Pada zaman kegemilangan ‘Drama Minggu Ini’ (DMI) terbitan
Radio Televisyen Malaysia dahulu, nama Atondra atau Dato’ Dr. Nordin Abdul Rahman memang tidak
boleh dipisahkan daripada siri berkenaan.
Disiarkan pada setiap malam Ahad, siri 45 minit karya penulis tempatan itu disunting oleh Atondra yang merupakan
satu-satunya penyunting skrip pada masa itu.
Daripada drama hitam-putih
hinggalah drama berwarna, Atondralah tokoh yang mewarnai bidang penerbitan
drama TV pada masa itu.
Hanya pada 1984 apabila Drama Swasta diperkenalkan, barulah
Atondra ditemani oleh nama-nama lain seperti Aziz Jahpin, Ramlah Jalee, Datuk
Dr. Nordin Hassan, Nurhalim Ismail dan Bidin Subari, sekadar menyebut beberapa
nama.
Saya sendiri turut menerima bimbingan beliau semasa menjalani latihan amali selama enam bulan ketika berada pada tahun akhir kursus Sebaran Am
Institut Teknologi MARA (kini Universiti Teknologi MARA) pada awal 1980-an.
Walau bagaimanapun, skrip pertama saya ‘Keranamu Ana’ yang
disiarkan dalam slot DMI disunting oleh Ramlah Jalee.
Atondra bukan sahaja terkenal dalam bidang penulisan dan
penyuntingan skrip drama TV. Beliau
banyak juga menulis skrip drama radio, cerpen dan puisi. Namun namanya lebih menonjol dalam bidang
penulisan drama TV.
Karya-karya beliau juga diterbitkan dalam bentuk antologi,
antaranya ‘Arafah’ terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1985.
Kerana minatnya yang begitu mendalam terhadap bidang
penulisan, Atondra bersama-sama beberapa penulis seperti Dato’ Abdul Samad
Maharudin, Ismas Saring dan Dr. Rhmad Razali Yusof telah menubuhkan Persatuan
Kebajikan Penulis Muda Selangor atau KEMUDI yanag didaftar secara rasmi pada 6
Julai 1972.
Selain penulisan kreatif, Atondra turut terlibat dalam
bidang kewartawanan dan seni foto. Ramai
yang tidak tahu bahawa Angkatan Seni Foto atau Asfon ditubuhkan di rumah
Atondra di Kampung Baru pada 1969. Malah
Atondra turut menyumbang idea bagi merangka perlembagaan Asfon sehingga
pertubuhan itu didaftarkan secara rasmi pada 18 Ogos 1970.
Selain penglibatan Atondra dalam bidang penulisan, beliau
juga aktif sebagai pengamal perubatan homeopati sdehingga dipilih sebagai
Timbalan Presiden Persatuan Perubatan Homeopati Malaysia pada sesi 1996 hingga
2008.
Pertemuan semula dengan Atondra pada minggu terakhir Ramadan
baru-baru ini mengembalikan nostalgia ketika bersama-sama beliau hampir 30
tahun yang lalu.
Pertemuan yang diatur oleh beberapa rakan penulis iaitu Zakaria Ariffin (tokoh teater dan pensyarah di ASWARA), A. Wahab Hamzah (pengkritik filem dan teater), Suraya Ariffin (penulis dan bekas Editor majalah Homeopathy) akan saya jadikan kenangan sepanjang hayat.
Dari kiri: Letfee Ahmad, Zakaria Ariffin, Atondra dan A.Wahab Hamzah
Gambar ehsan Suraya Ariffin.
4 comments:
terima Kasih, Uncle utk coretan ttg Bapak saya.
dan sekali lagi terima kasih kerana sudi datang ke teratak kami di Kelana Jaya.
Sama-sama. Saya baru baca Komen ini,. Enam tahun kemudian
Mohon sedekahkan Al-Fatihah buat arwah Bapak saya yg telah pergi dijemput ilahi, semalam 30 Mar 2021.
Assalam anakanda. Arwah mmg rapT dgn saya. Senasa saya di Sarawak, arwah kirim antologi sajak dan minta saya ulas. Malangnya, hajat arwah dan usaha saya itu tak tertunai oleh sebab kesibukan saya sebagai Cikgu Sains Pertanian yg kena bela ayam di reban dan berkebun jagung dll dengan murid2. Lagipun guru S. Pertanian masa itu saya seorang sbg pengasas di sek tersebut (1984-88) yg muridnya.lebih 200+ org.
Saya dan ajk Kemudi spt arwah Abg Abu Hasan Ashari sempat jumpa arwah dlm majlis Anugerah (namanya tak ingat) kalau tak silap arwah dpt 10k dlm majlis di Shah Alam itu. Pd masa itu ada saya jumpa Sdr A Wahab Hamzah dll.
Moga roh arwah Pak Aton (panggilan saya) dlm kasih syg dan redo Allah dan digolongkan bersama2 para solihin serta dipermudah jlnnya menuju je Syurga Firdaus yg kekal abadi. Aamiin ya Rabb.
Post a Comment