Friday, October 11, 2013

PENENTUAN PEMIMPIN SAYAP UMNO ESOK


Esok kira-kira 220,000 anggota ketiga-tiga sayap Umno, iaitu Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri akan menentukan barisan pemimpin untuk menerajui pergerakan masing-masing untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Selain perebutan  jawatan Naib Presiden dan Majlis Tertinggi minggu hadapan, pemilihan  Exco Pemuda, Wanita dan Pputeri Umno esok akan menjadi perhatian setelah jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dimenangi oleh penyandangnya tanpa bertanding.

Pemilihan Exco Pemuda, Wanita dan Puteri Umno esok akan menggunakan peraturan baharu hasil pindaan perlembagaan Umno pada 2009.

Pemilihan kali ini dianggap penting kerana ia bakal menentukan hala tuju ketiga-tiga sayap itu untuk tiga tahun akan datang.

Setelah selesai Pilihan Raya Umum ke-13 pada Mei lalu, hasil pemilihan esok akan menjadi petunjuk kepada  kekuatan pemuda, wanita dan puteri Umno bagi menghadapi pilihan raya umum lima tahun lagi.

Sudah pasti perhatian akan tertumpu kepada dua jawatan tertinggi pergerakan pemuda,  wanita dan puteri kerana hala tuju ketiga-tiga sayap parti itu akan bergantung kepada gandingan ketua dan naib ketua masing-masing.

Untuk jawatan Ketua Pemuda Umno, penyandangnya Khairy Jamaludin Abu Bakar dicabar empat calon. 

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan dilihat tidak mempunyai masalah besar mempertahankan jawatan itu. 

Namun penganalisis berpendapat jumlah pencabar yang lebih banyak kali ini berbanding pemilihan 2009 menunjukkan bahawa terdapat  satu gerakan protes yang kuat di peringkat akar umbi untuk melihat perubahan pada pucuk pimpinan sayap Umno itu. Pada pemilihan 2009, Khairy ditentang oleh dua calon iaitu  Datuk Mukhriz Mahathir dan Dr Mohamad Khir Toyo.

Sebaliknya bagi Khairy, ia bukanlah sesuatu di luar dugaan.  Sejak pertama kali menyatakan hasrat mempertahankan jawatan dalam satu mesej twitter pada Mei tahun lalu, telah kedengaran banyak suara yang mahu  melihat Khairy dicabar. 

Dalam reaksinya kepada  soalan pengikut twitternyapada 10 Mei 2012, Khairy meminta anggota pemuda memberinya mandat untuk memimpin pemuda untuk penggal terakhir memandangkan beliau akan berusia 40 tahun pada 2016.

Melihat kepada senarai pencabar,  ada yang mengandaikan  bahawa  Khairy akan berhadapan tugas berat menyatukan kembali anggota sayap yang dilihat seakan-akan  berpecah ekoran pertandingan esok.
 
Bagi saya, andaian itu tidak begitu tepat kerana jumlah besar calon yang bertandingbukan kerana perpecahan.

Ia adalah kerana peraturan baharu pemilihan yang membolehkan sesiapa sahaja menawarkan diri bertanding asalkan mereka layak.

Untuk jawatan Naib Ketua Pemuda pula, empat calon akan mencuba nasib merebut jawatan yang dikosongkan oleh Datuk Razali Ibrahim.

Penganalisis berpendapat, untuk jawatan ini,  semua calon  mempunyai peluang  sama.

Tidak kurang sengit adalah  pertandingan merebut  jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno yang kini disandang Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Beliau  dicabar  Datuk Maznah Mazlan dan Raihan Suleiman.

Walaupun tidak menyangka akan dicabar, Datuk Seri Shahrizat yang sudah 32 tahun menganggotai pergerakan wanita masih mempunyai semnagat kuat untuk terus memimpin wanita bagi melaksanakan  agenda wanita dan menjadikan pergerakan itu sebagai tunjang Umno.

Datuk Maznah Mazlan yang muncul di meja pendaftaran calon pada saat akhir berkata beliau menawarkan diri bertanding  kerana rasa sayang yang sangat menebal  terhadap pergerakan itu.

Katanya, walaupun beliau tidak mempunyai profil sehebat Datuk Seri Sharizat, beliau mempunyai banyak pengalaman memimpin wanita pada peringkat cawangan, bahagian, negeri dan pusat sejak menganggotainya pada 1974.

Seorang lagi calon bolehlah dikatakan sebagai calon bukan pilihan kerana tidak ramai yang mengenalinya melainkan kaitannya dengan bapanya, seorang  tokoh veteran Umno, Suleiman Palestin.

Suleiman Palestin  pernah mengejutkan parti itu apabila menentang Tun Hussein Onn untuk jawatan presiden pada  1978.

Ketika itu Suleiman adalah Ketua Penerangan Umno manakala Tun Hussein memangku jawatan Presiden.

Pertandingan merebut jawatan Naib Ketua Wanita dilihat sebagai pertemuan adik-beradik apabila dua tokoh yang sama handal bertemu satu lawan satu setelah seorang calon menarik diri.

Untuk jawatan itu, anggota exco wanita ,  Datuk Suraya Yaakob akan berentap dengan  Datuk Azizah Mohd Dun yang merupakan salah seorang pemimpin wanita Sabah yang berpengalaman luas dalam pentadbiran negeri itu.

Pertandingan satu lawatan satu untuk Ketua Puteri Umno serta tiga penjuru untuk naib ketuanya  tidak kurang menarik.

Perebutan untuk kedua-dua jawatan itu  diyakini tidak akan menjejaskan perpaduan ahli kerana ia bukan mencabar kepimpinan sedia ada sebaliknya mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemimpin terdahulu.

Apapun, esok seluruh perwakilan pemuda, wanita dan puteri Umno serta para petugas parti mempunyai tugas besar memastikan pemilihan format baharu berjalkan dengan lancar.

Ia juga sebagai persiapan kepada petugas parti untuk melaksanakan   pemilihan yang lebih besar iaitu  pemilihan Majlis Tertinggi Umno minggu hadapan.

Kepada semua perwakilan pemuda, wanita dan puteri Umno yang akan bertanding dan mengundi esok, saya ucapkan selamat maju jaya.



No comments: