Saya ingin berkongsi
maklumat mengenai Anugerah Kate Webb yang diperkenalkan oleh Agence
France-Presse (AFP) pada 2008 serta penerima terbaharunya, seorang wartawan
berusia 32 tahun dari Indonesia, Stefanus Teguh Edi Pramono.
Stefanus menerima anugerah itu pada satu
majlis di Jakarta hujung bulan lalu.
Anugerah Kate Webb dinamakan sempena seorang wartawan kelahiran
New Zealand, Kate Webb yang meninggal dunia pada 2007 ketika berusia 64 tahun.
Webb, yang menjadi mentor kepada banyak wartawan Asia,
menikmati kerjaya cemerlang selama empat dekad.
Selama tempoh itu, beliau telah membuat beberapa liputan peperangan dan
peristiwa bersejarah di Asia. Beliau
mencipta nama di Vietnam di samping pernah bekerja di Kemboja, Indonesia,
Thailand, Filipina, India, Korea Selatan dan Timur Tengah.
Anugerah Kate Webb ditadbir oleh AFP Foundation dan keluarga
Webb. AFP Foundation ditubuhkan untuk memperjuangkan kebebasan
akhbar menrusi latihan kewartawanan di negara-negara membangun.
Penerima pertama anugerah itu adalah Mushtaq Yusufzai, seorang wartawan
Pakistan yang banyak melapor kejadian keganasan di sempadan
Pakistan-Afghanistan.
Penerima kedua pada 2009 adalah Philippine Centre for
Investigative Journalism yang dipilih kerana keberanian wartawan mereka membuat liputan di negara yang
dikatakan salah sebuah negara paling
bahaya kepada wartawan.
Penerima ketiga pula seorang wartawan foto dari India, Dilnaz Boga
yang banyak menulis untuk portal berita Kashmir Dispatch serta beberapa portal
berita antarabangsa.
Stefanus Teguh Edi Pramono yang memenangi hadiah wang tunai
3,000 euro (RM11,864) menulis untuk TEMPO iaitu sebuah penerbitan yang terkenal
dengan laporan eksklusif sejak era
Suharto.
Tanpa pengalaman sebagai wartawan perang, beliau pergi ke
Syria pada Oktober 2012 untuk membuat liputan krisis di negara itu.
Beliau yang merupakan antara sebilangan kecil wartawan
Indonesia yang dihantar ke Syria, menulis beberapa siri artikel mengenai krisis
Syria untuk TEMPO.
Satu lagi hasil kerja Stefanus yang dinilai untuk anugerah
berkenaan adalah laporan mengenai perniagaan dadah di Jakarta pada 2012.
Bersama-sama seorang rakan sekerjanya, beliau
berjaya menyingkap kisah di sebalik dunia narkotik di daerah Kampung Ambon yang
terkenal sebagai sarang dadah terbesar di Jakarta.
“Tugas media bukan hanya melaporkan peperangan tetapi juga kesan peperangan itu kepada kehidupan rakyat
biasa,” tambahnya.
Pengarah Asia-Pasifik AFP, Gilles Campion berkata
kesungguhan Stefanus melaksanakan tugasnya tanpa menghirau bahaya yang
dihadapinya adalah resepi yang membawa kejayaannya.
Katanya, keberanian Stefanus menyamai Kate Webb yang
kebetulan pernah berkhidmat di biro AFP di Jakarta.
No comments:
Post a Comment