Thursday, October 18, 2012
NAJIB DAN MORO
Bukan mudah untuk menjadi perantara bagi mendamaikan dua pihak yang bersengketa.
Namun seorang pemimpin dari sebuah negara Islam yang kecil berjaya melakukannya.
Isnin lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Presiden Filipina, Benigno Aquino III telah menjadi saksi penting kepada majlis menandatangani Perjanjian Rangka Tindakan damai antara kerajaan Filipina dengan Barisan Pembebasan Islam Moro atau MILF di Istana Malacanang, Manila.
Perjanjian itu adalah kemuncak kejayaan Malaysia yang bertindak sebagai pemudah cara dan tuan rumah rundingan antara Manila dan MILF.
Malaysia mengambil alih peranan sebagai pemudah cara dan tuan rumah pada Disember 2009 setelah 16 bulan perbincangan antara Manila dengan MILF mengalami kebuntuan.
Pada 7 Oktober lalu, Manila dan Kuala Lumpur membuat pengumuman serentak mengenai perjanjian itu selepas berakhirnya rundingan pusingan ke-32 di Kuala Lumpur.
Perjanjian itu akhirnya ditandatangani pada Isnin lalu.
Dengan termetrainya perjanjian bersejarah itu, Mindanao yang terletak di selatan Filipina, akan menikmati keamanan dan kestabilan berkekalan setelah dilanda konflik selama hampir 40 tahun.
Perjanjian ini adalah bukti penting betapa besarnya peranan Kuala Lumpur sendiri dalam mewujudkan keamanan serantau.
Ini juga merupakan usaha berterusan Perdana Menteri dalam memperjuangkan konsep kesederhanaan melalui Pergerakan Kesederhanaan Global yang mula diutarakan oleh beliau pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-65 pada 27 September 2010.
Perjanjian yang ditandatangani di Manila itu tidak mungkin tercapai jika tidak ada penggerak yang benar-benar serius dalam memastikan ianya terlaksana.
Dalam hal ini, Datuk Seri Najib sendiri telah memainkan peranan yang amat penting dalam mempercepatkan proses damai antara kerajaan Filipina dengan MILF yang merupakan serpihan daripada Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro atau MNLF.
Usaha Malaysia dan Perdana Menteri dalam perkara ini disambut baik dan disanjung tinggi oleh semua pihak di Manila dan Mindanao yang sememangnya menanti satu penyelesaian kepada konflik yang telah meragut lebih 150,000 nyawa sejak awal 1970-an dahulu.
Kini semua pihak yang berkepentingan di Manila dan Mindanao haruslah duduk semeja bagi merangka pelan tindakan agar terma-terma dalam perjanjian damai itu dapat dilaksanakan.
Sudah pasti rakyat di selatan Filipina menanti-nantikan pelaksanaannya.
Perjanjian itu menjadi satu permulaan kepada sejarah baharu Bangsamoro yang telah lama menginginkan satu kehidupan yang aman damai tanpa ada pertumpahan darah.
Mimpi akhirnya menjadi kenyataan apabila perjanjian itu mewujudkan satu wilayah autonomi di Selatan Filipina sebelum tamatnya penggal pemerintahan presiden sekarang pada 2016.
Kegembiraan pasti terpancar di wajah setiap Bangsamoro yang mahukan kuasa politik yang lebih besar serta kawalan terhadap kekayaan sumber alam di wilayah yang majoritinya beragama Islam itu.
Selepas empat dekad berada dalam kancah peperangan, perjanjian yang akhirnya memberi pengiktirafan kepada Bangsamoro bagi menggantikan Wilayah Autonomi Islam Moro akan membuka lembaran baharu kepada rakyat Mindanao yang sentiasa dahagakan pembangunan.
Inilah masanya bagi Bangsamoro merangka program pembangunan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat yang telah bertahun-tahun menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgit berjuang menentang kerajaan Filipina dengan kegiatan keganasan yang meragut begitu banyak nyawa.
Selain menyebut mengenai pengwujudan Bangsamoro, perjanjian itu juga memperuntukkan program pentauliahan tentera MILF secara beransur-ansur sebelum dibubarkan sepenuhnya.
Kedua-dua pihak di Manila dan Mindanao juga menyatakan komitmen masing-masing untuk bekerjasama mengurangkan penggunaan serta melaksanakan pengawalan senjata api di kawasan sengketa dan membubarkan pasukan tentera persendirian dan kumpulan bersenjata lain.
Jika dilihat dalam skop yang lebih besar, perjanjian damai itu bukan sahaja membawa makna kepada rakyat di selatan Filipina malah ia mencakupi keseluruhan wilayah Asia Tenggara kerana Mindanao sering dikaitkan dengan aktiviti keganasan di rantau ini.
Kini rakyat di rantau ini boleh merasa selesa apabila memikirkan suasana aman akhirnya wujud juga di Asia Tenggara.
Bukan mudah untuk menjadi perantara bagi mendamaikan dua pihak yang bersengketa.
Namun Datuk Seri Najib telah menunjukkan kesungguhannya sekaligus membuktikan Islam yang menjadi tonggak kepada pentadbiran kerajaan Malaysia adalah agama perdamaian.
Selepas ini Malaysia harus memikirkan kemungkinan meluaskan peranan dalam mewujudkan rantau Asia yang lebih aman dan jauh daripada sengketa.
Tidak mustahil jika satu hari nanti Malaysia akan diminta menjadi perantara kepada konflik lain seperti di selatan Thailand, isu Rohingya di Myanmar dan sengketa sempadan laut antara China dan Jepun.
BAHASA OH BAHASA
Isu bahasa tidak habis-habis diperkatakan. Terbaharu ialah kenyataan Timbalan Perdana
Menteri Tan Sri Muhiyiddin Yassin pada pelancaran Program Bulan Bahasa
Kebangsaan 2012 peringkat
Kebangsaan Rabu lalu mengenai
penggunaan bahasa rojak yang berleluasa dalam kalangan masyarakat kita.
Dalam ucapannya Tan Sri Muhyiddin yang juga Menteri
Pelajaran berkata gejala itu jika tidak dibendung, akan menghakis kekuatan bahasa
itu sendiri.
Dalam era globalisasi, umum mengetahui bahawa Bahasa Melayu
semakin terhakis. Ini kerana sikap
masyarakat kita yang seakan-akan malu menggunakan bahasa kebangsaan kerana
takut dianggap kolot.
Memang dalam kehidupan sehari-hari, jarang orang menggunakan
bahasa Melayu berterusan dalam perbualan sehari-hari.
Baik di rumah, pejabat atau dalam majlis rasmi, ramai yang
selesa menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan. Malah ada mesyuarat rasmi jabatan awam menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya
walaupun yang hadir semuanya mahir dan memahami bahasa Melayu.
Jika sebuah organisasi awam pun tidak mengambil berat soal
bahasa Melayu, apa yang mahu kita harapkan daripada organsisasi swasta?
Rakyat Malaysia yang
cintakan bahasa seharusnya merasa bimbang akan fenomena ini.
Setelah mencapai kemerdekaan selama 55 tahun, isu bahasa
masih belum dapat kita selesaikan.
Sepatutnya dalam usia 55 tahun, Malaysia sudah boleh berdiri
seiring dengan negara-negara maju seperti Jepun dan Perancis dalam
memartabatkan bahasa tempatan.
Bercakap mengenai usaha memartabatkan bahasa Melayu,
pencapaiannya telah dapat dilihat melalui penubuhan kursi dan pengajian bahasa
melayu di beberapa universiti luar negara.
Setakat ini kerajaan telah menubuhkan empat kursi Pengajian
Melayu di Beijing, Wellington, Seoul
dan Leiden.
Selain itu bahasa Melayu turut diajar di lebih 100 buah
universiti di Asia Tenggara, Australia, New Zealand, dan Amerika Utara.
Usaha memartabatkan bahasa Melayu bukan sahaja terletak pada
bahu kerajaan, malah semua pihak harus menggembleng tenaga menjayakan usaha
murni ini.
Selain Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai agensi pelaksana,
pihak lain seperti institusi pengajian tinggi awam dan swasta, Institut
Terjemahan dan Buku Malaysia, badan bukan kerajaan dan orang perseorangan harus
berganding bahu bagi memastikan usaha itu berjaya.
Di samping itu, tidak kurang penting ialah organisasi media
baik media cetak mahupun media elektronik.
Media harus menjadi
tenaga penggerak penting dalam usaha memartabatkan bahasa melayu.
Media cetak, sama ada akhbar mahupun majalah harus
menitikberat soal bahasa.
Sebagai bahan bacaan
umum, akhbar dan majalah menjadi bahan
rujukan kepada pembaca terutama pelajar.
Bagi media elektronik pula, tugas yang digalas lebih
mencabar lagi kerana sebagai media popular, apa yang dipapar dan disebut sudah
pasti menjadi ikutan.
Oleh demikian, baik dalam rancangan santai, mahupun
rancangan lebih formal seperti bual bicara atau berita, penyampai harus
berhati-hati dalam setiap pengucapannya agar tidak merosakkan atau lebih teruk
lagi ‘merojakkan’ bahasa Melayu.
Usaha menyeragamkan penggunaan bahasa Melayu di media cetak
dan elektronik sedang giat dijalankan.
Pengarang difahamkan satu jawatankuasa yang dipengerusikan
sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri sedang merangka dasar dan polis bahasa di
media cetak dan elektronik.
Usaha itu yang kini pada peringkat akhir merupakan usaha
berterusan yang turut didokong oleh semua organisasi media dan pengamal bahasa.
Kemuncak kepada usaha memartabatkan bahasa ialah meningkatkan
jumlah khazanah ilmu melalui penerbitan buku ilmiah, buku umum dan karya
sastera dalam bahasa Melayu.
Timbalan Perdana Menteri turut melahirkan kebimbangan kerana sasaran untuk menerbitkan 28,000
judul buku setahun masih belum dicapai.
Namun beliau melahirkan rasa bangga kerana penerbit awam dan
swasta kini sedang rancak menerbitkan bahan bacaan bermutu bagi mencapai
sasaran itu.
Mengenai usaha meningkatkan penggunaan bahasa Melayu di
organisasi awam, Dewan Bahasa dan Pustaka atau DBP turut memainkan peranan bagi
memastikan usaha ini berjalan lancar.
Mulai tahun hadapan DBP akan melaksanakan program Audit
Bahasa di semua jabatan dan agensi awam dengan memperkenalkan kaedah penarafan
bintang.
DBP sendiri telah memulakan program audit bahasanya sendiri
bagi melihat keberkesanannya.
Selain itu, usaha meningkatkan penggunaan bahasa yang betul
pada papan tanda, iklan cetak dan elektronik masih berterusan.
Usaha ini nampaknya sudah menampakkan hasil. Kesedaran sudah mula timbul dalam kalangan
pengguna bahasa dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan usaha ini membawa
kejayaan.
Sempena program Bulan Bahasa Kebangsaan 2012, marilah kita
sama-sama beriltizam meningkatkan kesedaran kita agar satu hari nanti bahasa
Melayu kembali menjadi lingua franca di rantau ini.
Subscribe to:
Posts (Atom)