkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) berkuat kuasa 19 April lalu.

Sebagai salah seorang anggota pengasas yang  pernah memegang jawatan Timbalan Presiden dan kemudiannya Setiausaha Agung, sudah pasti berita itu, jika benar, merupakan tamparan hebat kepada penulis yang turut  bersama rakan-rakan  lain ketika ingin mendaftarkan pertubuhan itu dulu.

Penulis terlibat  dalam  usaha awal  oleh beberapa penulis dan penyunting skrip di Bahagian Drama, Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta penulis skrip bebas bagi  menubuhkan sebuah persatuan khusus untuk penulis skrip media elektronik pada 1986.

Antara mereka yang mempelopori usaha tersebut adalah Dato’ Dr Nordin Abdul Rahman (Atondra), Dato’ Dr Nordin Hassan (Sasterawan Negara), Aziz Jahpin, Bidin Subari, Ramlah Jalee dan Nurhalim ismail dari Bahagian Drama RTM serta beberapa orang penulis bebas termasuk pengasas siri ‘Opah’, A. Wahid Nasir (yang akhirnya menjadi presiden pertama SWAM  sepuluh tahun kemudian).

Namun usaha awal itu gagal  membuahkan hasil.  Punca kegagalan itu tidak jelas walaupun ada yang mendakwa penulis-penulis yang hadir itu gagal mencapai kata sepakat mengenai beberapa hal termasuk keahlian dan siapa yang patut menjadi pemimpin.

Pada tahun 1990, sekumpulan pengarah dan penulis bebas diketuai Dr Mahadi J. Murat bertemu bagi mengusahakan penubuhan sebuah persatuan untuk penulis skrip bebas.

Sekali lagi pertemuan tersebut tidak menghasilkan apa-apa keputusan.  Sebaliknya Dr Mahadi  dan beberapa pengarah lain seperti Datin Paduka Shuhaimi Baba, Anwardi Jamil, Nurhalim Ismail, Kamal Ishak, Othman Haji Zainduddin dan M. Yusof Mohamad (sekadar menyebut beberapa nama) bersepakat mendaftarkan Persatuan Pengarah Filem Malaysia atau FDAM.  Dr Mahadi J. Murat  dipilih sebagai presidennya yang pertama.  

Setelah dua kali gagal ditubuhkan, beberapa orang penulis skrip pelbagai genre diketuai oleh A. Wahid Nasir bertemu  pada tahun 1995  bagi merealisasikan penubuhan sebuah persatuan untuk penulis skrip tanpa mengira genre yang mereka wakili.  

Antara yang hadir pada pertemuan  itu ialah  (Allahyarham) Radzi Sayed, Ismail Ahmad, Jamil Mutalib dan Sujiah Salleh (sekadar menyebut beberapa nama).  Penulis hadir mewakili genre dokumentari dan majalah TV.

Akhirnya dengan usaha gigih Allahyarham Radzi Sayed yang bertindak sebagai Setiausaha Penaja, Persatuan Penulis Skrip Malaysia (SWAM) didaftar pada 1996 dengan nombor pendaftaran 2401/96 (Wilayah Persekutuan).  

Selepas  diterajui oleh A. Wahid Nasir pada  1996-2002, SWAM seterusnya menerima sentuhan kepimpinan nama-nama besar dalam industri penyiaran dan perfileman iaitu Dato’ Rosnani Jamil (2002-2005), Allahyarham Dato’ Salleh Pateh Akhir, bekas Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (2005-2006), Dato’ Yusof Haslam (2007-2009) dan Ismail Ahmad (2009-2010).

Apabila kemelut SWAM mula tercetus pada  tahun 2011, penulis tidak lagi bersama SWAM sebagai ahli tetapi masih lagi mengikuti  perkembangannya melalui media cetak dan elektronik serta  media sosial.  A. Wahid Nasir juga telah lama tidak menyertai sebarang kegiatan anjuran SWAM walapun merupakan ahli seumur hidupnya.

Kerana hubungan rapat penulis dengan beberapa ahli SWAM, berita mengenai pertelagahan antara sesama ahli jawatankuasa  SWAM dan beberapa ahli yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan pertubuhan itu sampai juga ke telinga penulis. 

Lebih-lebih lagi penulis kini mengetuai operasi berita di sebuah stesen radio, maka e-mel penulis sering dihujani berita yang dihantar oleh sumber dalaman SWAM. 

Namun demikian, penulis tidak  mempercayai semuanya, malah tidak satupun berita itu tersiar dalam ruangan berita yang dikendalikan oleh penulis.  Penulis mengambil sikap berhati-hati dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

Sama ada kumpulan yang  diketuai oleh pemimpin sedia ada atau kumpulan yang mengambil alih tampuk kepimpinan melalui Mesyuarat Agung Luar Biasa, tindakan kedua-dua pihak itu masih dipertikaikan sehingga menyebabkan ROS membuat keputusan membatalkan pendaftaran SWAM pada 19 April lalu.

Kini para penulis skrip di Malaysia kehilangan tempat untuk bernaung.  Walaupun ketika wujudnya dahulu SWAM sering menerima kritikan kerana gagal menyelesaikan isu penting  seperti kadar bayaran, isu hak cipta dan royalti, namun kehadirannya tetap relevan. 

Ahli-ahli SWAM tidak harus berdiam diri. Satu usaha bersepadu dan tindakan pro-aktif perlu  dilakukan bagi menghidupkan kembali SWAM  demi memartabatkan kembali kerjaya penulis skrip tanah air.

No comments: