Monday, October 7, 2013

STEFANUS DAN KATE WEBB


Saya ingin berkongsi maklumat mengenai Anugerah Kate Webb yang diperkenalkan oleh Agence France-Presse (AFP) pada 2008 serta penerima terbaharunya, seorang wartawan berusia 32 tahun dari Indonesia, Stefanus Teguh Edi Pramono. 

Stefanus menerima anugerah itu pada satu majlis di Jakarta hujung bulan lalu.

Anugerah Kate Webb  dinamakan sempena seorang wartawan kelahiran New Zealand, Kate Webb yang meninggal dunia pada 2007 ketika berusia 64 tahun.

Webb, yang menjadi mentor kepada banyak wartawan Asia, menikmati kerjaya cemerlang selama empat dekad.  

Selama tempoh itu, beliau telah membuat beberapa liputan peperangan dan peristiwa bersejarah di Asia.  Beliau mencipta nama di Vietnam di samping pernah bekerja di Kemboja, Indonesia, Thailand, Filipina, India, Korea Selatan dan Timur Tengah.

Anugerah Kate Webb ditadbir oleh AFP Foundation dan keluarga Webb.  AFP Foundation  ditubuhkan untuk memperjuangkan kebebasan akhbar menrusi latihan kewartawanan di negara-negara membangun.

Penerima pertama anugerah itu  adalah Mushtaq Yusufzai, seorang wartawan Pakistan yang banyak melapor kejadian keganasan di sempadan Pakistan-Afghanistan.


Penerima kedua pada 2009 adalah Philippine Centre for Investigative Journalism yang dipilih kerana keberanian  wartawan mereka membuat liputan di negara yang dikatakan  salah sebuah negara paling bahaya kepada wartawan.



Penerima ketiga pula  seorang wartawan foto dari India, Dilnaz Boga yang banyak menulis untuk portal berita Kashmir Dispatch serta beberapa portal berita antarabangsa.



Stefanus Teguh Edi Pramono yang memenangi hadiah wang tunai 3,000 euro (RM11,864) menulis untuk TEMPO iaitu sebuah penerbitan yang terkenal dengan laporan eksklusif sejak  era Suharto.



Tanpa pengalaman sebagai wartawan perang, beliau pergi ke Syria pada Oktober 2012 untuk membuat liputan krisis di negara itu.

Beliau yang merupakan antara sebilangan kecil wartawan Indonesia yang dihantar ke Syria, menulis beberapa siri artikel mengenai krisis Syria untuk TEMPO.

Satu lagi hasil kerja Stefanus yang dinilai untuk anugerah berkenaan adalah laporan mengenai perniagaan dadah di Jakarta pada 2012.  

Bersama-sama seorang rakan sekerjanya, beliau berjaya menyingkap kisah di sebalik dunia narkotik di daerah Kampung Ambon yang terkenal sebagai sarang dadah terbesar di Jakarta.

“Ini adalah saat membanggakan dalam hidup saya.  Ia membuat saya ingin jadi seperti Kate Webb,” kata Stefanus mengulas kemenangannya.

“Tugas media bukan hanya melaporkan peperangan tetapi  juga  kesan peperangan itu kepada kehidupan rakyat biasa,” tambahnya.

Pengarah Asia-Pasifik AFP, Gilles Campion berkata kesungguhan Stefanus melaksanakan tugasnya tanpa menghirau bahaya yang dihadapinya adalah resepi yang membawa kejayaannya.

Katanya, keberanian Stefanus menyamai Kate Webb yang kebetulan pernah berkhidmat di biro AFP di Jakarta.


No comments: