INCHEON, KOREA SELATAN, 25 Mei - Media yang bebas dan
bertanggungjawab mampu membantu masyarakat dunia menegakkan hak asasi manusia,
keadilan, maruah dan peluang sama rata untuk semua.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Ban
Ki-moon berkata atas dasar itu badan dunia berkenaan akan terus memperjuangkan
kebebasan media dan penyebaran maklumat secara bebas.
"Media termasuk media dalam talian berperanan sebagai
mata dan telinga masyarakat.
"Masyarakat juga menerima manfaat daripada maklumat
yang disiarkan media," katanya dalam buku cenderamata Sidang Kemuncak Media Asia
2016 (AMS 2016), di sini hari ini.
Menurut Ban, AMS
2016 berlangsung serentak dengan Sidang Kemuncak Kemanusiaan Antarabangsa di Istanbul yang juga
membincangkan isu kemanusiaan global.
Katanya, ketika ini dunia sedang menyaksikan undang-undang
kemanusiaan antarabangsa dicabuli.
"Hari ini
sekurang-kurangnya 125 juta orang memerlukan bantuan kemanusiaan. Sebanyak 60
juta orang terpaksa meninggalkan rumah masing-masing akibat konflik atau
keganasan dan separuh daripada mereka adalah kanak-kanak," kata Ban.
AMS 2016 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Songdo di sini
dari 24 hingga 26 Mei disertai lebih 400 peserta termasuk 10 wakil organisasi
media Malaysia.
Kuala Lumpur menjadi
tuan rumah bagi sidang kemuncak itu tahun lepas.
(Penulis mewakili Bernama Radio pada Sidang Kemuncak Media Asia 2016 di Incheon, Korea Selatan pada 24 - 26 Mei 2016)
No comments:
Post a Comment