Powered By Blogger

Tuesday, August 27, 2013

SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN KE-56 LIBATKAN PENYERTAAN TERBESAR

     
     
    KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 di
Dataran Merdeka, Kuala Lumpur Sabtu ini akan melibatkan penyertaan terbesar
sebanyak 16,375 orang.
    Mereka terdiri daripada 15 kontinjen dan 5 buah kereta berhias di
samping 56 orang peserta belia dan remaja dalam pembacaan ikrar, kata
    Setiausaha Bahagian Acara, Jabatan Perdana Menteri, Rosita Rahim.
    Dalam temubual pada program 'Ala Carte Pagi' terbitan Bernama Radio24 hari
ini, beliau berkata, segmen pertama iaitu Rukunegara melibatkan para pelajar
dari Jabatan Pendidikan dalam acara bacaan ikrar dan persembahan kreatif di
padang.
    Segmen kedua adalah Kesatuan Rakyat dan Perpaduan Sejagat melibatkan
persembahan 'Flash Mob' terbesar iaitu 500 orang dari pelbagai kaum.
    Segmen ketiga persembahan 'drumline' yang melibatkan beberapa babak
penceritaan. 
    Segmen akhir adalah persembahan pasukan keselamatan iaitu Angkatan Tentera
Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. 
    -- LAGI
   
    MERDEKA-SAMBUTAN 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
   
    Sehubungan itu Rosita berkata sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 dan Hari
Malaysia ke-50 tahun ini masih terus mengekalkan aspirasi kerajaan yang
bertunjangkan gagasan 1Malaysia.
    Selain itu, ia juga akan menerapkan elemen-elemen perpaduan, semangat
patriotik dan mempertahankan kedaulatan negara daripada pencerobohan
anasir-anasir luar.
    Beliau berkata konsep itu juga memberi peringatan kepada rakyat mengenai
kepentingan bersatu mempertahankan negara di samping mewujudkan rasa sayang dan
cintakan negara.
    "Insiden pencerobohan Lahad Datu dan Semporna, misalnya, telah menjadi
iktibar terbaik untuk kerajaan melihat akan kepentingan memperkukuh dan
memperbaiki sistem keselamatan negara," katanya.
    -- BERNAMA
    MLA KHY RS

Monday, August 12, 2013

Guruku Atondra


Pada zaman kegemilangan ‘Drama Minggu Ini’ (DMI) terbitan Radio Televisyen Malaysia dahulu, nama Atondra atau  Dato’ Dr. Nordin Abdul Rahman memang tidak boleh dipisahkan daripada siri berkenaan. 

Disiarkan pada setiap malam Ahad, siri 45 minit karya  penulis tempatan itu  disunting oleh Atondra yang merupakan satu-satunya penyunting skrip pada masa itu. 

Daripada  drama hitam-putih hinggalah drama berwarna, Atondralah tokoh yang mewarnai bidang penerbitan drama TV pada masa itu.

Hanya pada 1984 apabila Drama Swasta diperkenalkan, barulah Atondra ditemani oleh nama-nama lain seperti Aziz Jahpin, Ramlah Jalee, Datuk Dr. Nordin Hassan, Nurhalim Ismail dan Bidin Subari, sekadar menyebut beberapa nama.

Saya sendiri turut menerima bimbingan beliau semasa  menjalani latihan amali selama enam  bulan ketika berada pada tahun akhir kursus Sebaran Am Institut Teknologi MARA (kini Universiti Teknologi MARA) pada awal 1980-an.

Walau bagaimanapun, skrip pertama saya ‘Keranamu Ana’ yang disiarkan dalam slot DMI disunting oleh Ramlah Jalee.

Atondra bukan sahaja terkenal dalam bidang penulisan dan penyuntingan skrip drama TV.  Beliau banyak juga menulis skrip drama radio, cerpen dan puisi.  Namun namanya lebih menonjol dalam bidang penulisan drama TV.

Karya-karya beliau juga diterbitkan dalam bentuk antologi, antaranya ‘Arafah’ terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1985.

Kerana minatnya yang begitu mendalam terhadap bidang penulisan, Atondra bersama-sama beberapa penulis seperti Dato’ Abdul Samad Maharudin, Ismas Saring dan Dr. Rhmad Razali Yusof telah menubuhkan Persatuan Kebajikan Penulis Muda Selangor atau KEMUDI yanag didaftar secara rasmi pada 6 Julai 1972. 

Selain penulisan kreatif, Atondra turut terlibat dalam bidang kewartawanan dan seni foto.  Ramai yang tidak tahu bahawa Angkatan Seni Foto atau Asfon ditubuhkan di rumah Atondra di Kampung Baru pada 1969.  Malah Atondra turut menyumbang idea bagi merangka perlembagaan Asfon sehingga pertubuhan itu didaftarkan secara rasmi pada 18 Ogos 1970.

Selain penglibatan Atondra dalam bidang penulisan, beliau juga aktif sebagai pengamal perubatan homeopati sdehingga dipilih sebagai Timbalan Presiden Persatuan Perubatan Homeopati Malaysia pada sesi 1996 hingga 2008.

Pertemuan semula dengan Atondra pada minggu terakhir Ramadan baru-baru ini mengembalikan nostalgia ketika bersama-sama beliau hampir 30 tahun yang lalu.

Pertemuan yang diatur oleh beberapa rakan penulis iaitu Zakaria Ariffin (tokoh teater dan pensyarah di ASWARA), A. Wahab Hamzah (pengkritik filem dan teater), Suraya Ariffin (penulis dan bekas Editor majalah Homeopathy) akan saya jadikan kenangan sepanjang hayat. 


                           Dari kiri: Letfee Ahmad, Zakaria Ariffin, Atondra dan A.Wahab Hamzah
                                                           Gambar ehsan Suraya Ariffin.


Saturday, July 20, 2013

Conscience Clause in Journalists' Employment Contract


Editor-at-Large of mysinchew.com, Bob Teoh proposes the introduction of the Conscience Clause in the contract of employment for journalists to protect them if they refuse to undertake an unethical task.

In making this proposal,  Teoh  said the clause also meant journalists could claim compensation if they decided to leave the organisation.

Speaking at a forum entitled, 'Media and Ethics in Malaysia', in Kuala Lumpur today, Teoh quoted an example of such clause  introduced in Spain’s Organic Act number 2 since 1997.

He also mentioned the case where  Lord Justice Leveson acknowledged the proposal by the National Union of Journalists of Britain last year to include conscience clause as a working condition for journalists.


My question is - who decides whether such a task is ethical or otherwise?  

Thursday, July 11, 2013

STATUS KEPUTUSAN PERMOHONAN KEMASUKAN KE IPTA 2013/2014


KENYATAAN OLEH YBHG. DATO’ PROF. MORSHIDI BIN SIRAT KETUA PENGARAH, JABATAN PENGAJIAN TINGGI, KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA MENGENAI STATUS KEPUTUSAN PERMOHONAN KEMASUKAN KE INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI AWAM (IPTA) BAGI PROGRAM PENGAJIAN LEPASAN STPM/MATRIKULASI/ASASI (IJAZAH PERTAMA) SESI AKADEMIK 2013/2014

Seramai 41,573 calon berjaya mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk mengikuti program ijazah pertama bagi sesi akademik 2013/2014.  Mereka dipilih daripada 68,702 permohonan.

Seramai 24,489 atau 58.9 peratus adalah daripada aliran sains dan 17,084 (41.1) peratus lagi aliran sastera.
Daripada jumlah ini seramai 28,280 calon wanita berjaya mendapat tempat di IPTA dan selebihnya lelaki.
Selain itu, 49 calon Orang Asli turut menerima tawaran ke IPTA, 68 calon Orang Kelainan Upaya dan 1,515 atlet kebangsaan dan antarabangsa.

IPTA akan mengeluarkan surat tawaran rasmi kepada calon yang berjaya mulai esok.

Prestasi calon yang berjaya mengikut kaum adalah 30,903 orang (74.3 peratus) bumiputera, 7,913 orang (19 peratus) Cina, 1,824 orang (4.4 peratus) India dan 933 orang (2.3 peratus) kaum lain.

Seramai 5,765 calon ditawar mengikuti program pengajian kompetitif iaitu perubatan (699), pergigian (119), farmasi (260), undang-undang (385), kejuruteraan kimia (953), kejuruteraan mekanikal (1,304), kejuruteraan elektrik dan elektronik (1,122) dan perakaunan (923).

Semakan keputusan permohonan ke IPTA boleh dibuat melalui laman web http://upu.mohe.gov.my, http://www.jpt.utm.my, http://jpt.uum.edu.my, https://jpt.unimas.my, http://jpt.ums.edu.my  atau menghubungi talian penting 03-8870 6767, talian bantuan  03-8870 6777, talian am 03-8870 6755/6766 atau menerusi Khidmat Pesanan Ringkas dengan menaip UPU RESULT (no KP) dan SMS ke 15888.

Calon-calon yang berjaya perlu membuat pengesahan setuju terima tawaran oleh IPTA dalam tempoh 10 hari iaitu pada atau sebelum 21 Julai.  Pengesahan setuju terima tawaran dan surat tawaran boleh dicetak melalui laman web IPTA.

Calon  juga boleh datang ke Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi di Presint 5 untuk membuat semakan  sehingga 21 Julai.

Calon yang gagal boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 10 hari melalui  e-Rayuan di laman web http://upu.mohe.gov.my mulai hari ini dan berakhir 21 Julai 12 tengah malam.

Keputusan pemilihan rayuan tertakluk kepada kekosongan tempat dan rayuan dianggap gagal jika tiada sebarang jawapan diterima dari IPTA sehingga 30 Sept depan.


Tarikh pendaftaran pelajar baharu ke IPTA ialah dari 1 sehingga 2 Sept.

Pegawai Khas Menteri Isytihar Harta

Buat julung kali Pegawai-pegawai Khas Menteri mengisytiharkan harta masing-masing kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan keputusan kerajaan dua minggu lalu.

Mereka yang menyerahkan dokumen hari ini ialah Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Mohd Naaim Mahmod; Pegawai Khas kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Khaireel Azlee dan Pegawai Khas kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Idris Jala, Izhar Moslim.

Dokumen pengisytiharan harta diserahkan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed pada majlis ringkas yang berlangsung di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di ibu negara, hari ini.

Ini salah satu inisiatif yang telah dibentangkan pada Mesyuarat Pasukan Petugas Penyampaian NKRA Membanteras Rasuah, yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut kenyataan terdahulu yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan, "peranan seorang Pegawai Khas adalah penting kerana dalam sesetengah kes, mereka bertindak sebagai 'pengawal' kepada menteri dan mempunyai keistimewaan kepada maklumat-maklumat yang amat sulit,dengan mengasaskan tatacara peluang untuk salah laku dapat dikurangkan."

Selain proses saringan, pegawai khas perlu mengisytiharkan harta mereka kepada Perdana Menteri setiap tahun sama seperti menteri dan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Abu Kassim menegaskan terdapat dua elemen penting yang termaksud dalam dokumen pengisytiharan harta tersebut dan formatnya adalah sama dengan Pekeliling Perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam iaitu Peraturan 10, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, mengehendaki pegawai awam mengisytiharkan harta yang mereka miliki apabila mula dilantik, bila ada pertambahan harta baru, bila melupuskan harta yang telah dilaporkan atau bila diarah oleh kerajaan.

Harta yang perlu diisytiharkan termasuk harta yang dimiliki oleh pegawai, harta yang dimiliki oleh isteri dan juga yang dimiliki oleh anak pegawai yang di bawah tanggungannya dan secara akuan sumpah.

Abu Kassim turut menyatakan bahawa selain untuk menjaga integriti pegawai khas menteri, usaha ini juga dapat menghapuskan sindrom ’orang tengah’ yang  segelintirnya telah menyalahgunakan kuasa dan rangkaian hubungan murni yang telah diamanahkan kepada mereka.


Beliau juga berharap agar Pegawai Khas Menteri dapat sama-sama memahami, membantu dan menyelami usaha-usaha membanteras rasuah yang sedang dilaksanakan dan dapat membantu menyampaikan maklumat yang tepat dan terkini kepada anggota jemaah menteri.

Sunday, January 20, 2013

MUKHRIZ DAHULUI SENARAI PENERIMA PINGAT


ALOR SETAR, 20 Jan – Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir mendahului senarai penerima darjah kebesaran dan pingat kehormatan sempena hari keputeraan ke-85 Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Mukhriz menerima Darjah Paduka Seri Setia Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (DHMS) yang membawa gelaran Datuk Paduka.
Turut menerima (DHMS) ialah Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Datuk Seri Rodzali Daud.
Lima orang menerima Darjah Gemilang Seri Mahkota Kedah (DGMK) yang membawa gelaran Datuk Wira.
Mereka ialah Panglima Medan Tentera Darat Lt Jen Datuk Seri Zulkiple Kassim, Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Lt Jen Datuk Abdul Hadi Hussin, Ahli Lembaga Kolej Universiti Insaniah Prof Datuk Ismail Ibrahim, Datuk Lim Teong Kiat dari Taman Pumpong di sini dan Datuk Tan Hong Eng dari Langkawi.
Tiga orang dikurnia Darjah Paduka Mahkota Kedah (DPMK) yang membawa gelaran Datuk. Mereka ialah Ketua Staf Markas Tentera Darat Mej Jen Datuk Mohd Noor Daud, Panglima MK 2 Divisyen Mej Jen Datuk Azizan Md Delin dan Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) Datuk Mohamad Zabidi Zainal.
Sebanyak 60 orang menerima Darjah Setia Diraja Kedah (DSDK) yang turut membawa gelaran Datuk.
Antara penerima DSDK ialah Yang Teramat Mulia (YTM) Datin Tunku Marina Tan Sri Tunku Annuar; Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Dr Ismail Salleh; Anggota Parlimen Kuala Kedah Ahmad Kasim; Anggota Dewan Negara Muhamad Yusof Husin; Pegawai Daerah Langkawi Harun Jasin; Datuk Bandar Ipoh Datuk Roshidi Hashim; YTM Tunku Muzafar Shah Datuk Tunku Jaafar Laksamana dan Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia Prof Dr Asma Ismail.
Turut menerima DSDK ialah Ketua Provos Marsyal Darat Brig Jen Mohd Nasser Murad; Panglima MK 21 Grup Gerak Khas Brig Jen Effendi Ab Karim; Pengarah Kesihatan (Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Markas Angkatan Tentera) Brig Jen Zakaria Awang; Ketua Penolong Pengarah D7 SAC Datuk Abd Jalil Hassan; Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am SAC Datuk Mohd Rodzi Ismail; Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Ahmad Ishak; dan Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Kedah Medical Centre (KMC) Dr Kamaruzaman Ali, Pesuruhjaya Perdagangan Konsul Jeneral Malaysia (Bahagian Komersil) Los Angeles Fauzi Ayob, Pegawai Khas kepada Naib Canselor (Media dan Acara Rasmi) Universiriti Teknologi MARA Prof Dr Ahmad Redhuan Abdul Rahman dan pelakon veteran Zulkifli Zain.
Seramai 17 orang menerima pingat Jaksa Pendamai (JP).
Istiadat penganugerahan berlangsung di Istana Anak Bukit di sini, hari ini. – Bernama

Friday, November 16, 2012

DERITA GAZA


(Petikan NOTA PENGARANG terbitan Bernama Radio24 pada 16 November 2012)

  
Sehari menjelang kedatangan tahun baharu  1434 Hijri, dunia dikejutkan dengan serangan Israel terhadap Semenanjung Gaza yang mengakibatkan kematian 11 orang awam termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita hamil.

Kira-kira  100 orang turut cedera dalam serangan itu.  Lebih 50 serangan udara dilaporkan berlaku ke atas lebih 200 sasaran  yang disifatkan sebagai paling ganas dalam tempoh empat tahun.  Serangan itu juga turut membunuh Komander sayap bersenjata  Hamas, Briged al-Qassam, Ahmed al-Jaabari.

Serangan tersebut  dilihat sebagai tindakan pengecut dan tidak berperi kemanusiaan.  Israel mendakwa serangan itu dilakukan sebagai tindak balas serangan  kumpulan Hamas terhadap Israel namun  tindakan ketenteraan  Israel terhadap orang awam termasuk kanak-kanak adalah sesuatu yang tidak harus berlaku.

Serangan tersebut  terjadi   ketika Palestin sedang bersiap-sedia untuk mengemukakan petisyen menjadi negara  anggota bertaraf pemerhati dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada perhimpunan agung badan  dunia itu 29 November depan.

Seorang diplomat kanan PBB berkata jika pengundian dibuat terhadap petisyen itu, Palestin berkemungkinan besar akan memperoleh 120 hingga 130 undi daripada 193 anggota Perhimpunan Agung PBB.  Israel bimbang jika petisyen itu diterima,  pengaruhnya dalam PBB mungkin berkurangan.

Ini terbukti apabila Kementerian Luar Israel  mengemukakan cadangan untuk menggulingkan presiden Mahmoud Abas jika PBB meluluskan petisyen Palestin itu.  Menurut dokumen cadangan itu, ia adalah satu-satunya pilihan jika usaha lain gagal.

Sekarang ini, taraf pemerhati tetap hanya diberikan kepada  Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pimpinan Mahmoud Abas yang mewakili kumpulan terbesar di Palestin.  Abas sebaliknya mahu Palestin sendiri menjadi negara pemerhati bukan anggota berdasarkan sempadan sebelum Israel menduduki Tebing Barat, Baitulmuqadis dan Semenanjung Gaza  pada 1967.  Inilah yang ditakuti oleh Israel dan juga  Amerika Syarikat.

Ia juga satu ujian bagi Presiden Barack Obama yang baru sahaja dipilih untuk memegang jawatan presiden Amerika Syarikat bagi  penggal kedua pada pilihanraya negara itu minggu lalu.  Obama nampaknya tiada pilihan dan terpaksa akur dengan pendirian rasmi Amerika Syarikat yang bersama-sama Israel  menentang petisyen yang akan dikemukakan oleh Presiden Palestin, Mahmoud Abas.

Amerika Syarikat dan Israel turut menjadikan kegagalan perbincangan damai sebagai alasan untuk tidak menyokong penubuhan negara Palestin yang merdeka.  Mereka bertegas dengan pendirian bahawa negara Palestin tidak boleh ditubuhkan tanpa adanya perbincangan damai yang telah tertangguh selama lebih dua tahun.  Sementara itu, Israel masih terus melaksanakan program penempatan di wilayah-wilayah Palestin yang didudukinya.

Serangan itu juga telah menjejaskan hubungan Israel dengan Mesir yang memang dilihat semakin runcing sejak Mohamad Morsi mengambil alih jawatan Presiden.  Malah Morsi kelihatan lebih proaktif apabila segera memanggil pulang dutanya di Israel sebagai tindak balas terhadap serangan Israel itu.

Apa pula tindakan Majlis Keselamatan PBB dalam isu ini?

Majlis itu dilaporakan mengadakan mesyuarat tergempar selepas serangan berkenaan tetapi tidak mengambil sebarang tindakan.  Duta India ke PBB yang juga Presiden Majlis Keselamatan PBB, Hardeep Singh Puri memberitahu wartawan selepas mesyuarat tertutup selama 90 minit itu, bahawa 15 negara anggota majlis tersebut hanya bersetuju mengeluarkan pengumuman menyatakan  satu mesyuarat tergempar telah diadakan.
Selain itu, tiada butir lain diberikan.

Apakah ini layaknya tindakan satu badan dunia yang mewakili kepentingan semua negara anggota?

Hardeep yang selanjutnya bercakap bagi pihak India, dan bukan Majlis keselamatan PBB, berkata mesyuarat tergempar itu membuktikan kesungguhan badan dunia itu mengurangkan ketegangan di Timur Tengah dan mengelakkan konflik Israel-Palestin bertambah buruk.  Namun tindakan dan kenyataan itu dilihat sebagai tidak serius.

Majlis Keselamatan PBB sepatutnya mengeluarkan kenyataan menggesa Israel menghentikan segala tindakan ketenteraan terhadap penduduk Gaza namun tiada sebarang pengumuman  mengenai isu itu dibuat.
Bagi masyarakat dunia yang cintakan keamanan, ini satu petanda bahawa bahawa badan dunia itu memang takut dan sentiasa mengikut telunjuk kuasa barat dan Israel sendiri.

Mungkin Setiausaha Agung PBB, Ban Ki Moon harus ke hadapan bagi menyelesaikan konflik berkenaan.
Beliau dilaporkan sudah menelefon Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan Presiden Mesir Mohamad Mursi bagi menyatakan pendiriannya. 

Namun segalanya terletak kepada kesungguhan pihak terbabit terutamanya Israel bagi menghentikan peperangan yang tidak berfaedah itu.

Malaysia yang menyokong petisyen negara  Palestin untuk menjadi pemerhati tetap  PBB telah menyatakan pendiriannya terhadap serangan Israel itu.  Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam kenyataannya semalam mendesak PBB khususnya Majlis Keselamatannya untuk mengambil tindakan tegas terhadap Israel kerana tindakan biadapnya.

Selain itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NG0) turut mengutuk serangan itu.  Antaranya ialah Aman Palestin yang mengeluarkan kenyataan bahawa keadaan akan menjadi bertambah teruk jika tidak diambil tindakan segera.

Malah ramai yang meramalkan pertempuran seperti yang berlaku pada 2008 dan 2009 mungkin akan berulang.

Hari  ini, beberapa NGO  mengadakan perhimpunan bagi membantah serangan Israel itu.

Pada sebelah pagi,   Islamic Relief Malaysia  mengadakan sidang media mengenai serangan itu. 
Mereka   juga berlintas langsung dengan pejabat Islamic Relief  di Gaza untuk mendapatkan gambaran terkini di sana.

Pada sebelah tengah hari, Pertubuhan Ikram Malaysia, Aqsa Sharif dan Haluan  berhimpun di Masjid Tabung Haji untuk solat Jumaat dan kemudiannya berarak ke kedutaan Amerika Syarikat.

Bagi saya,   tindakan segelintir kecil kita  tidak mencukupi jika tidak  disertai dengan usaha bersungguh-sungguh pihak-pihak berkenaan terutama kuasa-kuasa besar dunia serta pertubuhan-pertubuhan antarabangsa.