Powered By Blogger

Tuesday, August 27, 2013

SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN KE-56 LIBATKAN PENYERTAAN TERBESAR

     
     
    KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 di
Dataran Merdeka, Kuala Lumpur Sabtu ini akan melibatkan penyertaan terbesar
sebanyak 16,375 orang.
    Mereka terdiri daripada 15 kontinjen dan 5 buah kereta berhias di
samping 56 orang peserta belia dan remaja dalam pembacaan ikrar, kata
    Setiausaha Bahagian Acara, Jabatan Perdana Menteri, Rosita Rahim.
    Dalam temubual pada program 'Ala Carte Pagi' terbitan Bernama Radio24 hari
ini, beliau berkata, segmen pertama iaitu Rukunegara melibatkan para pelajar
dari Jabatan Pendidikan dalam acara bacaan ikrar dan persembahan kreatif di
padang.
    Segmen kedua adalah Kesatuan Rakyat dan Perpaduan Sejagat melibatkan
persembahan 'Flash Mob' terbesar iaitu 500 orang dari pelbagai kaum.
    Segmen ketiga persembahan 'drumline' yang melibatkan beberapa babak
penceritaan. 
    Segmen akhir adalah persembahan pasukan keselamatan iaitu Angkatan Tentera
Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. 
    -- LAGI
   
    MERDEKA-SAMBUTAN 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
   
    Sehubungan itu Rosita berkata sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 dan Hari
Malaysia ke-50 tahun ini masih terus mengekalkan aspirasi kerajaan yang
bertunjangkan gagasan 1Malaysia.
    Selain itu, ia juga akan menerapkan elemen-elemen perpaduan, semangat
patriotik dan mempertahankan kedaulatan negara daripada pencerobohan
anasir-anasir luar.
    Beliau berkata konsep itu juga memberi peringatan kepada rakyat mengenai
kepentingan bersatu mempertahankan negara di samping mewujudkan rasa sayang dan
cintakan negara.
    "Insiden pencerobohan Lahad Datu dan Semporna, misalnya, telah menjadi
iktibar terbaik untuk kerajaan melihat akan kepentingan memperkukuh dan
memperbaiki sistem keselamatan negara," katanya.
    -- BERNAMA
    MLA KHY RS

Monday, August 12, 2013

Guruku Atondra


Pada zaman kegemilangan ‘Drama Minggu Ini’ (DMI) terbitan Radio Televisyen Malaysia dahulu, nama Atondra atau  Dato’ Dr. Nordin Abdul Rahman memang tidak boleh dipisahkan daripada siri berkenaan. 

Disiarkan pada setiap malam Ahad, siri 45 minit karya  penulis tempatan itu  disunting oleh Atondra yang merupakan satu-satunya penyunting skrip pada masa itu. 

Daripada  drama hitam-putih hinggalah drama berwarna, Atondralah tokoh yang mewarnai bidang penerbitan drama TV pada masa itu.

Hanya pada 1984 apabila Drama Swasta diperkenalkan, barulah Atondra ditemani oleh nama-nama lain seperti Aziz Jahpin, Ramlah Jalee, Datuk Dr. Nordin Hassan, Nurhalim Ismail dan Bidin Subari, sekadar menyebut beberapa nama.

Saya sendiri turut menerima bimbingan beliau semasa  menjalani latihan amali selama enam  bulan ketika berada pada tahun akhir kursus Sebaran Am Institut Teknologi MARA (kini Universiti Teknologi MARA) pada awal 1980-an.

Walau bagaimanapun, skrip pertama saya ‘Keranamu Ana’ yang disiarkan dalam slot DMI disunting oleh Ramlah Jalee.

Atondra bukan sahaja terkenal dalam bidang penulisan dan penyuntingan skrip drama TV.  Beliau banyak juga menulis skrip drama radio, cerpen dan puisi.  Namun namanya lebih menonjol dalam bidang penulisan drama TV.

Karya-karya beliau juga diterbitkan dalam bentuk antologi, antaranya ‘Arafah’ terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1985.

Kerana minatnya yang begitu mendalam terhadap bidang penulisan, Atondra bersama-sama beberapa penulis seperti Dato’ Abdul Samad Maharudin, Ismas Saring dan Dr. Rhmad Razali Yusof telah menubuhkan Persatuan Kebajikan Penulis Muda Selangor atau KEMUDI yanag didaftar secara rasmi pada 6 Julai 1972. 

Selain penulisan kreatif, Atondra turut terlibat dalam bidang kewartawanan dan seni foto.  Ramai yang tidak tahu bahawa Angkatan Seni Foto atau Asfon ditubuhkan di rumah Atondra di Kampung Baru pada 1969.  Malah Atondra turut menyumbang idea bagi merangka perlembagaan Asfon sehingga pertubuhan itu didaftarkan secara rasmi pada 18 Ogos 1970.

Selain penglibatan Atondra dalam bidang penulisan, beliau juga aktif sebagai pengamal perubatan homeopati sdehingga dipilih sebagai Timbalan Presiden Persatuan Perubatan Homeopati Malaysia pada sesi 1996 hingga 2008.

Pertemuan semula dengan Atondra pada minggu terakhir Ramadan baru-baru ini mengembalikan nostalgia ketika bersama-sama beliau hampir 30 tahun yang lalu.

Pertemuan yang diatur oleh beberapa rakan penulis iaitu Zakaria Ariffin (tokoh teater dan pensyarah di ASWARA), A. Wahab Hamzah (pengkritik filem dan teater), Suraya Ariffin (penulis dan bekas Editor majalah Homeopathy) akan saya jadikan kenangan sepanjang hayat. 


                           Dari kiri: Letfee Ahmad, Zakaria Ariffin, Atondra dan A.Wahab Hamzah
                                                           Gambar ehsan Suraya Ariffin.