Pada 12 Oktober lalu, kira-kira 220,000 anggota ketiga-tiga sayap Umno, iaitu Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri telahpun menentukan barisan pemimpin bagi menerajui pergerakan masing-masing untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Esok lebih 144,000 perwakilan Umno dari 191 bahagian akan bersidang serta mengadakan pemilihan bagi memilih pucuk pimpinan parti itu di peringkat bahagian dan pusat.
Nasib 71 calon yang bertanding jawatan Timbalan Pengerusi Tetap, Naib Presiden dan anggota Majlis Tertinggi Umno akan ditentukan dalam pemilihan format baharu yang diperkenalkan tahun ini berikutan pindaan perlembagaan parti tersebut pada 2009.
Jawatan Pengerusi Tetap, Presiden dan Timbalan Presiden tidak akan ditandingi kerana ketiga-tiga penyandangnya iaitu Tan Sri Badruddin Amiruldin, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin diumumkan menang tanpa bertanding.
Perhatian sudah pasti tertumpu kepada enam calon yang bakal berentap merebut jawatan naib presiden Umno.
Mereka adalah tiga penyandang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Mesyuarat peringkat bahagian dan pemilihan anggota Majlis Tertinggi Umno menjadi titik penentu bagi melengkapkan barisan kepimpinan parti di belakang Presiden dan Timbalan Presiden selain ketua-ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang telah memperoleh mandat masing-masing, minggu lepas.
Umno boleh menjadi pengasas arah aliran atau 'trend-setter' kepada parti lain dalam menjalankan pemilihan masing-masing.
Perubahan yang dibawa Umno dalam pemilihan pemimpin di peringkat pusat kali ini dilihat lebih ke hadapan kerana proses pemilihan pemimpin melibatkan ahli akar umbi dan bukan hanya 2,500 perwakilan dalam perhimpunan agung.
Penglibatan lebih ramai perwakilan dapat menghalang proses pemilihan dicemari oleh rasuah politik.
Melalui sistem badan perwakilan pemilih atau ‘electoral college’, iaitu keputusan dibuat berdasarkan satu bahagian satu undi akan meningkatkan nilai undi di peringkat bahagian.
Format baharu itu juga memberi lebih ruang kepada ahli untuk meluaskan lagi konsep pendemokrasian Umno berikutan terhapusnya sistem kuota yang sekali gus membuka ruang seluas-luasnya kepada anggota untuk bertanding asalkan memenuhi syarat.
Bagi pertandingan mana-mana jawatan Majlis Tertinggi, syarat minimumnya ialah pernah memegang jawatan Anggota Majlis Tertinggi atau Ahli Jawatankuasa bahagian selama satu penggal.
Syarat untuk bertanding sebagai Ahli Jawatankuasa bahagian pula ialah telah menjadi anggota parti selama tiga tahun.
Format pemilihan baharu itu telahpun diuji keberkesanannya minggu lalu apabila ketiga-tiga sayap Umno iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri mempamerkan kematangan dengan memilih pemimpin yang mereka rasa berkemampuan membawa anggota masing-masing ke fasa seterusnya.
Dalam tempoh 24 jam ini, bukan sahaja 71 calon yang bertanding esok akan merasakan debaran menunggu keputusan, malah seluruh para perwakilan Umno yang akan mengundi juga tidak sabar-sabar menggunakan kuasa masing-masing untuk memilih pemimpin yang bakal menerajui parti mereka untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Selain itu, pemilihan esok juga sudah pasti dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat kerana apa yang berlaku dalam parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu akan juga menentukan arah tuju pentadbiran negara.
Wajah-wajah yang bakal diisytiharkan sebagai pemenang dalam pemilihan esok bakal menentukan nasib BN dalam pilihan raya umum ke-14 nanti.
Dan Jika BN diberi mandat sekali untuk menerajui kepimpinan negara, wajah-wajah yang akan menang itu sudah pasti antara mereka yang bakal dilantik mengisi jawatan penting dalam kabinet dan pentadbiran kerajaan.
Ini bukan satu kenyataan kosong kerana 11 daripada 32 anggota kabinet sekarang adalah dari Umno.
Begitulah pentingnya Pemilihan Umno 2013 jika dilihat dalam konteks di luar kepartian.
Kepada semua perwakilan dan calon-calon yang bertanding esok, selamat bersidang dan selamat menjalankan tanggungjawab memilih pemimpin.
Friday, October 18, 2013
Friday, October 11, 2013
PENENTUAN PEMIMPIN SAYAP UMNO ESOK
Esok kira-kira 220,000 anggota ketiga-tiga sayap Umno, iaitu
Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri akan menentukan barisan pemimpin untuk
menerajui pergerakan masing-masing untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Selain perebutan jawatan Naib Presiden dan Majlis Tertinggi minggu hadapan, pemilihan Exco Pemuda, Wanita
dan Pputeri Umno esok akan menjadi perhatian setelah jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dimenangi oleh
penyandangnya tanpa bertanding.
Pemilihan Exco Pemuda, Wanita dan Puteri Umno esok akan
menggunakan peraturan baharu hasil pindaan perlembagaan Umno pada 2009.
Pemilihan kali ini dianggap penting kerana ia bakal
menentukan hala tuju ketiga-tiga sayap itu untuk tiga tahun akan datang.
Setelah selesai Pilihan Raya Umum ke-13 pada Mei lalu, hasil
pemilihan esok akan menjadi petunjuk
kepada kekuatan pemuda, wanita dan
puteri Umno bagi menghadapi pilihan raya umum lima tahun lagi.
Sudah pasti perhatian akan tertumpu kepada dua jawatan
tertinggi pergerakan pemuda, wanita dan
puteri kerana hala tuju ketiga-tiga sayap parti itu akan bergantung kepada
gandingan ketua dan naib ketua masing-masing.
Untuk jawatan Ketua Pemuda Umno, penyandangnya Khairy
Jamaludin Abu Bakar dicabar empat calon.
Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan dilihat tidak
mempunyai masalah besar mempertahankan jawatan itu.
Namun penganalisis berpendapat jumlah pencabar yang lebih
banyak kali ini berbanding pemilihan 2009 menunjukkan bahawa terdapat satu gerakan protes yang kuat di peringkat
akar umbi untuk melihat perubahan pada pucuk pimpinan sayap Umno itu. Pada
pemilihan 2009, Khairy ditentang oleh dua calon iaitu Datuk Mukhriz Mahathir dan Dr Mohamad Khir
Toyo.
Sebaliknya bagi Khairy, ia bukanlah sesuatu di luar
dugaan. Sejak pertama kali menyatakan
hasrat mempertahankan jawatan dalam satu mesej twitter pada Mei tahun lalu, telah
kedengaran banyak suara yang mahu melihat Khairy dicabar.
Dalam reaksinya kepada
soalan pengikut twitternyapada 10 Mei 2012, Khairy meminta anggota
pemuda memberinya mandat untuk memimpin pemuda untuk penggal terakhir
memandangkan beliau akan berusia 40 tahun pada 2016.
Melihat kepada senarai pencabar, ada yang mengandaikan bahawa
Khairy akan berhadapan tugas berat menyatukan kembali anggota sayap yang
dilihat seakan-akan berpecah ekoran
pertandingan esok.
Bagi saya, andaian itu tidak begitu tepat kerana
jumlah besar calon yang bertandingbukan kerana perpecahan.
Ia adalah kerana peraturan baharu pemilihan yang membolehkan
sesiapa sahaja menawarkan diri bertanding asalkan mereka layak.
Untuk jawatan Naib Ketua Pemuda pula, empat calon akan
mencuba nasib merebut jawatan yang dikosongkan oleh Datuk Razali Ibrahim.
Penganalisis berpendapat, untuk jawatan ini, semua calon
mempunyai peluang sama.
Tidak kurang sengit adalah pertandingan merebut jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno yang kini
disandang Datuk Seri Shahrizat Jalil.
Beliau dicabar Datuk Maznah Mazlan dan Raihan Suleiman.
Walaupun tidak menyangka akan dicabar, Datuk Seri Shahrizat yang sudah 32 tahun
menganggotai pergerakan wanita masih mempunyai semnagat kuat untuk terus
memimpin wanita bagi melaksanakan agenda
wanita dan menjadikan pergerakan itu sebagai tunjang Umno.
Datuk Maznah Mazlan yang muncul di meja pendaftaran calon
pada saat akhir berkata beliau menawarkan diri bertanding kerana rasa sayang yang sangat menebal terhadap pergerakan itu.
Katanya, walaupun beliau tidak mempunyai profil sehebat
Datuk Seri Sharizat, beliau mempunyai banyak pengalaman memimpin wanita pada
peringkat cawangan, bahagian, negeri dan pusat sejak menganggotainya pada 1974.
Suleiman Palestin pernah mengejutkan parti itu apabila menentang
Tun Hussein Onn untuk jawatan presiden pada
1978.
Ketika itu Suleiman adalah Ketua Penerangan Umno manakala
Tun Hussein memangku jawatan Presiden.
Pertandingan merebut jawatan Naib Ketua Wanita dilihat
sebagai pertemuan adik-beradik apabila dua tokoh yang sama handal bertemu satu
lawan satu setelah seorang calon menarik diri.
Untuk jawatan itu, anggota exco wanita , Datuk Suraya Yaakob akan berentap dengan Datuk Azizah Mohd Dun yang merupakan salah
seorang pemimpin wanita Sabah yang berpengalaman luas dalam pentadbiran negeri
itu.
Pertandingan satu lawatan satu untuk Ketua Puteri Umno
serta tiga penjuru untuk naib ketuanya
tidak kurang menarik.
Perebutan untuk kedua-dua jawatan itu diyakini tidak akan menjejaskan perpaduan
ahli kerana ia bukan mencabar kepimpinan sedia ada sebaliknya mengisi
kekosongan yang ditinggalkan pemimpin terdahulu.
Apapun, esok seluruh perwakilan pemuda, wanita dan puteri
Umno serta para petugas parti mempunyai tugas besar memastikan pemilihan format
baharu berjalkan dengan lancar.
Ia juga sebagai persiapan kepada petugas parti untuk
melaksanakan pemilihan yang lebih besar
iaitu pemilihan Majlis Tertinggi Umno
minggu hadapan.
Kepada semua perwakilan pemuda, wanita dan puteri Umno
yang akan bertanding dan mengundi esok, saya ucapkan selamat maju jaya.
Monday, October 7, 2013
STEFANUS DAN KATE WEBB
Saya ingin berkongsi
maklumat mengenai Anugerah Kate Webb yang diperkenalkan oleh Agence
France-Presse (AFP) pada 2008 serta penerima terbaharunya, seorang wartawan
berusia 32 tahun dari Indonesia, Stefanus Teguh Edi Pramono.
Stefanus menerima anugerah itu pada satu
majlis di Jakarta hujung bulan lalu.
Anugerah Kate Webb dinamakan sempena seorang wartawan kelahiran
New Zealand, Kate Webb yang meninggal dunia pada 2007 ketika berusia 64 tahun.
Webb, yang menjadi mentor kepada banyak wartawan Asia,
menikmati kerjaya cemerlang selama empat dekad.
Selama tempoh itu, beliau telah membuat beberapa liputan peperangan dan
peristiwa bersejarah di Asia. Beliau
mencipta nama di Vietnam di samping pernah bekerja di Kemboja, Indonesia,
Thailand, Filipina, India, Korea Selatan dan Timur Tengah.
Anugerah Kate Webb ditadbir oleh AFP Foundation dan keluarga
Webb. AFP Foundation ditubuhkan untuk memperjuangkan kebebasan
akhbar menrusi latihan kewartawanan di negara-negara membangun.
Penerima pertama anugerah itu adalah Mushtaq Yusufzai, seorang wartawan
Pakistan yang banyak melapor kejadian keganasan di sempadan
Pakistan-Afghanistan.
Penerima kedua pada 2009 adalah Philippine Centre for
Investigative Journalism yang dipilih kerana keberanian wartawan mereka membuat liputan di negara yang
dikatakan salah sebuah negara paling
bahaya kepada wartawan.
Penerima ketiga pula seorang wartawan foto dari India, Dilnaz Boga
yang banyak menulis untuk portal berita Kashmir Dispatch serta beberapa portal
berita antarabangsa.
Stefanus Teguh Edi Pramono yang memenangi hadiah wang tunai
3,000 euro (RM11,864) menulis untuk TEMPO iaitu sebuah penerbitan yang terkenal
dengan laporan eksklusif sejak era
Suharto.
Tanpa pengalaman sebagai wartawan perang, beliau pergi ke
Syria pada Oktober 2012 untuk membuat liputan krisis di negara itu.
Beliau yang merupakan antara sebilangan kecil wartawan
Indonesia yang dihantar ke Syria, menulis beberapa siri artikel mengenai krisis
Syria untuk TEMPO.
Satu lagi hasil kerja Stefanus yang dinilai untuk anugerah
berkenaan adalah laporan mengenai perniagaan dadah di Jakarta pada 2012.
Bersama-sama seorang rakan sekerjanya, beliau
berjaya menyingkap kisah di sebalik dunia narkotik di daerah Kampung Ambon yang
terkenal sebagai sarang dadah terbesar di Jakarta.
“Tugas media bukan hanya melaporkan peperangan tetapi juga kesan peperangan itu kepada kehidupan rakyat
biasa,” tambahnya.
Pengarah Asia-Pasifik AFP, Gilles Campion berkata
kesungguhan Stefanus melaksanakan tugasnya tanpa menghirau bahaya yang
dihadapinya adalah resepi yang membawa kejayaannya.
Katanya, keberanian Stefanus menyamai Kate Webb yang
kebetulan pernah berkhidmat di biro AFP di Jakarta.
Subscribe to:
Posts (Atom)