Thursday, July 11, 2013

STATUS KEPUTUSAN PERMOHONAN KEMASUKAN KE IPTA 2013/2014


KENYATAAN OLEH YBHG. DATO’ PROF. MORSHIDI BIN SIRAT KETUA PENGARAH, JABATAN PENGAJIAN TINGGI, KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA MENGENAI STATUS KEPUTUSAN PERMOHONAN KEMASUKAN KE INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI AWAM (IPTA) BAGI PROGRAM PENGAJIAN LEPASAN STPM/MATRIKULASI/ASASI (IJAZAH PERTAMA) SESI AKADEMIK 2013/2014

Seramai 41,573 calon berjaya mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk mengikuti program ijazah pertama bagi sesi akademik 2013/2014.  Mereka dipilih daripada 68,702 permohonan.

Seramai 24,489 atau 58.9 peratus adalah daripada aliran sains dan 17,084 (41.1) peratus lagi aliran sastera.
Daripada jumlah ini seramai 28,280 calon wanita berjaya mendapat tempat di IPTA dan selebihnya lelaki.
Selain itu, 49 calon Orang Asli turut menerima tawaran ke IPTA, 68 calon Orang Kelainan Upaya dan 1,515 atlet kebangsaan dan antarabangsa.

IPTA akan mengeluarkan surat tawaran rasmi kepada calon yang berjaya mulai esok.

Prestasi calon yang berjaya mengikut kaum adalah 30,903 orang (74.3 peratus) bumiputera, 7,913 orang (19 peratus) Cina, 1,824 orang (4.4 peratus) India dan 933 orang (2.3 peratus) kaum lain.

Seramai 5,765 calon ditawar mengikuti program pengajian kompetitif iaitu perubatan (699), pergigian (119), farmasi (260), undang-undang (385), kejuruteraan kimia (953), kejuruteraan mekanikal (1,304), kejuruteraan elektrik dan elektronik (1,122) dan perakaunan (923).

Semakan keputusan permohonan ke IPTA boleh dibuat melalui laman web http://upu.mohe.gov.my, http://www.jpt.utm.my, http://jpt.uum.edu.my, https://jpt.unimas.my, http://jpt.ums.edu.my  atau menghubungi talian penting 03-8870 6767, talian bantuan  03-8870 6777, talian am 03-8870 6755/6766 atau menerusi Khidmat Pesanan Ringkas dengan menaip UPU RESULT (no KP) dan SMS ke 15888.

Calon-calon yang berjaya perlu membuat pengesahan setuju terima tawaran oleh IPTA dalam tempoh 10 hari iaitu pada atau sebelum 21 Julai.  Pengesahan setuju terima tawaran dan surat tawaran boleh dicetak melalui laman web IPTA.

Calon  juga boleh datang ke Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi di Presint 5 untuk membuat semakan  sehingga 21 Julai.

Calon yang gagal boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 10 hari melalui  e-Rayuan di laman web http://upu.mohe.gov.my mulai hari ini dan berakhir 21 Julai 12 tengah malam.

Keputusan pemilihan rayuan tertakluk kepada kekosongan tempat dan rayuan dianggap gagal jika tiada sebarang jawapan diterima dari IPTA sehingga 30 Sept depan.


Tarikh pendaftaran pelajar baharu ke IPTA ialah dari 1 sehingga 2 Sept.

No comments: