Powered By Blogger

Wednesday, October 21, 2020

Radio Tetap Relevan

Industri penyiaran radio telah berusia 74 tahun dengan penubuhan stesen pertama pada 1946 yang kemudian melahirkan Radio Televisyen Malaysia atau RTM. Kini, negara kita mempunyai lebih 50 stesen radio yang sebahagian besarnya dimiliki kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan selebihnya oleh organisasi media swasta.

RTM mempunyai stesen radio di semua negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan. Ada negeri yang mempunyai lebih daripada sebuah stesen iaitu satu stesen negeri dan beberapa stesen daerah.

Kedah mempunyai stesen negeri, Kedah FM di Alor Setar dan stesen daerah, Langkawi FM di Langkawi.

Sabah juga, selain stesen negeri Sabah FM di Kota Kinabalu turut mempunyai stesen daerah iaitu Keningau FM, Sandakan FM dan Tawau FM serta radio dalam talian Sabah VFM yang bersiaran dalam bahasa tempatan.

Sarawak pula mempunyai stesen daerah iaitu Sibu FM, Limbang FM, Miri FM, Bintulu FM, RaSA FM di Sri Aman dan Red FM (bahasa Mandarin) selain stesen negeri, Sarawak FM di Kuching dan radio dalam talian Wai FM.

Johor pernah mempunyai stesen daerah di Johor Bahru tetapi frekuensinya diberi kepada Bernama Radio pada 2012.

Sebagai perancangan masa hadapan, KKMM diharap dapat menubuhkan stesen daerah di setiap kawasan strategik di seluruh negara bagi memastikan maklumat penting sampai kepada masyarakat setempat. Kewujudan stesen daerah yang bersiaran dalam loghat setempat sudah pasti akan menarik lebih banyak khalayak pendengar.

Dalam hal ini, penulis ingin juga menyarankan penubuhan sebuah stesen khusus untuk Wilayah Persekutuan Putrajaya sejajar dengan statusnya sebagai pusat pentadbiran negara dan sebuah lagi di Cyberjaya sebagai hub teknologi maklumat dan komunikasi.

Sumber maklumat penting

Turut memainkan peranan menyemarakkan industri penyiaran radio ialah pihak swasta seperti Media Prima, Astro dan Star Media Radio.

Ada stesen yang hanya bersiaran di negeri, kawasan atau wilayah tertentu sahaja dan ada juga yang bersiaran ke seluruh negara mengikut keperluan dan kemampuan kewangan masing-masing.

Selain bahasa Melayu, bahasa lain juga tidak disekat untuk berkembang melalui media penyiaran radio.

Di samping bahasa Inggeris, siaran radio di negara ini sama ada yang dikendalikan oleh kerajaan mahupun swasta turut menyiarkan rancangan dalam bahasa-bahasa lain seperti bahasa Cina di One FM, Tamil di Minnal FM dan THR Ragaa, Orang Asli di AsyikFM serta bahasa Iban di Cats FM dan Wai FM.

Persaingan sihat radio konvensional dan internet

Kelahiran televisyen di Malaysia pada 1963 tidak mengubah status radio sebagai sumber maklumat utama. Lebih-lebih lagi pada zaman ledakan maklumat kini, Radio masih diperlukan sama ada oleh masyarakat luar bandar mahupun masyarakat bandar. Bagi golongan pekerja, radio menjadi teman setia ketika memandu atau ketika berada di tempat kerja.

Ledakan industri internet pada awal tahun 2000 menjadi saingan kepada industri radio.

Kelahiran stesen radio berasaskan web turut memainkan peranan penting dalam menyemarakkan dunia penyiaran walaupun kebanyakannya berasaskan hiburan. Media penyiaran pula tidak hanya bergantung kepada alat radio konvensional semata-mata. Kini siaran radio turut menjadi aplikasi popular di telefon mudah alih.

Generasi muda mula beralih kepada media baharu namun siaran radio konvensional tetap tidak kehilangan pendengar.

Kemunculan media baharu tidak mematahkan semangat stesen konvensional untuk terus bergerak aktif dengan matlamat masing-masing sama ada yang berorientasikan hiburan atau maklumat dan berita seperti Bernama Radio dan BFM.

Penyiar sebagai petugas barisan hadapan

Walau apapun yang berlaku dalam industri penyiaran radio dewasa ini, satu perkara yang harus diingat adalah peranan penyiar dalam memastikan radio terus relevan sebagai platform menyampaikan maklumat.

Daripada zaman awal penubuhannya, radio masih kekal bersiaran dengan tiga matlamat utama iaitu mendidik, menyampaikan maklumat dan menghibur.

Ketiga-tiga matlamat ini kelihatan lebih menonjol ketika masyarakat Malaysia (dan dunia) berhadapan dengan pandemik COVID-19 dengan seluruh rakyat diwajibkan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa pemulihan.

Sejak PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac, kemudian bertukar kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat pada 4 Mei dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan mulai 10 Jun hingga 31 Ogos yang kini dilanjutkan sehingga 31 Disember, radio (selain televisyen) telah menjadi sumber maklumat dan hiburan yang penting.

Sama ada radio konvensional mahupun radio internet, kedua-duanya menjadi sumber rujukan bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai COVID-19 selain panduan penjagaan kesihatan dan keselamatan. Di samping itu, radio juga menjadi sumber hiburan bagi mengisi masa senggang dan menghilangkan kebosanan kerana terpaksa berada di rumah akibat PKP.

Justeru penyiar radio, selain petugas media lain, wajar juga menganggap diri mereka sebagai petugas barisan hadapan yang mempunyai tanggungjawab penting bagi memastikan matlamat kerajaan untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19 tercapai.

Jambatan integrasi

Tidak dinafikan masyarakat mempunyai banyak pilihan sebagai saluran mereka mendapatkan sumber berita. Bagi radio, kecepatan memang menjadi keutamaan tetapi ketepatan maklumat tidak boleh dikesampingkan.

Justeru, penyiar harus pandai menyeimbangkan keinginan untuk menyebarkan berita dengan cepat dan pada masa sama memastikan berita itu tepat.

Walau apapun cabaran dan saingan yang dihadapi, Radio akan tetap menjadi saluran pendidikan, penyebaran maklumat dan hiburan utama selain medium yang menyatupadukan rakyat pelbagai kaum serta jambatan integrasi antara masyarakat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

--BERNAMA

Tersiar dalam ruangan Tinta Minda pada 14 Oktober 2020

No comments: