AKHIRNYA apa yang dibimbangkan oleh ramai penulis
terutama ahli Persatuan Penulis Skrin Malaysia (dahulu dikenali sebagai
Persatuan Penulis Skrip Malaysia) atau SWAM
menjadi kenyataan.
Menurut sumber dalaman pertubuhan itu, pendaftaran SWAM
telah dibatalkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) berkuat kuasa 19 April lalu.
Sebagai salah seorang
anggota pengasas yang pernah memegang
jawatan Timbalan Presiden dan kemudiannya Setiausaha Agung, sudah pasti berita itu,
jika benar, merupakan tamparan hebat kepada penulis yang turut bersama rakan-rakan lain ketika ingin mendaftarkan pertubuhan itu
dulu.
Penulis terlibat dalam
usaha awal oleh beberapa penulis
dan penyunting skrip di Bahagian Drama, Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta
penulis skrip bebas bagi menubuhkan
sebuah persatuan khusus untuk penulis skrip media elektronik pada 1986.
Antara mereka yang
mempelopori usaha tersebut adalah Dato’ Dr Nordin Abdul Rahman (Atondra), Dato’
Dr Nordin Hassan (Sasterawan Negara), Aziz Jahpin, Bidin Subari, Ramlah Jalee
dan Nurhalim ismail dari Bahagian Drama RTM serta beberapa orang penulis bebas
termasuk pengasas siri ‘Opah’, A. Wahid Nasir (yang akhirnya menjadi presiden
pertama SWAM sepuluh tahun kemudian).
Namun usaha awal itu
gagal membuahkan hasil. Punca kegagalan itu tidak jelas walaupun ada
yang mendakwa penulis-penulis yang hadir itu gagal mencapai kata sepakat
mengenai beberapa hal termasuk keahlian dan siapa yang patut menjadi pemimpin.
Pada tahun 1990, sekumpulan
pengarah dan penulis bebas diketuai Dr Mahadi J. Murat bertemu bagi
mengusahakan penubuhan sebuah persatuan untuk penulis skrip bebas.
Sekali lagi pertemuan
tersebut tidak menghasilkan apa-apa keputusan.
Sebaliknya Dr Mahadi dan beberapa
pengarah lain seperti Datin Paduka Shuhaimi Baba, Anwardi Jamil, Nurhalim
Ismail, Kamal Ishak, Othman Haji Zainduddin dan M. Yusof Mohamad (sekadar
menyebut beberapa nama) bersepakat mendaftarkan Persatuan Pengarah Filem
Malaysia atau FDAM. Dr Mahadi J.
Murat dipilih sebagai presidennya yang
pertama.
Setelah dua kali gagal
ditubuhkan, beberapa orang penulis skrip pelbagai genre diketuai oleh A. Wahid
Nasir bertemu pada tahun 1995 bagi merealisasikan penubuhan sebuah persatuan
untuk penulis skrip tanpa mengira genre yang mereka wakili.
Antara yang hadir pada
pertemuan itu ialah (Allahyarham) Radzi Sayed, Ismail Ahmad,
Jamil Mutalib dan Sujiah Salleh (sekadar menyebut beberapa nama). Penulis hadir mewakili genre dokumentari dan
majalah TV.
Akhirnya dengan usaha gigih
Allahyarham Radzi Sayed yang bertindak sebagai Setiausaha Penaja, Persatuan
Penulis Skrip Malaysia (SWAM) didaftar pada 1996 dengan nombor pendaftaran
2401/96 (Wilayah Persekutuan).
Selepas diterajui oleh A. Wahid Nasir pada 1996-2002, SWAM seterusnya menerima sentuhan
kepimpinan nama-nama besar dalam industri penyiaran dan perfileman iaitu Dato’
Rosnani Jamil (2002-2005), Allahyarham Dato’ Salleh Pateh Akhir, bekas Timbalan
Ketua Pengarah Penyiaran (2005-2006), Dato’ Yusof Haslam (2007-2009) dan Ismail
Ahmad (2009-2010).
Apabila kemelut SWAM mula
tercetus pada tahun 2011, penulis tidak
lagi bersama SWAM sebagai ahli tetapi masih lagi mengikuti perkembangannya melalui media cetak dan
elektronik serta media sosial. A. Wahid Nasir juga telah lama tidak
menyertai sebarang kegiatan anjuran SWAM walapun merupakan ahli seumur
hidupnya.
Kerana hubungan rapat
penulis dengan beberapa ahli SWAM, berita mengenai pertelagahan antara sesama
ahli jawatankuasa SWAM dan beberapa ahli
yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan pertubuhan itu sampai juga ke telinga
penulis.
Lebih-lebih lagi penulis
kini mengetuai operasi berita di sebuah stesen radio, maka e-mel penulis sering
dihujani berita yang dihantar oleh sumber dalaman SWAM.
Namun demikian, penulis
tidak mempercayai semuanya, malah tidak
satupun berita itu tersiar dalam ruangan berita yang dikendalikan oleh
penulis. Penulis mengambil sikap
berhati-hati dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.
Sama ada kumpulan yang diketuai oleh pemimpin sedia ada atau
kumpulan yang mengambil alih tampuk kepimpinan melalui Mesyuarat Agung Luar
Biasa, tindakan kedua-dua pihak itu masih dipertikaikan sehingga menyebabkan
ROS membuat keputusan membatalkan pendaftaran SWAM pada 19 April lalu.
Kini para penulis skrip di
Malaysia kehilangan tempat untuk bernaung.
Walaupun ketika wujudnya dahulu SWAM sering menerima kritikan kerana
gagal menyelesaikan isu penting seperti
kadar bayaran, isu hak cipta dan royalti, namun kehadirannya tetap relevan.
Ahli-ahli SWAM tidak harus
berdiam diri. Satu usaha bersepadu dan tindakan pro-aktif perlu dilakukan bagi menghidupkan kembali SWAM demi memartabatkan kembali kerjaya penulis
skrip tanah air.