Jumaat
18 Mei lalu saya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk menziarahi pengarah
filem/drama Arief Karmahani atau nama sebenarnya Mohd Kharib Ahmad setelah
membaca mesej di laman Facebook M. Yusof Mohamad bahawa Arief dirawat kerana
penyakit angin ahmar.
Arief?
Kharib? Siapa tu?...mungkin itulah reaksi pembaca terutama golongan muda apabila
nama itu disebut.
Saya
mula mengenali Arief ketika menjalani latihan
amali di Bahagian Drama TV, Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1985. Umur kami tidak berbeza jauh, hanya tiga
tahun saja. Cuma bezanya, ketika kami
berkenalan, dia telah terkenal sebagai penerbit drama sedangkan saya baru
berada di tahun akhir kursus Sebaran Am di Institut Teknologi MARA atau ITM (sekarang Universiti Teknologi MARA atau
UiTM). Ini kerana saya kembali menjejak
kampus setelah berkeluarga sendiri.
Saya
tidak sempat berada dalam pasukan penerbitan Arief kerana tempoh latihan hanya satu
semester. Namun setelah sama-sama berada
di luar sebagai karyawan bebas, saya sempat membantu beliau menyelenggarakan
pra-penerbitan filem Pesona Cinta
terbitan Anita Rafar dari Medanmas Sdn Bhd.
Kenapa
hanya pra-penerbitan? Kerana selepas itu
saya perlu memulakan projek terbaharu saya bersama syarikat sendiri yang saya
asaskan bersama adik saya Roslan Ahmad dan (Dato’) Eddy Aziz, anak sulung Dato’
Abdul Aziz Shamsuddin, Setiausaha Politik Perdana Menteri ketika itu, Datuk
Seri (kini Tun) Dr Mahathir Mohamad.
Arief
tidak begitu dikenali sebagai pengarah filem kerana beliau hanya sempat
mengarah tiga filem sahaja. Selain Pesona Cinta (1995), Arief terlebih
dahulu telah mengarah dua filem terbitan Nik Fadzil Hassan dari Fuego Film
Production iaitu Riang Tirana (1990) dan Azizah
The Legend (1993), kedua-duanya tulisan sasterawan Osman Abadi.
Walaupun
kami tidak begitu rapat kerana tidak berpeluang bekerja bersama-sama dalam satu
penerbitan, namun pada waktu senggang
kami kerap berkongsi cerita dan pengalaman.
Kami berdua mempunyai latarbelakang yang hampir sama.
Seperti
saya, Arief memulakan kerjayanya sebagai guru, antaranya di Maktab Adabi, Kolej
Bakti dan Akademi Utama di Alor Setar. Ini ketika beliau sedang menunggu keputusan
peperiksaan akhir di Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, Universiti
Kebangsaan Malaysia pada 1976.
Pada
tahun 1977 Arief bertugas sebagai guru
sepenuh masa di Sekolah Menengah Keat Hwa, Alor Setar sebelum menyertai RTM sebagai Penolong Penerbit pada bulan September
1979 iaitu lima bulan setelah saya menyertai RTM Pulau Pinang sebagai Pembantu
Siaran Radio.
Bakat
Arief sebagai penerbit/pengarah drama mula menyerlah ketika bertugas di
Bahagian Drama TV (RTM) pada tahun 1981.
Beliau telah menerbitkan tidak kurang 50 buah drama sebelum melepaskan
jawatannya untuk bersama-sama Allahyarham Zain Mahmood mengendalikan syarikat
penerbitan, Teletrade Sdn Bhd.
Antara
drama terbitannya yang paling diingati ialah Guru Yahya yang mengisahkan sekumpulan pengikut ajaran sesat
pimpinan Guru Yahya. Drama tulisan M.
Yusof Mohamad itu menerima sambutan hebat ketika disiarkan sehingga diulang-siar
beberapa kali.
Di
bawah syarikat Teletrade, Arief telah mengarahkan drama Telefon yang memperkenalkan Aida Rahim ke dunia drama serta Corak Dunia yang membawa kembali
primadona Saadiah ke dunia lakonan setelah berhijrah ke ibu negara akibat
penutupan Studio Jalan Ampas di Singapura.
Arief
memang dikenali sebagai pengarah yang prolifik dengan sejumlah 200 tajuk drama
diarahkannya bersama-sama penerbit terkemuka tanah air.
Khabar
terbaharu yang saya dengan, Arief kembali dilamar oleh RTM untuk menjadi
pengarah undangan untuk drama bersiri Mahligai
Gading dan sebuah cereka TV terbitan RTM/DBP Mufarakah tulisan Dr A. Rahman Shaari.
Seperkara
lagi yang ingin saya kongsi…tidak ramai yang mengetahui bahawa Arief adalah
antara tenaga penting kepada penubuhan Persatuan Pengarah Filem Malaysia
(FDAM). Beliau adalah pemegang nombor
keahlian 002 selepas pengasas dan Presiden pertama FDAM iaitu Dr Mahadi J.
Murat (001) manakala pemegang nombor 003 ialah M. Yusof Mohamad.
Timbalan Presiden FDAM, Abdul Rahim Awang
menyampaikan sumbangan kepada Arief Karmahani