Powered By Blogger

Friday, October 18, 2013

PEMILIHAN UMNO 2013

Pada 12  Oktober lalu, kira-kira 220,000  anggota ketiga-tiga sayap Umno, iaitu Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri telahpun  menentukan barisan pemimpin bagi  menerajui pergerakan masing-masing untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Esok lebih 144,000 perwakilan Umno dari 191 bahagian  akan bersidang  serta mengadakan pemilihan bagi memilih pucuk pimpinan parti itu di peringkat bahagian dan pusat.

Nasib 71 calon yang bertanding  jawatan Timbalan Pengerusi Tetap, Naib Presiden dan anggota Majlis Tertinggi Umno akan  ditentukan dalam pemilihan format baharu yang diperkenalkan tahun ini berikutan pindaan perlembagaan parti tersebut pada 2009.

Jawatan Pengerusi Tetap, Presiden dan Timbalan Presiden  tidak akan ditandingi kerana ketiga-tiga penyandangnya iaitu Tan Sri Badruddin Amiruldin,  Datuk Seri Najib Tun Razak  dan  Tan Sri Muhyiddin Yassin diumumkan menang tanpa bertanding.

Perhatian sudah pasti tertumpu kepada  enam calon  yang bakal berentap merebut jawatan naib presiden Umno.

Mereka adalah tiga penyandang,  Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Mesyuarat peringkat bahagian dan pemilihan anggota Majlis Tertinggi Umno  menjadi titik penentu bagi melengkapkan barisan kepimpinan parti di belakang Presiden dan Timbalan Presiden  selain ketua-ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang telah memperoleh mandat masing-masing, minggu  lepas.

Umno boleh menjadi pengasas arah aliran atau  'trend-setter' kepada parti lain dalam menjalankan pemilihan masing-masing.

Perubahan yang dibawa Umno dalam pemilihan pemimpin di peringkat pusat  kali ini dilihat lebih ke hadapan kerana proses pemilihan pemimpin  melibatkan ahli akar umbi dan bukan hanya  2,500 perwakilan dalam  perhimpunan agung.

Penglibatan lebih ramai perwakilan dapat menghalang proses pemilihan dicemari oleh rasuah politik.

Melalui sistem badan perwakilan pemilih atau ‘electoral college’,  iaitu  keputusan dibuat berdasarkan satu bahagian satu undi  akan meningkatkan  nilai undi di peringkat bahagian.

Format baharu itu juga memberi lebih ruang kepada ahli untuk meluaskan lagi konsep pendemokrasian Umno  berikutan terhapusnya  sistem kuota yang sekali gus membuka ruang seluas-luasnya kepada anggota untuk bertanding asalkan memenuhi syarat.

Bagi pertandingan mana-mana jawatan Majlis Tertinggi, syarat minimumnya  ialah pernah memegang jawatan Anggota Majlis Tertinggi atau Ahli  Jawatankuasa  bahagian selama satu penggal.

Syarat untuk bertanding sebagai Ahli Jawatankuasa  bahagian pula  ialah telah menjadi anggota parti selama tiga tahun.

Format pemilihan baharu itu  telahpun diuji keberkesanannya minggu lalu apabila ketiga-tiga sayap Umno iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri mempamerkan kematangan dengan memilih pemimpin yang mereka rasa berkemampuan membawa anggota masing-masing ke fasa seterusnya.

Dalam tempoh 24 jam ini, bukan sahaja 71 calon yang bertanding esok akan merasakan debaran menunggu keputusan, malah seluruh para perwakilan Umno  yang akan mengundi juga tidak sabar-sabar menggunakan kuasa masing-masing untuk memilih  pemimpin yang bakal menerajui parti mereka untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Selain itu, pemilihan esok juga sudah pasti dinanti-nantikan  oleh seluruh rakyat kerana apa yang berlaku dalam parti tunjang  Barisan Nasional (BN) itu akan juga menentukan arah tuju pentadbiran negara.

Wajah-wajah yang bakal diisytiharkan sebagai pemenang dalam pemilihan esok bakal menentukan nasib BN dalam pilihan raya umum ke-14 nanti.

Dan Jika BN diberi mandat sekali untuk menerajui kepimpinan negara, wajah-wajah yang akan menang  itu sudah pasti antara mereka yang bakal dilantik  mengisi jawatan penting dalam kabinet dan pentadbiran kerajaan.

Ini bukan satu kenyataan kosong kerana 11 daripada 32 anggota kabinet sekarang adalah dari  Umno.

Begitulah pentingnya Pemilihan Umno 2013 jika dilihat dalam konteks di luar kepartian.

Kepada semua perwakilan dan calon-calon yang bertanding esok, selamat bersidang dan selamat menjalankan tanggungjawab memilih pemimpin.

No comments: