Powered By Blogger

Thursday, July 30, 2015

BELA KELUARGA MANGSA MH17 - MASIH ADA HARAPAN

Masih ada harapan untuk membawa mereka yang bertanggungjawab dalam tragedi pesawat MAS penerbangan MH17 ke muka pengadilan.

Demikian menurut  Felo Kanan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas) Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Sufian Jusoh ketika mengulas tindakan Rusia menggunakan kuasa vetonya bagi menggagalkan cadangan resolusi penubuhan tribunal antarabangsa MH17.

Beliau berkata jika tribunal itu ditubuhkan di bawah  Fasal 7 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semua anggota Majlis Keselamatan PBB termasuk Rusia wajib bekerjasama dengan mahkamah atau tribunal yang akan ditubuhkan.

Dr Sufian berkata salah satu  pilihan ialah  menubuhkan mahkamah khas dalam sistem perundangan Ukraine yang membolehkan mereka yang bertanggungjawab didakwa di bawah undang-undang jenayah negara itu.

"Bagaimanapun,  ini bergantung kepada keberanian  Ukraine untuk melaksanakan pendakwaan di bawah undang-undang mereka.

"Pilihan itu juga juga terletak kepada sama ada penjenayah berkenaan dikenal pasti dan boleh hadir untuk dibicarakan," katanya ketika bercakap kepada Bernama Radio24 hari ini.

Bagaimanapun,  katanya ini hanya boleh terlaksana dengan kerjasama Rusia.

Menurut Dr Sufian lagi, pilihan lain adalah mengadakan perbicaraan di Rusia melalui tribunal khas di negara itu.

Namun demikian, katanya, langkah itu mungkin tidak disokong kuasa-kuasa besar lain.

Dr Sufian yang juga Pengerusi Kumpulan Pakar Tidak Formal Asia-Afrika Bagi  Undang-Undang Antarabangsa berkata, dalam hal ini, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) bukan satu pilihan kerana ia  hanya membicarakan jenayah kemanusiaan,  penghapusan etnik dan jenayah perang. 

No comments: