Powered By Blogger

Wednesday, September 4, 2013

BERNAMA RADIO24 MENJANGKAU USIA 6 TAHUN

Bernama Radio24  (BR24) milik  Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) memasuki fasa lima tahun keduanya dengan Anugerah Program Kesihatan Terbaik Radio pada Anugerah Media Kesihatan 2013.

Kejayaan program ‘Dalam Radar’  bertajuk  ‘Penyakit Tidak Berjangkit:  Ancaman Kesihatan Baharu di Malaysia’ adalah kejayaan kedua  penerbitnya Norindah Khairi.

Tahun lalu Norindah, 27 tahun  merangkul anugerah sama  menerusi program ‘Ala Carte Pagi’.

Sementara itu pada malam  30 Ogos itu juga, BR24  turut menampilkan Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak dengan peranan kameo  dalam drama khas kemerdekaan bertajuk ‘Ikrar Perwira’ tulisan dan arahan Nizuan Hanaffi.

Berdasarkan peristiwa  berdarah di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah drama  ini turut dilakonkan oleh Man Raja Lawak atau nama sebenarnya, Abdul Rahman Kasim, juara Raja Lawak musim kelima.

“Tidak mudah mendapatkan Perdana Menteri untuk berlakon tetapi kami berjaya melakukannya,” kata Azlan Idris, Ketua Pegawai Operasi BR24 dalam satu kenyataan yang dikeluarkan  sempena Ulang Tahun ke-6 stesen itu.

“Datuk Seri Najib juga menunjukkan komitmen tinggi walaupun tidak pernah berlakon drama radio atau televisyen sebelum ini. 

“Beliau melakonkan peranannya pada sekali cubaan tanpa ulangan,” katanya.

Dalam tempoh setahun ini, BR24 telah memperkenalkan beberapa program baharu bagi memperkukuh penjenamaannya sebagai stesen yang membawakan ‘Berita Pantas, Info Berterusan’.

“Program ‘Dalam Radar’ semakin menyerlah dengan penampilan tetamu kategori ‘A’ terdiri pemimpin kerajaan, badan bukan kerajaan dan industri,” kata Azlan.

Katanya antara yang pernah muncul adalah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim; Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Turut muncul dalam rancangan yang disiarkan setiap petang  Isnin hingga Jumaat  itu adalah  Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan  Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib.

Satu segmen berita yang baru diperkenalkan tahun ini ialah  Dunia Niaga yang disiarkan pada pukul 9 pagi setiap Isnin hingga Jumaat.

Ia  menyiarkan berita ekonomi, industri, kewangan dan pasaran saham tempatan dan antarabangsa.

“Kami berharap untuk menjadi saluran bagi menyiarkan berita-berita ekonomi yang menjadi teras kekuatan kepada Bernama,” kata Azlan.

Selain itu, BR24 turut bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkan program ‘Loghat Anda Bahasa Kita’ sebagai usaha memperkenalkan kepelbagaian bahasa daerah yang digunakan di seluruh negara.

Kata Azlan program ini adalah sebagai ganti program ‘Santun Bahasa’ yang direhatkan bagi menyediakan bahan-bahan baharu.

Di samping jajaran bahasa Melayu, BR24 juga tidak ketinggalan memperkuat jajaran bahasa Inggeris yang dinamakan ‘8Twelve Live’ dengan memperkenalkan beberapa program baharu.

Antara yang mendapat sambutan adalah ‘The Biz Show with Nick Goh’,  dan ‘Time Management with Dr Venga’.

Namun satu program menarik yang baru diperkenalkan telah mula mengumpul peminatnya tersendiri terutama mereka yang meminati hikayat Melayu lama.

Program yang dinamakan ‘Hikayat Kita’ ke udara setiap Isnin hingga Jumaat pada pukul 10.15 malam.
  
Diterajui oleh penulis Zalina Abdul Aziz atau yang lebih dikenali sebagai Ninotaziz, program ini memaparkan cerita lisan yang terkenal dalam kalangan masyarakat  Melayu.


“Program ini istimewa kerana ia dibawakan untuk pendengar berbahasa Inggeris.  Kami ingin mempopularkan cerita-cerita lisan kepada masyarakat Malaysia berbilang kaum,” kata Azlan.



Dato' Seri Najib dan Man Raja Lawak menyemak skrip sebelum rakaman diperhatikan oleh Juru Audio, Asyraf Nasir (kiri) dan Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Tengku Sharifuddin (kanan).

No comments: