Powered By Blogger

Monday, August 12, 2013

Guruku Atondra


Pada zaman kegemilangan ‘Drama Minggu Ini’ (DMI) terbitan Radio Televisyen Malaysia dahulu, nama Atondra atau  Dato’ Dr. Nordin Abdul Rahman memang tidak boleh dipisahkan daripada siri berkenaan. 

Disiarkan pada setiap malam Ahad, siri 45 minit karya  penulis tempatan itu  disunting oleh Atondra yang merupakan satu-satunya penyunting skrip pada masa itu. 

Daripada  drama hitam-putih hinggalah drama berwarna, Atondralah tokoh yang mewarnai bidang penerbitan drama TV pada masa itu.

Hanya pada 1984 apabila Drama Swasta diperkenalkan, barulah Atondra ditemani oleh nama-nama lain seperti Aziz Jahpin, Ramlah Jalee, Datuk Dr. Nordin Hassan, Nurhalim Ismail dan Bidin Subari, sekadar menyebut beberapa nama.

Saya sendiri turut menerima bimbingan beliau semasa  menjalani latihan amali selama enam  bulan ketika berada pada tahun akhir kursus Sebaran Am Institut Teknologi MARA (kini Universiti Teknologi MARA) pada awal 1980-an.

Walau bagaimanapun, skrip pertama saya ‘Keranamu Ana’ yang disiarkan dalam slot DMI disunting oleh Ramlah Jalee.

Atondra bukan sahaja terkenal dalam bidang penulisan dan penyuntingan skrip drama TV.  Beliau banyak juga menulis skrip drama radio, cerpen dan puisi.  Namun namanya lebih menonjol dalam bidang penulisan drama TV.

Karya-karya beliau juga diterbitkan dalam bentuk antologi, antaranya ‘Arafah’ terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1985.

Kerana minatnya yang begitu mendalam terhadap bidang penulisan, Atondra bersama-sama beberapa penulis seperti Dato’ Abdul Samad Maharudin, Ismas Saring dan Dr. Rhmad Razali Yusof telah menubuhkan Persatuan Kebajikan Penulis Muda Selangor atau KEMUDI yanag didaftar secara rasmi pada 6 Julai 1972. 

Selain penulisan kreatif, Atondra turut terlibat dalam bidang kewartawanan dan seni foto.  Ramai yang tidak tahu bahawa Angkatan Seni Foto atau Asfon ditubuhkan di rumah Atondra di Kampung Baru pada 1969.  Malah Atondra turut menyumbang idea bagi merangka perlembagaan Asfon sehingga pertubuhan itu didaftarkan secara rasmi pada 18 Ogos 1970.

Selain penglibatan Atondra dalam bidang penulisan, beliau juga aktif sebagai pengamal perubatan homeopati sdehingga dipilih sebagai Timbalan Presiden Persatuan Perubatan Homeopati Malaysia pada sesi 1996 hingga 2008.

Pertemuan semula dengan Atondra pada minggu terakhir Ramadan baru-baru ini mengembalikan nostalgia ketika bersama-sama beliau hampir 30 tahun yang lalu.

Pertemuan yang diatur oleh beberapa rakan penulis iaitu Zakaria Ariffin (tokoh teater dan pensyarah di ASWARA), A. Wahab Hamzah (pengkritik filem dan teater), Suraya Ariffin (penulis dan bekas Editor majalah Homeopathy) akan saya jadikan kenangan sepanjang hayat. 


                           Dari kiri: Letfee Ahmad, Zakaria Ariffin, Atondra dan A.Wahab Hamzah
                                                           Gambar ehsan Suraya Ariffin.


4 comments:

Sriwaniey said...

terima Kasih, Uncle utk coretan ttg Bapak saya.
dan sekali lagi terima kasih kerana sudi datang ke teratak kami di Kelana Jaya.

Letfee Ahmad said...

Sama-sama. Saya baru baca Komen ini,. Enam tahun kemudian

Sriwaniey said...

Mohon sedekahkan Al-Fatihah buat arwah Bapak saya yg telah pergi dijemput ilahi, semalam 30 Mar 2021.

Unknown said...

Assalam anakanda. Arwah mmg rapT dgn saya. Senasa saya di Sarawak, arwah kirim antologi sajak dan minta saya ulas. Malangnya, hajat arwah dan usaha saya itu tak tertunai oleh sebab kesibukan saya sebagai Cikgu Sains Pertanian yg kena bela ayam di reban dan berkebun jagung dll dengan murid2. Lagipun guru S. Pertanian masa itu saya seorang sbg pengasas di sek tersebut (1984-88) yg muridnya.lebih 200+ org.
Saya dan ajk Kemudi spt arwah Abg Abu Hasan Ashari sempat jumpa arwah dlm majlis Anugerah (namanya tak ingat) kalau tak silap arwah dpt 10k dlm majlis di Shah Alam itu. Pd masa itu ada saya jumpa Sdr A Wahab Hamzah dll.
Moga roh arwah Pak Aton (panggilan saya) dlm kasih syg dan redo Allah dan digolongkan bersama2 para solihin serta dipermudah jlnnya menuju je Syurga Firdaus yg kekal abadi. Aamiin ya Rabb.